BAB 12

4 0 0
                                    

"TENGAH HARI nanti, Wafa dengan Zahra nak ke mari. Baba jemput dia orang datang, makan sama kat sini. Menantu-menantu baba, cucu-cucu baba, semuanya datang sekali. Lagipun, ada hal penting yang baba nak bincangkan."

Itu kata-kata Yusuf sebelum dia keluar rumah pagi tadi. Hati Syifa tertanya-tanya. Ada apa babanya memanggil Zahra dan Wafa datang ke rumah? Siap berpesan mengatakan yang perjumpaan kali ini sangat penting. Apabila ditanya, Yusuf hanya memberitahu akan menjelaskannya dalam perbincangan itu nanti.

Zahra dan Wafa juga sudah menyatakan persetujuan mereka untuk datang tengah hari itu. Oleh kerana hari itu hari sabtu dan cuti hari minggu, dapatlah mereka hadir bersama suami dan anak masing-masing. Syifa berasa gembira sesekali dapat berkumpul beramai-ramai begitu. Kalau tidak, hari raya sahajalah mereka dapat peluang bersama-sama.

Memikirkan begitu ramai yang akan datang bertandang hari itu, kepalanya sudah merancang-rancang mahu menyediakan hidangan yang lebih istimewa daripada biasa untuk  dijamu kepada mereka  sekeluarga tengah hari itu. Biar anak-anak saudaranya gembira. Biar kakak-kakaknya senang hati, terutama sekali Zahra. Mana tahu dia dapat menambat semula hati kakaknya itu dan hubungan mereka akan kembali mesra. Mudah-mudahan...


"MANA dia orang ni? Dah dekat pukul 1.00, tak sampai-sampai lagi," bebel Yusuf. Selagi anak-anaknya tidak sampai, selagi itulah dia rasa tidak senang hati.

Syifa yang senang mengeluarkan puding karamel dari periuk kukusan berpaling memandang babanya yang tiba-tiba muncul di situ.

"Dah siap masak, Syifa? Ada apa-apa yang baba boleh tolong ke?"

"Tak apalah, baba. Semuanya dah siap. Tinggal nak buat air aje. Baba pun baru balik, mesti penat. Duduk ajelah tunggu anak cucu baba sampai kejap lagi," balas Syifa sambil menyimpan puding itu ke dalam peti sejuk.

Yusuf membuka tudung saji di atas meja makan. Sup ayam, sambal udang, kacang panjang goreng belacan, ayam goreng dan sambal kicap. Semuanya memancing selera. Tiba-tiba  kedengaran laungan salam dari luar rumah.

Yusuf tersentak. "Hah, dah sampailah tu!" Terburu-buru dia menuju ke pintu hadapan. Lebar senyumannya apabila melihat anak, menantu dan cucunya sudah terpacak di muka pintu. "Mari masuk..."

Syifa turut menyertai Yusuf menyambut kedatangan mereka yang ditunggu-tunggu. Tersenyum bahagia dia melihat satu demi satu wajah yang dirinduinya.

Wafa bersama suaminya, Khairil dan tiga orang anaknya kelihatan cukup gembira. Khalili, Khafiha dan Khazi melompat girang sebaik sahaja melihat datuk mereka. Yusuf apa lagi, dicium-cium cucu-cucunya itu penuh rindu. 

Syifa dengan rasa hormat bersalaman dengan kakak, abang ipar dan anak-anak buahnya. Dengan Wafa, lama mereka berdakapan menghilangkan kerinduan. Jarang sekali mereka dapat bertemu kerana Wafa  sekeluarga menetap di Kuala Terengganu.

Zahra anak-beranak, Sofian dan Sofia menyusul tidak lama kemudian. Seperti selalu, wajah Zahra tiada segaris senyuman pun. Walau apa pun, Syifa tetap memaniskan muka menyambut kdatangan kakaknya itu. Biar sejuk hati Zahra melihatnya.

Yusuf hanya mampu mengeluh melihat wajah mencuka Zahra. "Hah, mana suami kamu?"

Zahra melangkah masuk ke rumah selepas  bersalaman dengan Yusuf tanpa menjawab soalan itu.  Syifa sekadar menyaksikan dengan hati yang terkilan. Salahkah jika Zahra menguntumkan secebis senyuman buatnya? Rugi ke? Apatah  lagi bila berhadapan dengan baba.  Dia segera menghulurkan  salam kepada Zahra, namun tangannya tidak bersambut. Sebaliknya, Zahra terus menempatkan diri di sofa.

Melihat Zahra terus memuncung tanpa respons, Yusuf beralih kepada Sofian, mengharap jawapan.

"Ayah kerja, tok," ujar Sofian jujur.

Cinta Aku SeadanyaWhere stories live. Discover now