6️⃣

60 6 1
                                    

Sarah berjalan di sepanjang koridor untuk menuju ke ruang ketua penyelaras program. Cuba untuk mengumpulkan kekuatan setelah diberitahu oleh penasihat akademiknya bahawa KPP ingin bertemu dengannya. Tak lain dan tak bukan. Ini mesti tentang kes semalam. Usai tiba di depan pintu bilik KPP, Sarah mengetuk pintu itu untuk beberapa kali. Terpampang jelas di pintu bilik itu nama 'Prof. Madya Dr. Wan Fatimah Wan Muhammad'. Setelah dibenarkan masuk, Sarah membuka kasut yang dipakainya lalu membuka pintu bilik tersebut.

Kelihatan Tengku sudah pun berada di dalam. Duduk di kerusi berhadapan dengan Professor. Tengku masih lagi dalam riak yang bersahaja. Langsung tiada rasa gentar.

"Assalamualaikum," ucap Sarah memberi salam sambil memberikan sebuah senyuman kepada Professor. Kepada Professor ya, bukannya untuk Tengku.

"Wa'alaikumussalam, Sarah. Jemput duduk," pelawa Professor. Sarah mengangguk lalu mengambil tempat duduk di sebuah kerusi kosong yang terletak di sebelah Tengku.

"Saya rasa kalian berdua dah tahu kenapa saya panggil kalian berdua datang ke sini, betul?" soal Professor setelah melihat mereka berdua sudah bersedia mendengar segala apa yang keluar dari mulutnya saat itu.

Tengku memandang kearah Sarah, namun pandangan Sarah masih tepat kearah Professor. Sarah sekadar mengangguk ala kadar. Tidak terlalu jelas.

"Memandangkan isu perbalahan itu sudah tular di laman media sosial dan mencemarkan imej universiti ini, saya mengambil berat dan tindakan juga perlu diambil. Boleh saya tahu apa punca perbalahan kalian berdua?" soal Professor tanpa sebarang selindung.

"Tiada apa yang membimbangkan pun, prof. Cuma ada sedikit salah faham antara kami berdua. Itu sahaja," kata Tengku. Sarah terus memandang Tengku dengan riak yang tidak berpuas hati. 'Sedikit salah faham? Kalau betul salah faham, kenapa dia selalu mengungkit hal yang sama?'

"Apa pula kata kamu, Sarah? Betul ke ini sekadar salah faham?" soal Professor kepada Sarah pula memandangkan Sarah masih belum bersuara. Untuk menyelesaikan masalah sebegini, kita seharusnya mendengar dari kedua-dua belah pihak.

"Betul apa yang diperkatakan oleh Tengku tadi, Prof. Salah faham semata-mata. Tapi Tengku..."

Kini, Sarah memandang tepat ke wajah Tengku.

"Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Kalau tiada punca, takkan salah faham timbul macam tu sahaja, betul? Tengku tak perincikan betul-betul apa salah faham itu," sambung Sarah lagi. Sarah memandang semula kearah Professor yang berada di depan mereka berdua.

"Begini ceritanya, prof. Beberapa hari yang lepas, Tengku telah melanggar saya, tapi dia minta saya yang minta maaf pada dia sedangkan sudah terang-terang dia yang melanggar saya. Saya tak minta maaf sebab memang bukan salah saya. Tapi dia ni kan Prof, selagi tiada kata minta maaf yang keluar dari mulut saya, selagi itu dia ungkit. Sebab itulah yang menjadi punca perbalahan kami," cerita Sarah sejujur-jujurnya. Dia sempat menjeling kearah Tengku yang terdiam dengan tindakan Sarah itu.

Mendengar saja apa yang keluar dari mulut Sarah itu, KPP menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil menggaru keningnya. Macam-macam hal lah budak zaman sekarang ni.

"Begini sajalah. Tolak tepi siapa yang betul, siapa yang salah. Saya nak kalian berdua bermaaf-maafan dan perbalahan kalian sampai disini saja," kata KPP mencapai kata putus.

"Saya setuju! Betul apa yang prof bagitahu tu. Nak harapkan Sarah ni minta maaf, sampai ke sudah kata maaf tu tak keluar daripada mulut dia," sokong Tengku pula. Sarah buat muka menyampah.

"Memang bukan salah aku, sebab tu aku tak minta maaf. Sepatutnya kau tu yang minta maaf, bukannya aku," balas Sarah pula.

"Tengok dia ni, prof. Kan tadi prof cakap, tolak tepi siapa yang betul, siapa yang salah. Yang penting sama mengalah," kata Tengku pula mengadu pada KPP.

My Mr. RiderWhere stories live. Discover now