Bab 2

19 5 2
                                    

Langkah kaki yang berlari perlahan terhenti. Ashraf kemudiannya tunduk lalu mengikat tali kasut yang terurai. Peluh mengalir deras dari dahi. Nafasnya sedikit tidak teratur, letih setelah menghabiskan pusingannya yang terakhir. Kali ini, lariannya sengaja dilebihkan beberapa pusingan. Dia mahu menenangkan fikirannya sendiri.

Ashraf kembali berdiri sambil meregangkan badannya dengan mata yang dipejam. Terus wajah masam Syifaa menerjah semula ke ruang fikiran. Ternyata, dia masih tidak mampu untuk berhenti berfikir tentang kejadian tadi, malah masih tertanya-tanya apa yang salah tentang jawapannya.

"Ashraf!" Bahu kanan Ashraf ditepuk.

"Dah habis lari?" Wajah ceria Khairul Fikri muncul menyapa. Dua kakinya masih ligat berlari setempat, tidak mahu berhenti.

"Cukuplah untuk hari ni." Ashraf mencekak pinggang. Baju yang basah bermandi peluh ditarik supaya tidak terlalu melekap ke badannya.

"Eh? Awal lagi." Mata Fikri melirik ke arah jam hologram.

"Jomlah, satu pusingan lagi. Persediaan untuk pelancaran AR malam ni. Aku kena sentiasa ada stamina!" katanya sambil tergelak besar.

Ashraf hanya tertawa kecil.

"AR game aje pun, buat apa nak stamina banyak-banyak?"

"Weh, mestilah kena ada stamina! Kau tak baca forum universiti? Immersive world that requires energy to fight monsters and enemies. Mesti kena lawan fizikal, lari, lompat, bergolek apa semua. Eh, penat pula aku." Lantas Fikri tertunduk mengah, menghentikan larian setempat. Ternyata paru-parunya memerlukan oksigen yang lebih kerana lelah menerangkan gaya permainan Paksi Mayaloka kepada Ashraf yang nyata tidak berminat.

"Stamina kau kurang lagi ni. Paru-paru tak cukup kembang." Tergelak besar Ashraf melihat rakan sebiliknya yang mencungap tidak cukup nafas.

"Kau yang buat aku explain panjang lebar!" marah Fikri.

"Aku masih tak faham kenapa semua orang teruja betul dengan Paksi Mayaloka. Semua tu cuma game online aje. Satu daripada berpuluh lagi kurikulum lain kat universiti ni. Join ke, tak join ke, sama aje." Bahu Fikri ditepuk.

"Wah, bukan main lagi kau! Bukan kau juga ke yang minat gila dengan semua game yang Prof Kamal tu buat?" sindir Fikri menepis tepukan Ashraf.

"Game dia yang lain memang best. Dan aku tak nafikan, Paksi Mayaloka ni bakal jadi magnum opus dia. Tapi aku tak minat sangat dengan AR game. Ramai dah cuba buat, semuanya tak realistik," balas Ashraf dengan nada kecewa.

"Eleh, kau tak cuba lagi. Mana kau tahu? Kau kena cuba dulu. Malam ni, kau wajib ikut aku pergi pelancaran Paksi Mayaloka. Kalau kau dah tengok, tapi kau tetap tak suka, I'll leave you alone, bro. No cap." Janji Fikri bersama senyuman yakin.

"Tak apalah, jadual aku pun dah padat dengan aktiviti streaming. AR bukan forte aku."

"Ah, tak ada." Fikri berdiri tegak semula.

"Kita lumba lari. Kalau aku sampai kolej dulu, kau kena ikut aku malam ni. Satu, dua ...." Tanpa lengah dia memecut laju. Langsung tidak menunggu persetujuan daripada rakan sebiliknya yang tertinggal di belakang.

Ashraf hanya tergelak melihat Fikri seperti lipas kudung, cuba memenangi lumba lari yang jelas tidak adil permulaannya.

Matahari senja mula melabuhkan tirai. Dada langit yang semakin gelap memberi peluang buat sang purnama untuk menyimbahkan cahayanya pada Dataran Dermaga yang mula dipenuhi oleh para pelajar. Cahaya dari lampu limpah yang besar menerangi dataran itu. Masing-masing memakai ADria di kepala. Tidak mahu melepaskan peluang melihat AR yang memukau seperti yang digembar-gemburkan oleh para pelajar dari kelas Profesor Kamal.

Takhta MayalokaWhere stories live. Discover now