BAB 18

0 0 0
                                    

LUNA menggerutu di dalam hati, senyap-senyap tanpa mempamerkan riak di wajah. Sakit hatinya, TUHAN saja yang tahu. Sejak awal lagi dia cuba bersabar. Kalau tidak kerana sifat itu, pasti habis semuanya diamuk.

Lewat pagi tadi Nafisah menelefonnya. Nafisah mahu di temani ke butik Rosie. Hatinya terbakar. Manakan tidak, Nafisah ke sana kerana mahu menguruskan persiapan perkahwinan Muszahri. Riak wajah yang bagaimana harus dipamerkan di hadapan Nafisah, Rosie dan khalayak ramai nanti? Mujur juga Rosie tidak tahu-menahu tentang dirinya yang sudah terpaut hati pada Muszahri dan berazam mahu menjadi isteri lelaki itu.

Dengan hati yang bagai dijeruk cuka, dia cuba memaniskan wajah sambil membelek-belek album gambar untuk memilihkan pakej terbaik buat bakal menantu Nafisah. Menantu? Dia mencebik meluat di dalam hati. Macamlah akan jadi menantu! Aku doakan dia mati kemalangan sebelum Sempah terima akad Muszahri. Memang aku doakan! Terasa puas dapat melakukan itu walau dalam hati cuma. Sehingga tanpa sedar, terlukis senyuman di bibirnya.

"Hai, tersenyum-senyum aje tengok gambar pelamin tu. Dah sampai seru nak kahwin juga ke?" Nafisah menegur sambil mengusap-usap bahu Luna manja. "Jangan  tunggu lama-lama sangat."

Luna berpura-pura tersipu-sipu malu. Dalam hati, dia menyumpah-nyumpah Nafisah dengan pelbagai kata-kata keji. 'Disebabkan kaulah aku melepas nak dapatkan Muszahri!"

"Aturcara majlis tu nanti macam mana, auntie? Saya nak dapatkan gambarannya dulu. Lepas tu, senanglah saya nak aturkan." Rosie menghulurkan beberapa buah album lagi ke pada Nafisah.

"Bakal menantu auntie tu, tak nak majlis sanding-sanding ni. Dia nak akad nikah kat masjid aje," maklum Nafisah.

Luna sudah tergelak-gelak di dalam hati. Akad nikah saja? Huh, memang perempuan kolot! Dia sudah dapat membayangkan rupa bakal isteri Muszahri itu. Pasti wajah kekampungan, pakai kain batik walaupun untuk keluar rumah.

"Memang macam tulah yang seelok-eloknya dan dituntut oleh agama, Rosie. Sanding itu cuma adat kita saja. Bila dah majlis bersanding ni, nanti timbul pulak rasa ingin menunjuk-nunjuk dan riak. Kan berdosa tu! Bukan ke Islam menggalakkan kita bersederhana? Tapi kalau mampu, apa salahnya," sambung  Nafisah lagi dalam nada berlapik. Tidak mahu Rosie terasa hati dengan kata-katanya.

"Betul tu, auntie. Orang sekarang ni, berhabis tak ingat masa nak kahwin. Hangus sampai berpuluh-puluh ribu pun masih boleh tersenyum. Bagi mereka, asal hati puas, cukuplah. Tapi lepas tu, boleh bercerai-berai pulak!" Rosie menggeleng-geleng.

Nafisah menoleh memandang Rosie. Tidak menyangka Rosie sependapat dengannya walaupun mempunyai butik pengantin sendiri.

Luna yang duduk berdekatan mereka malas mahu menyampuk. Baginya, itu semua pendapat bodoh! Majlis kahwin semestinya mahu yang serba sempurna. Biar tetamu yang datang memuji-muji dan turut puas hati. Tapi kalau bercerai juga, nak buat macam mana? Dah jodoh tak panjang.

"Okey... begini, Rosie. Majlis akad nikah tu nanti bermula lebih kurang pukul 11.00 pagi kat masjid. Masjid tu dekat saja dengan rumah menantu auntie. Selesai akad nikah tu, tetamu semua dijemput makan tengah hari kat rumah pengantin. Adalah sikit upacara makan beradab. Habis semuanya, majlis bersurai. Ringkas aje," Nafisah menjelaskan dengan lebih terperinci dan penuh teruja..

Rosie terangguk-angguk, cuba membayangkan situasi itu. "Err... ni kat rumah pengantin perempuan, kan? Kenapa auntie yang uruskan?"

"Ha'ah... sepatutnya, pengantin perempuanlah yang kena uruskan sendiri. Ni dah menyusahkan orang namanya," sambung Luna cepat-cepat yang sudah nampak peluang untuk mencucuk jarum.

"Apa pulak menyusahkan? Tak adalah! Lagipun, menantu auntie tu anak yatim. Emak dia dah lama meninggal. Yang ada, cuma ayah dia dan dua orang kakaknya yang dah kahwin. Siapa yang nak tolong uruskan persiapan ni semua? Tambahan pulak, kat rumah auntie tak buat apa-apa majlis pun. Jadi, biarlah auntie tolong sediakan ni semua. Dia pun bukannya orang lain. Bakal menantu auntie jugak." Panjang lebar Nafisah menjelaskan.

Cinta Aku SeadanyaWhere stories live. Discover now