"Ramainya." Fikri memandang sekeliling. Ashraf yang rapat di belakang hanya mengikut langkah Fikri. Matanya sibuk melirik ke arah pesanan ringkas permohonan maaf yang masih belum dibaca oleh Syifaa. Sesekali bibirnya herot sedikit. Memikirkan ke mana gadis itu menghilang.

"Kenapa ada banyak booth kecil yang kosong ni?"

Kening Ashraf sedikit terangkat mendengarkan soalan Fikri. Matanya turut sama beralih memandang reruai kecil yang kosong tidak berhias.

"Oh, kita lepak sana. Dekat sikit dengan pentas." Tunjuk Fikri yang sedari tadi menjengket mencari tempat yang strategik buat mereka berdua.

Ashraf hanya menurut. Matanya masih terus memerhatikan keadaan sekeliling. Tiang-tiang halus yang terpacak entah apa tujuannya itu mula menyalakan lampu malap kebiru-biruan. Dalam pada itu juga dia mencari kalau-kalau Syifaa turut sama berada di situ.

"Kau cari Syifaa ke?" sampuk Fikri apabila melihat Ashraf yang sesekali mendongakkan kepala. Ashraf hanya mengangguk.

"Kenapa? Kau orang gaduh ke?"

Ashraf melepaskan keluhan kecil.

"Tak adalah gaduh, dia tak balas mesej aku aje."

"Gaduhlah tu." Fikri tergelak.

"Kau dengan Syifaa, ada apa-apa ke?"

"Ish, mana ada. Dia anggap aku kawan aje."

"Ya ke?" Mata Fikri dikecilkan.

"Dia anggap kau kawan, kau anggap dia apa pula?" Keningnya diangkat berkali-kali bersama senyuman nakal.

"Kau ni banyak tanyalah. Itu dah nak mula dah." Jari Ashraf terus menunjuk ke arah pentas. Kelihatan seorang lelaki segak dalam tuksedo putih mula melangkah masuk.

Bunyi dengung dari pembesar suara mula menarik perhatian orang ramai untuk berpaling ke arah pentas.

"Selamat datang semua, ke pelancaran Paksi Mayaloka!"

Dataran Dermaga bergema kuat dengan sorakan para pelajar yang teruja.

"Saya Rashid, wakil daripada pihak Universiti VerseMedia mengalu-alukan kedatangan anda semua malam ni bagi menjadi antara orang yang terawal merasai pengalaman melangkah ke dalam dunia Augmented Reality."

Pengumuman itu mendapat tepukan gemuruh. Terasa semakin berkobar-kobar semangat masing-masing.

"Sebelum itu, saya nak sampaikan permohonan maaf daripada Profesor Kamal. Beliau tidak dapat hadir malam ini kerana beliau mahu memastikan pelancaran Paksi Mayaloka berjalan dengan sempurna. Beliau juga berpesan agar kalian semua menikmati suasana malam ini dan berhati-hati dalam keterujaan bereksplorasi."

Masing-masing mengangguk dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Begitu hebat dedikasi yang ditunjukkan oleh Profesor Kamal. Hasil usaha kajian yang bertahun lamanya akan dibentangkan malam ini, khas untuk pelajar Universiti VerseMedia. Menjadikan ia sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi tercanggih dalam bidang pendidikan.

"Baiklah. Tanpa berlengah lagi, saya akan memulakan penerangan tentang sistem Paksi Mayaloka. Mulai esok, ADria yang dipakai oleh kalian semua akan mula mengumpul mata bagi setiap tugasan. Seperti contoh, seorang pemain menyelesaikan teka-teki permainan kecil yang berada di perpustakaan. Jika berjaya, dua mata ganjaran akan diberikan. Mata ganjaran ini, kalian boleh tebus pada mana-mana kios yang berada di sekitar universiti. Permainan teka-teki kecil ini akan berada di tempat rawak. Tidak berjadual dan tidak akan berulang."

Pelajar-pelajar yang hadir malam itu mendongak melihat video hologram seorang mahasiswa yang berjaya menyelesaikan teka-teki lalu mendapat mata ganjaran.

Takhta MayalokaWhere stories live. Discover now