Bab 3

39 4 1
                                    

Badan halus itu melonjak ke belakang lalu kakinya mendarat kemas. Syifaa berdiri gah di tengah gelanggang. Kabus hembusan nafasnya terlihat di udara. Dada berombak kencang bersama pandangan mata yang kosong. Sangkanya latihan malam ini mampu membuatkan dia tenang, namun gema mimpi ngerinya masih terus memekik di minda. Terasa dia semakin lemas dalam lautan ketakutan. Syifaa memejamkan mata. Cuba untuk berhenti memikirkan mimpi yang sering menghantui dirinya.

Ruang latihan seawal jam 4.00 pagi itu dingin beku kerana ketiadaan pemain penguji yang lain. Namun sejuk yang sepatutnya menggigit tulang itu langsung tidak dirasai oleh gadis yang telah berjaya mengalahkan kesemua bot musuh yang akan dikeluarkan pada versi Paksi Mayaloka yang seterusnya.

Gerakan Syifaa tajam, tangkas dan tepat saat dia beraksi dalam latihan pertempurannya. Setiap serangan dilaksanakan dengan api kemarahan yang membungkam di dada, amarah yang dalam pada mimpi ngeri yang acap kali berulang.

Sudah hampir tiga tahun berlalu, namun kejadian itu masih segar di ingatannya. Lampu pentas yang membutakan mata, dingin besi tajam yang menyentuh lehernya, nyaring jeritan orang ramai yang ketakutan. Syifaa terasa dirinya masih lagi seorang tebusan. Diheret kasar ke atas pentas hanya untuk memusnahkan identiti virtual Ashraf yang pada masa itu masih lagi menjadi rahsia.

Jantung Syifaa kembali berdebar hanya dengan memikirkan memori silam itu. Malam demi malam, dia mengulangi mimpi ngeri itu dalam tidurnya, terperangkap dalam lingkaran ketakutan yang seperti tiada penghujung. Sangkanya mimpi itu akan hilang dimamah waktu, jadi dia belajar menyembunyikan trauma, menguncinya jauh di lubuk jiwa sehingga tiada yang tahu betapa sengsaranya Syifaa bermalam tanpa tidur yang lena.

Kini, telah menjadi rutin hariannya sejak dia mendaftar di universiti itu. Menghabiskan baki malam dengan sesi latihan intensif untuk Paksi Mayaloka di bangunan khas untuk para pemain penguji. Kebanyakan pemain lain hanya akan berada di situ pada waktu petang hingga malam. Hanya Syifaa yang sentiasa hadir pada awal pagi.

Syifaa melangkah keluar dari gelanggang sambil membuka ikatan velkro pada pergelangan lengannya. ADria yang dipakai juga ditanggalkan.

"Syifaa?"

Teguran itu membuatkan Syifaa menoleh. Kelihatan Profesor Kamal datang mendekat bersama tongkat kayu mahogani berlilit logam emas.

"Masih tak boleh lena?"

Syifaa hanya tersenyum kelat sambil mengangguk perlahan.

"Macam mana pelancaran tadi, Prof? Saya tak pergi ...." Bicara Syifaa mati seketika.

"Tapi mesti ramai orang, kan?" Sengaja Syifaa memilih untuk tidak ke majlis pelancaran itu. Dia tidak mahu mengulangi kejadian lalu.

"Boleh tahan ramai, tapi memang itu yang kita mahukan. Supaya lebih ramai dapat merasai dunia baru ini."

Syifaa tersenyum bangga. Sekurang-kurangnya setiap data latihannya digunakan untuk satu pembangunan permainan berteknologi tinggi.

"Ada sedikit perubahan pada data kamu, Syifaa."

Syifaa duduk di bangku besi bersebelahan dengan beg sandangnya. Menanti sambungan kata daripada profesor itu.

"Selepas setahun, kawalan pernafasan kamu semakin baik. Malah kamu lebih fokus dan cekap berbanding pemain lain. Hormon dan neurotransmitter kamu juga ada penambahbaikan. Sangat bagus."

"Tapi ... saya masih dapat mimpi tu." Syifaa menunduk.

Profesor Kamal yang terdengket-dengket bersama tongkatnya mengambil tempat duduk di sebelah Syifaa. Berita gembira yang dibawa itu nyata tidak memberi apa-apa makna buat gadis yang masih gagal untuk tidur dengan mimpi yang indah.

Takhta MayalokaWhere stories live. Discover now