BAB 9(II)

3 0 0
                                    

MUSZAHRI mengitarkan pandangan ke seluruh ruang tamu itu. Cukup ringkas. Tidak terlalu sarat dengan perabot. Malah, perabot yang digunakan juga serba sederhana. Dinding rumah teres setingkat yang berwarna krim dan kuning itu menampakkan ruang lebih luas.

Dia menoleh pandang ke wajah Nafisah. Mamanya itu buat-buat tidak nampak pandangannya yang penuh dengan tanda tanya. Ketika mula-mula sampai di rumah itu, bertubi-tubi soalan datang menyerbu benaknya. Ini bukan rumah saudara-mara mereka. Rumah kawan mama ke?  tidak pernah pula mama bercerita. Tapi, kenapa dia diheret sama ke sini?

"Maaflah... rumah pakcik ni kecil aje, tak berapa selesa."

Muszahri menoleh ke arah suara itu. Lelaki itu sudah menghilang ke dapur sebelum muncul kembali beberapa saat kemudian. 

"Anak saya ni tak kisah orangnya. Tak bawa teksi ke hari ni, bang?" tanya Nafisah berbasa-basi.

Yusuf menggeleng. "Bawa pagi tadi aje. Tengah hari saya balim makan, sembahyang... terus rasa tak daya nak keluar lagi. Badan saya ni cepat lenguh-lenguh sekarang." Dia turut mengambil tempat di sofa untuk melayani tetamu-tetamunya.

"Siapa nama anak kamu ni, Fisah?"

"Nama saya Mus, pak cik..." Muszahri memperkenalkan diri sebelum sempat mamanya menjawab. Nafisah tersenyum senang melihat kesantunan anaknya itu.

"Oh... kamu anak yang sulung kan? Yang bantu ayah kamu uruskan syarikat insurans tu?"

Dalam keliru dan tidak faham apa-apa. Muszahri mengangguk. 'Wah... mama macam dah banyak cerita pasal aku dengan pak cik ni aje. Kawan lama mama barangkali.'

"Baguslah... muda-muda lagi dah belajar uruskan syarikat. Kalau pak cik ada anak lelaki pun, pak cik akan latih dia jadi macam kamu," Yusuf seakan-akan memuji anak Nafisah yang tampan itu. Senang hatinya melihat peribadi Muszahri. Begitu menjaga tingkah laku.

Suasana bertukar sepi sejurus kemunculan seseorang menatang dulang membawa minuman. Serentak, tiga pasang mata terarah pada gadis tersebut. Muszahri menentang wajah gadis yang bertudung hampir ke depan dan bercermin mata  itu, seperti menyembunyikan sesuatu. Ya! Baru dia perasan. Ada sesuatu di pipi gadis itu! Satu aliran perasaan melalui celah-celah hatinya. Kasihan...

"Ini anak pak cik yang bongsu, Mus. Syifa namanya. Dia ambil upah jahit manik. Mama kamu nilah yang selalu upahkan dia," beritahu Yusuf tanpa diminta. "Minumlah air ni, air teh aje."

Muszahri terangguk-angguk. Rupa-rupanya, inilah oranh yang sering diupah oleh Nafisah menjahit manik dan labuci untuk baju-baju di butiknya. Malah, untuk bajunya sendiri. Barulah dia faham tujuan mamanya ke situ.

Sesudah menuangkan air, Syifa terus beredar masuk ke bilik untuk mengambil baju-baju yang sudah siao dijahit manik dan labuci. Malu rasanya hendak menyertai perbualan Yusuf dan Nafisah bersama anak lelakinya itu. Dia tidak selesa jika ada orang asing datang bertemu ke rumah itu. Pipinya pasti akan menjadi santapan anak mereka yang memandang.

Sebelum datang tadi, tiada pula Nafisah memberitahu yang anaknya itu akan mengikut sama. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan ahli keluarga Nafisah setelah lebih kurang setahun mengenali wanita itu. Suami Nafisah sendiri pun dia belum pernah bertemu.

Dia mengumpul beberapa pasang pakaian yang sudah siap untuk diserahkan kepada Nafisah. Baju-baju itu kemudian disarungkan dengan plastik khas yang telus bagi menjaga keindahannya. Sesekali, terdengar suara babanya ketawa bersama Muszahri dan Nafisah. Alangkah seronoknya jika dia  boleh menyertai mereka...

Tidak mengapalah... dia sudah biasa bersendirian. Itu sudah cukup membahagiakannya. Dia mana layak berbual-bual dengan lelaki. Lebih-lebih lagi yang setampan Muszahri. Kelak, dia juga yang dituduh tidak sedar diri. Lagipun, Muszahri pasti berasa loya memandangnya jika dia turut sama menyertai mereka berbual-bual. Akan pasti kerancakan perbualan mereka terganggu. Sengaja dia berlengah-lengah di dalam bilik membelek baju-baju yang sudah siap dijahit manik itu.

Cinta Aku SeadanyaOù les histoires vivent. Découvrez maintenant