BAB 13

4 0 0
                                    

BEGITU payah Muszahri mahu bertemu dengan mamanya sendiri. Dari  pagi sampailah menjelang senja, dia masih  belum dapat berjumpa Nafisah. Awal-awal pagi lagi mamanya itu sudah keluar. Apabila dia ke butik, mamanya tiada. Hendak bercakap di telefon, rasa tidak betah pula.

Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal hari itu. Dia mesti bertemu Nafisah hari itu juga sebelum mamanya merehatkan diri. Sebaik mendapat tahu Nafisah akan pulang untuk makan malam bersama, bukan main lega hatinya. Itulah  waktu yang sesuai untuk dia mengemukakan topik itu.
 

Malam itu, suasana agak  meriah daripada biasa. Apa tidaknya, penuh meja makan itu dengan  pelbagai hidangan. Muszahri lebih banyak mendengar daripada menyampuk perbualan mereka anak-beranak. Muszahri memutuskan untuk  berbincang dengan mamanya setelah selesai makan nanti. Situasinya lebih tenang dan fokus.

"Mama, Hazim teringin nak makan daging kerbaulah. Nanti kalau mama pergi pasar, mama belikan ya?" Tiba-tiba Hazim teringatkan makanan yang diidamkan  sejak dua tiga hari lepas.

"Kau ni tak ada benda lain ke nak makan?" Farizal menyampuk, menjerling adiknya itu. 

"Mintalah masakan  Itali ke, kopitiam ke... barulah syok!" sendanya.

"Dah ngidam nak makan kerbau, cari daging kerbaulah! Apa pulak  cari kopitiam..." Hazim membela diri.

Farizal tidak puas hati. "Apa hal kau tiba-tiba mengindam ni? Perut kau  tu bawak budak ke?"

"Ni kenapa tiba-tiba teringin nak makan daging kerbau, Hazim? Pernah  makan ke sebelum ni?" sampuk Nafisah pula. Geli hatinya melihat  Hazim terkulat-kulat dikutuk Farizal.

"Member Hazim cerita, masa dia pergi kenduri kahwin kat Rembau dulu, salah satu lauknya daging kerbau, masak lemak cili padi. Orang sana kan suka makan pedas-pedas. Sedap katanya," cerita Hazim sunguh-sungguh. Seronok apabila permintaannya mendapat perhatian Nafisah.

"Kat Negeri Sembilan memanglah masak daging kerbau. Apa nak kecoh?" Farizal tidak puas mempersendakan  Hazim. Menyampah dia dengan  kerenah Hazim yang manja itu.

"Yang nak makan tu aku, bukannya kau!" tempik Hazim geram.  Hilang terus gelaran 'abang' untuk Farizal.

"Apa bertekak  depan makanan ni?" tegur Mahdi  serius, membuatkan yang lain kecut perut. Seketika, suasana di meja makan itu sunyi  seketika.

"Sebut pasal kenduri kahwin ni, baru  mama teringat."  Tiba-tiba Nafisah memecah kebisuan antara mereka. Dia menoleh memandang Muszahri. "Mus... pasal hal kamu yang mama beritahu semalam, mama dah khabarkan pada baba Syifa."

Bagaikan hendak putus urat merih Muszahri mendengar kata-kata Nafisah itu. Pantasnya mam bertindak! Nasi di dalam mulutnya hanya terkemam tanpa dapat ditelan kerana terlalu terkejut.

"Pasal apa, mama? Siapa Syifa tu?" Farizal memberanikan diri bertanya. Sesekali dia menjeling Mahdi di sebelah mamanya.

Nafisah tersenyum memandang yang lain-lain. "Begini... mama nak jodohkan Abang Mus kamu ni dengan seseorang yang mama kenal. Abang kamu ni dah setuju. Dan mama pun dah beritahu abah si tuan badan. Cuma tunggu masa nak datang meminang aje." Nada suaranya begitu ceria mengisahkan hal itu.

"Wah... tahniah, bang! Kahwin jugak abang ya?" Farizal ketawa. "Lepas ni, Rizal punya turnlah pulak. Hai, tak sabar rasanya. " Dia tertawa sendiri.

Muszahri semakin tidak tentu arah. Nampaknya dia sudah terlewat. Atau dia masih sempat berpatah balik? Mungkin sempat. Tetapi Nafisah sudah menyatakan hal itu kepada Yusuf. Jadi, apa yang harus dia lakukan? Kusut fikirannya saat itu. Sebu untuk berfikir lagi.

"Apa kata Yusuf, Fisah?" Mahdi turut tertarik untuk membincangkan hal itu.

"Sebelum maghrib tadi dia ada telefon saya. Katanya, jadi. Hujung minggu depan bolehlah kita datang merisik dan terus meminang."

Cinta Aku SeadanyaWhere stories live. Discover now