Isyraf Nazran baring. Pandangannya merenung langit yang luas terbentang di hadapan matanya. Kepulan awan putih yang berarak di dada langit itu benar-benar membuatkan hatinya terbuai seketika. Angin sepoi-sepoi bahasa terus-menerus menyapa tubuhnya. Damai sungguh. Sepasang anak mata hazel miliknya itu dipejamkan rapat, cuba untuk merasai nikmat tersebut.

"Tenangnya."

"Asal aku tak boleh setenang tu?"

"Penat lah asyik ribut macam ni."

Nikmat dan anugerah Allah terhadap hamba-Nya di atas muka bumi ini. Namun, kita sukar hendak menghargainya. Malah kita jadikan bumi ini makin tua dan makin sakit dengan tindakan kita. Jelas sekali menunjukkan kita hanyalah perosak yang rakus dan tamak dengan pinjaman yang Allah SWT berikan kepada kita. Muhasabah lah diri.

Sedang dirinya memejamkan mata, satu per satu memorinya bersama Ilya Nasuha terlayar di ruang pemikirannya. Adakah hati bekunya kini sudah berjaya ditawan oleh gadis itu? Ada memori yang manis dan ada juga memori yang pahit.

"Cepatnya masa berlalu."

Pejam celik pejam celik, sudah masuk bulan 6. Berbulan juga dia duduk di sekolah baru ini dan sudah berbulan juga dia dan Ilya Nasuha rapat dan sentiasa berbicara. Tapi mengapa akhir-akhir ini pasti ada yang giat berusaha untuk merobohkannya? Mengapa di saat dia cuba untuk menggapai cinta gadis itu, ada pula yang menyambarnya tanpa ihsan seorang manusia?

Tanpa sedar, setitis air mata ikhlasnya itu jatuh ke pipi cengkungnya. Jemarinya diangkat lalu segera dia hapuskan air mata itu. Tangannya didepang dan sepasang mata hazelnya itu dipejamkan rapat. Bandana headband yang terikat kemas di kepalanya itu terus dilurutkan hingga menutupi matanya sedikit. Keluhan berat meniti pula di bibir merahnya.

"Asal semua ni jadi kat aku?"

"Aku penat, penat."

Isyraf Nazran bingkas bangun dari pembaringan. Dengan perlahan, dia berjalan mendekati hujung bumbung rata sekolahnya itu. Dia lantas sahaja melabuhkan duduknya di hujung bumbung rata itu. Kaki jinjangnya itu terus sahaja dilunjurkannya ke bawah. Sepasang anak mata hazelnya itu bergolek merenung ke bawah. Kalau jatuh, sah mati!

"Arghhhhhh!!!"

Jeritnya kuat. Baginya, dengan menjerit itulah merupakan ubat yang boleh menyembuhkan segala kesakitan yang dialaminya sekarang ini. Saat dirinya ingin menjerit buat kali kedua, tiba-tiba bahunya itu ditepuk oleh seseorang menyebabkan dia hampir terjatuh.

'Eiiyai, kalau aku jatuh tadi, aku sumpah hantu aku akan ganggu dia sampai dia pula yang mati di sini.'

"Memang jerit boleh ubat luka, aku banyak kali cuba." Tutur Zariff Isaac perlahan. Dia turut melabuhkan punggungnya bersebelahan lelaki itu.

Isyraf Nazran hanya tersenyum kelat mendengarkan kata-kata itu. Kehadiran rakannya itu yang sedang melabuhkan duduk bersebelahan dirinya malas dia hendak ambil peduli. Pandangannya kembali dihalakan ke hadapan bagi memandang kepulan awan yang membiru di langit. Rambutnya yang berserabut ditiup angin itu dibiarkannya tidak terurus sama seperti fikirannya tika ini.

"Asal cari aku?"

"Mana tahu aku kat sini?"

"Puan Suzzy panggil aku?"

Zariff Isaac menghela nafasnya panjang. Rakannya yang berada disebelahnya itu dikerlingnya sekilas.

"Suha tu... dia risaukan kau."

Zariff Isaac berjeda seketika sebelum kembali menyambung perbualannya.

"Dia suruh aku cari kau."

"Dia kata kalau kau stress ke apa ke kau mesti ada kat sini."

DIA SI PEMBEKU CINTA : CWhere stories live. Discover now