Bulan madu. Momen terindah. Watak Muhamad Nuqman yang lembut dan pengasih, kadang nakal mencuit jiwa, manalah tak cair hati Puteri Zulaikha! Mereka menghabiskan masa berdua, intim menganyam rasa sambil menghayati sejarah kegemilangan Islam di Turki. Sehati sejiwa, mereka yang penuh misi dan cita-cita makin bulat tekad untuk berbakti kepada saudara seagama walau di bumi manapun. Sementara itu, Nur Maya, gadis yang dijual kekasihnya sendiri, Remy Iskandar, kepada Alvin Lim, ketua sebuah kongsi gelap yang aktif dengan kegiatan pelacuran. Nur Maya yang pernah diselamatkan Nuqman bertindak membantu polis dalam menjalankan siasatan yang diketuai ASP Rizal. Menyedari bahayanya Nur Maya terhadap kegiatan mereka memaksa Alvin Lim mengerah orang-orangnya menculik gadis itu. Mujur perbuatan mereka dihidu Remy yang mahukan Nur Maya semula. Terselamat dari mulut naga, masuk ke mulut buaya. Nur Maya berusaha melepaskan diri dari Remy namun akhirnya membuahkan dendam. Menjejaki Nur Maya membawa Remy dan Alvin Lim ke The Turban, pusat aktiviti kemanusiaan yang diterajui Nuqman. Gagal mendapatkan Nur Maya, Puteri Zulaikha diculik dan dijadikan tebusan. Nur Maya tak sanggup mengorbankan sesiapapun, bertindak sendiri mahu menyelamatkan Puteri Zulaikha. Saat genting menyelamatkan wanita itu bersama gadis-gadis lain yang hendak dilacurkan bukan sahaja mengancam nyawa tapi juga kesetiaan, keyakinan pada cinta malah keimanan mereka. Ujian hidup itu fitrah. Kekuatan menghadapi ujian itu katanya ada pada cita-cita dan cinta. Apakah benar, cita-cita itu mampu bangkit setelah gagal? Cinta yang terhebat itu mampu memaafkan?
27 parts