BAB 14

3 0 0
                                    

 KELUHAN demi keluhan dilepaskan. Berat benar bunyinya. Lama Nafisah tunduk merenung karpet bunga-bunga yang dipijaknya, terfikir-fikir sama ada jalan yang ditunjukkan  itu memang sepatutnya dipilih.

Syifa memandang perlakuan Nafisah dengan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Wanita yang duduk di hadapannya itu membuatkan dia keliru. Akalnya sukar mengadaptasi semua kata-kata Nafisah menjadi bentuk-bentuk yang boleh diterima akal hatinya. Dia tidak memiliki walau satu pun keistimewaan yang menambat hati orang lain.

"Syifa, Syifa, Syifa..." Kedengaran Nafisah mengeluh lagi sambil memandang raut wajah Syifa. Dia mengisyaratkan dengan tangan agar Syifa datang menghampiri dan duduk di sebelahnya.

Dalam keadaan teragak-agak, Syifa menurut juga dengan rasa kekok. Sebelum ini, dia tidak pernah merasa begini. Namun, setelah mendapat khabar bahawa Nafisah mahu menjadikan dia menantu, serta-merta dia merasakan seperti ada satu dinding tebal yang mengasingkan kemesraan mereka daripada terjalin.

Dia memandang kedua-dua tangannya yang digenggam erat oleh Nafisah setelah duduk di sebelah wanita itu. Dia mengangkat wajah. Nafisah sedang merenungnya.

"Syifa tak pernah ada kekurangan langsung di mata auntie. Jadi, kenapa perlu bangkitkan hal ni?" Lembut tutur kata Nafisah.

Syifa tunduk. Takungan matanya terasa penuh. Dia tidak mampu memandang wajah keibuan yang terserlah dalam diri Nafisah. Serta-merta dia dibayangkan wajah arwah ibu yang  sering memujuk semasa hayatnya masih ada. Terus, rindu memuncak dari dasar hati.

"Auntie minta maaf sebab tak beritahu Syifa sendiri pasal  ni. Hal ni bukan hal remeh-temeh. Jadi, auntie kena dapatkan persetujuan daripada baba Syifa dulu walau apa sekalipun." beritahu Nafisah tentang duduk perkara yang sebenar.

Syifa menggeleng-geleng sambil memandang Nafisah. "Syifa tak marahkan auntie. Langsung tak marah, auntie."

"Jadi, kenapa Syifa panggil auntie datang ke sini? Ke rumah Syifa ni?"

Syifa menahan seba, cuba mengatur emosinya agar tidak mengawal fikiran. "Syifa tak rasa Abang Mus betul-betul terima Syifa. Keputusan ni, bukan keputusan sendiri. Betul kan, auntie?" Persoalan itulah yang mengganggu fikirannya. Nalurinya mengatakan demikian. Dia dapat merasakan Muszahri melamarnya tanpa rela.

 Nafisah terkedu. Lama ditatapnya wajah Syifa penuh kasih. Memang... bukan Muszahri yang mengusulkan lamaran itu. Bukan Muszahri yang mengakui jatuh cinta pada Syifa, lalu memintanya melamar gadis itu. Tetapi itu semua cadangannya. Namun, Muszahri bersetuju apabila hal itu diajukan kepada anak lelakinya itu.

"Auntie..." seru Syifa mengharap. Dadanya berdebar-debar. Sudah diduga hal itu sebenarnya yang berlaku. Dia tunduk. "kalau ini bukan permintaan Abang Mus, Syifa tak boleh terima, auntie. Syifa tak..."

"Tak, Syifa..." pintas Nafisah. "Mus terima Syifa tanpa paksaan langsung. Jangan fikir yang bukan-bukan. Hal ni tak ada unsur paksaan, Syifa."

Tidak semena-mena air mata Syifa berjuraian. Kata-kata Nafisah itu tidak mampu menyamankan hatinya. Langsung tidak memecahkan  kebekuan persepsinya. Dia masih merasakan yang perkara itu bukan permintaan Muszahri.

Nafisah terpempan melihat tangisan Syifa. Lekas-lekas dia memagut wajah gadis itu. Disekanya air mata Syifa yang membasahi pipi.

"Auntie... Syifa rasa, baik kita lupakan saja hal ni, auntie." Teresak-esak Syifa kala menuturkan kata-kata itu. Wajah Nafisah tidak mampu direnungnya. Dia tidak mahu mempertaruhkan nasibnya menerima lamaran itu. Dia tahu natijahnya kelak.

Nafisah menggeleng, menidakkan  permintaan Syifa. "Syifa... dengar dulu apa yang auntie nak beritahu. Dengar dulu." Air matanya juga gugur akhirnya. "Mus sejujurnya setuju terima Syifa sebagai isterinya. Sumpah! Tak ada paksaan langsung. Auntie tak paksa dia terima Syifa, dia sendiri yang rela. Percayalah, Syifa..."

Cinta Aku SeadanyaDove le storie prendono vita. Scoprilo ora