BAB 6

5 0 0
                                    

NAFISAH membantu Lili dan Donna menukarkan baju pada patung-patung yang terdapat di butiknya. Sudah lebih seminggu patung-patung itu memperagakan baju yang sama. Kali ini, dia sendiri yang memilih baju terbaik untuk dipamerkan . Biar dia yang melakukan kerja itu sendiri.

Lili dan Donna beralih menyusun atur kedudukan rak-rak kain ela. Sudah bosan dengan letak duduk yang sama setiap hari. Malah, kedudukan baru ini menjadikan ruang kedai tersebut tampak lebih luas.

"Assalamualaikum..."

Nafisah menoleh, lantas tersenyum. "Waalaikumusalam..."

"Mus kebetulan jumpa klien dekat-dekat sini. Tu yang singgah. Jom mama. Kita makan," beritahu Muszahri tanpa ditanya.

Nafisah menyelak hujung lengan kiri baju kurungnya. Memandang pada jam di tangan. "Eh, cepatmya masa berjalan!  Dah dekat pukul 1.00? Papa balik makan kat rumah tak, Mus?"

Muszahri menggeleng. " Tak tahulah. Rasanya tak."

"Kalau macam tu, kita makan kat luar ajelah," putus Nafisah lalu beralih memandang pekerja-pekerjanya. "Donna Lili... saya nak keluar lunch ni. Nanti saya belikan makanan untuk kamu berdua sekali."

Donna dan Lili sekadar mengangguk. Bos mereka itu sudah tahu sangat makanan kegemaran mereka.

"Mus tunggu mama kat kereta," ujar Muszahri lalu terus beredar tanpa menunggu Nafisah yang baru mahu menempek bedak kompak ke muka. Mamanya kalau bersiap, memang mengambil masa.


NAFISAH tersandar kekenyangan selepas menikmati nasi berlaukkan nangka masak lemak cili api dan ikan pari bakar, sesedap mana pun makanan barat  yang di makan oleh Muszahri tidak dapat melawan masakan kampung yang sudah sebati dengan lidahnya. Muszahri begitu berselera menikmati chicken grill with black pepper sauce.

Sementara menanti anaknya menghabiskan hidangan, matanya melilau memandang keseluruhan Restoran Buluh itu. Nampak eksklusif.

"Mama tak bercadang nak melancong ke dalam masa terdekat ni?"

Soalan Muszahri itu mengembalikan pandangan Nafisah pada anaknya. "Melancong? Malaslah... penat melancong ni. Kalau pergi pun, fikiran mama asyik teringatkan butik aje. Tak senang hati dibuatnya. Kalau kamu nak melancong, kamu pergilah. Mama dah puas naik kapal terbang ni."

"Hari tu, Mus nampak papa pegang pamphet pelancongan. Ingatkan mama dengan papa dah berpakat nak pergi overseas lagi,"  tutur Muszahri sambil menyedut jus epalnya.

"Tak ada pulak papa cakap dengan  mama nak ke mana-mana. Kalau dia nak melancong, biarlah dia pergi sorang. Malas mama nak ikut. Kalau mama nak pergi pun, mama nak ke Beijing. Kat sana banyak kain yang cantik-cantik. Boleh borong bawa balik sini. Ada jugak faedahnya."

Muszahri tersenyum. Mamanya tidak habis-habis pasal kain, pasal labuci, pasal manik. Dia bukannya faham sangat pun. Malah, dia  tidak peduli langsung tentang hal tersebut.

Nafisah terpandang satu keluarga yang baru sahaja masuk ke restoran itu. Sepasang suami isteri  bersama sepasang anak mereka. "Bahagianya mama tengok merekatu." Tanpa sedar, dia memberikan komen.

Spontan, Muszahri menoleh ke arah sama yang dipandang mamanya. Oh! Dia berpaling semula.

"Kamu bila nak kahwin, Mus? Lambat lagilah mama nak pegang cucu nampak gayanya."

Muszahri sekadar mengangkat kening. Dia tiada jawapannya. Masih belum bertemu yang menawan hati.

"Kamu masih tak ada calon lagi ke?"

Sejak akhir-akhir ini, Nafisah sering bertanya soalan klise itu kepadanya. Bosan! Muszahri sekadar menggeleng.

"Carilah..."

Cinta Aku SeadanyaWhere stories live. Discover now