Bab 19: WANITA BERIMAN ITU CERDIK

26 0 0
                                    

"Macam mana mummy sanggup berpisah jauh dengan ayah? I know that you love him so much!"

Tega sungguh mummy mahu meninggalkan mereka sekali lagi. Sebulan yang lalu, mummy membawa diri setelah kisah hidupnya terungkai. Najjah, anak yang dia tinggalkan selepas melahirkannya, berjaya dijejaki semula. Suaminya, Zulkarnain yang telah menduakannya kembali mahu hidup bersama. Namun, mummy memilih untuk hidup sendiri di bumi Perth.

Syukur, mummy sudi pulang untuk meraikan perkahwinannya dengan Nuqman. Dua minggu saja. Esok mummy akan kembali ke Perth, Australia. Dia masih memilih untuk tinggal di sana buat masa ini. Satu perkara yang sukar untuk Puteri fahami.

Nadia menghela nafas panjang. Mendalam sekali pertanyaan Puteri. Dia yang sedang menepuk bantal, berpaling mengadap anak saudara kesayangannya yang sedang duduk berjuntai kaki di birai katil. Tersenyum dia melihat wajah Puteri yang sebenarnya sedang parah merindui sang suami. Pastinya soalan tadi ada kaitan dengan rindu dendamnya yang sedang membusung itu.

Puteri Zulaikha merupakan puteri tunggal arwah peninggalan kakaknya, Puteri Zureeda, yang dibesarkan bagai zuriat sendiri sejak dia berusia sepuluh tahun. Sementelahan Nadia hidup sendiri tanpa anak dan suami. Jarak usia Puteri dengan tiga orang abangnya membuatkan dia terkapai-kapai sendirian bila ditinggalkan ibu. Nadia tak sampai hati melihat keadaannya waktu itu, tekad mengambil alih tempat kakaknya sebagai ibu kepada Puteri. Hingga saat ini, walaupun Nadia sudah bertemu kembali dengan anak gadisnya yang terpisah sejak lahir namun hubungannya dengan Puteri tak berubah.

Nadia meletakkan bantal kembali di tempatnya dan menepuk lembut, memberi isyarat agar Puteri berbaring di situ. Pelawaan itu pastinya takkan ditolak. Anak manja itu segera berbaring di sisi Nadia yang kini duduk dengan kepalanya bersandar di kepala katil. Seperti dulu, tangannya amat tahu apa yang harus dibuat untuk mengubat gundah di hati Puteri. Dielus rambut yang hitam pekat terhampar di bantal empuk itu dengan penuh kasih.

"Sanggup sebab yakin. Sanggup sebab rasa cukup. Sanggup sebab kekuatannya."

Bertambah garisan di dahi Puteri. "Ika tak faham, mummy!"

Nadia tergelak. Pipi Puteri diusap. Hidungnya disentuh. Terasa dia masih seperti dulu. Belasan tahun yang lalu. Sejak kecil, diri Puteri penuh persoalan.

"Mummy yakin dengan kasih sayang ayah. Ke mana pun mummy pergi, terasa kasih sayang ayah sentiasa ada. Mummy rasa cukup. He completes me. Kasih sayang ayahlah yang beri mummy kekuatan untuk teruskan kerja perjuangan mummy. Lagipun, mummy tak perlu risaukan makan pakai ayah. Dia dijaga sempurna." Nadia sempat mengenyit mata sebelum tertawa kecil.

Tapi Puteri tak dapat ikut tertawa. Mana mungkin mummy bahagia bila ayah bersama wanita lain? Atau mummy sebenarnya menyimpan duka? Tangan mummy di kepalanya diraih dan dipeluk ke dada.

"Mummy mesti sedih sebab ayah duakan mummy. Ika tahu... tapi... mummy kuat jiwa. Mummy mampu lawan rasa sedih. Mummy mampu hidup dengan rasa sunyi..."

Terasa seperti replika di cermin, itulah dirinya dan mummy. Hidup kesunyian dan terpisah dari insan tersayang.

"Semua tu jadi mudah kalau kita betul-betul faham, sayang. Takdir tu bukan kita yang tulis. Kita sebagai hamba harus tempuh apapun takdir yang tertulis dengan faham dan yakin. Barulah kita akan rasa reda dengan Sang Penulis Takdir."

Terpana sesaat. Kemudian Puteri bingkas bangun mengadap mummy. Macam tak percaya kata-kata itu lahir dari mummy!

Nadia dah ketawa. Dia tahu apa yang berlegar di minda anak saudaranya itu. "Itulah kata-kata suami Ika."

PERSIS AKAR DANIWhere stories live. Discover now