Bab 1

15 1 2
                                    


Bahagian kanan tudung shawl hitam miliknya ditarik menyilang ke bahu kirinya sebelum dipinkan dengan rapi. Tangannya naik membetulkan sedikit awning tudungnya yang kelihatan sedikit senget di matanya.

Penampilannya yang lengkap berpakaian formal pejabat itu ditatap seketika sebelum kepalanya terangguk-angguk sendiri apabila dirasakan penampilannya sudah cukup rapi dan sempurna. Tangannya mencapai beg bimbit hitam yang terletak di atas katil.

Setelah memastikan sudah tiada apa-apa lagi yang ditinggalkannya, kakinya melangkah ke arah hadapan pintu bilik adik lelakinya.

Tok! Tok! Tok!

"Woi! Bangunlah! Dah pukul berapa dah ni?!" jerit Afyuna dari luar pintu. Risau kalau-kalau adiknya itu sedang tidak memakai pakaian di dalam bilik.

"Errmmm" Tubuh tegap itu kelihatan bergerak sedikit sebelum posisinya berubah ke kiri pula. Afyuna yang berada di luar bilik sudah menahan geram.

"WOI! BANGUN AH!"

Kelopak mata jejaka itu kelihatan bergerak-gerak sedikit sebelum matanya dipaksa celik untuk melihat dunia. Perlahan-lahan dia baring daripada perbaringannya sebelum dia melangkah ke arah pintu biliknya. Pintu itu dikuak perlahan.

"Astaghfirullahalazim! Woi, pergi pakai seluar kau sekarang!" jerkah Afyuna sambil mengalihkan pandangannya ke arah lain. Mukhriz yang masih mamai itu terkebil-kebil sendiri sebelum dia memandang ke bawah.

Automatik kelopak matanya terbuka luas sebelum dia berlari masuk semula ke dalam biliknya. Terlupa pula yang dia tidur dengan hanya mengenakan seluar pendek paras peha saja!

Selepas beberapa minit, pintu biliknya dikuak semula namun, bayang kakaknya tidak lagi kelihatan di situ. Matanya menoleh ke arah suatu nota kecil yang dilekatkan di pintu itu. Pantas tangannya mencapai nota itu.

'Cepat siap! Nanti lambat! Kau tu mandi mengalahkan aku! Sarapan ada bawah tudung saji. Makan jangan tak makan'

Mukhriz mengalihkan pandangannya ke dalam biliknya sebelum matanya ralit memerhati angka yang ditunjukkan pada jam dinding. Sekali lagi matanya membuntang luas. Dah pukul 8.30?!

Pantas tangannya mencapai kain tuala sebelum dia masuk ke dalam bilik air. Pintu bilik air ditutup kasar. Ah, dia sudah tiada masa lagi!




























*****

Skrin komputer yang memaparkan data-data mengenai perniagaan syarikat miliknya diperhati satu persatu. Fail hitam yang terletak di hujung mejanya dicapai. Pen hitam turut dicapai namun dia tidak menulis apa-apa dia atas lembaran halaman dokumen itu.

Jari jemari runcingnya sibuk memusing-musingkan pen itu. Otaknya menerawang ke perkara lain. Sungguh, banyak betul hal yang timbul baru-baru ini. Dia perlu menyelesaikannya secepat mungkin.

Kerusi pejabatnya dipusingkan menghadap ke arah tingkap pejabatnya yang menunjukkan pemandangan di sekitar bandar Kuala Lumpur itu. Afyuna menegakkan tubuhnya daripada terus bersandar ke kerusi pejabat miliknya itu.

Perlahan-lahan dia bangun daripada duduknya sebelum dia melangkah ke arah sudut hujung bilik itu. Papan kenyataan yang memaparkan status pemasaran perniagaannya ditatap sekilas. Tangannya naik meraba ke bahagian bawah papan kenyataan itu.

Setelah dapat menemui apa yang dicarinya, jari telunjuknya terus menekan punat kecil di situ.

Klik!

Papan kenyataan itu kelihatan agak longgar dan tidak stabil daripada tempat asalnya. Tangan kirinya naik menekan bahagian kiri kaca papan kenyataan itu menyebabkannya menyenget ke kiri sebelum papan kenyataan itu berpusing secara terbalik.

ACE:THE RIVAL CHASE Where stories live. Discover now