Bab 18: JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU

33 0 0
                                    

Dua orang lelaki masuk ke kafe di ruang lobi hotel RC di Bukit Bintang. Anak mata mereka meliar seolah-olah mencari sesuatu. Mereka duduk di bahagian luar kafe dan memesan minuman.

Sudah tiga malam mereka ada di situ. Sekadar memesan bergelas-gelas minuman dan memerhati keliling tanpa jemu. Kadang-kadang sampai tertidur-tidur di meja. Sudah macam-macam soalan yang ditanyakan kepada para pelayan kafe yang sabar dengan kerenah mereka. Hendak diminta keluar, mungkin kecut perut dengan riak wajah lelaki-lelaki itu yang tak ubah seperti samseng kawasan. Malah semakin hari semakin ketat muka mereka.

Tiba malam minggu, Miqdam Naufal, pembantu peribadi merangkap setiausaha Nuqman di Peace Yo! tiba ke kafe yang sama untuk menemui Haji Muhamad Nizamuddin seperti yang dijanjikan. Lelaki yang dipanggil Ayah Nizam itu amat disanjungi dan merupakan penasihat di Peace Yo!. Beliau diundang sebagai penceramah tetap oleh penganjur dalam Program 'Solat Membina Peribadi Insan' yang semakin kerap diadakan di hotel itu pada hari sabtu dan ahad.

Tanpa menyedari sesuatu yang aneh, Miqdam yang segak bersongkok hitam memesan minuman. Tangannya sibuk menyelak isi kandungan yang baru disiapkan untuk disemak oleh Ayah Nizam sebelum dilaksanakan. Kempen Jihad yang mereka rancangkan khusus untuk membantu negara saudara seIslam di Timur Tengah. Kempen itu bakal digerakkan oleh seluruh jentera Peace Yo! secara serentak di dalam dan luar negara secara besar-besaran.

Namun Kempen Jihad kali ini memfokuskan kembali kepada maksud jihad yang sebenar. Jihad yang bermaksud berusaha bersungguh-sungguh memerangi 'musuh'. Menurut ajaran Sunnah wal Jamaah, 'musuh' yang dimaksudkan ada 3 bahagian.

Jihad melawan hawa nafsu adalah jihad paling besar yakni berusaha bersungguh-sungguh membuang segala mazmumah (sifat buruk) dan menyuburkan sifat mahmudah (sifat baik) semata-mata kerana Allah. Melalui jihad ini, kita akan rasa takut melanggar hukum Allah dan berjuang untuk mentaati Allah. Ya... berjuang! Bukan buat sekadar yang mampu atau bila mampu. Itu bukan jihad namanya.

Bukan mudah nak berjihad melawan nafsu kerana nafsu itu amat halus, sentiasa berbisik dalam diri, sangat mendorong untuk melakukan perkara yang tak disukai Allah. Maka wajib belajar mendalami ilmu untuk menundukkan nafsu bersungguh-sungguh. Pantang hati lalai sedikit, nafsu mula berperanan untuk kembali menyuburkan mazmumah. Jihad melawan hawa nafsu memang meletihkan sepanjang usia. Hanya dengan usaha yang gigih dan berterusan akan memberikan kejayaan dalam jihad yang besar ini dengan izin Allah. Maka selamatlah di dunia dan akhirat.

Bahagian kedua adalah jihad melawan syaitan. Syaitan berbisik mempengaruhi manusia meniti di atas mazmumah yang ada dalam hatinya. Tapi kalau sudah berjaya tundukkan nafsu, bersihkan hati dari mazmumah, syaitan akan gagal mempengaruhi hati. Maka terselamatlah dari tipu daya dan pujukan syaitan. Kalau kuat tauhid dalam diri, syaitan juga gagal menipu agar manusia mensyirikkan Allah. Sebab itu, jihad melawan nafsu amat penting untuk membersihkan hati. Hati yang beriman tak akan dikuasai syaitan.

Bahagian ketiga adalah jihad melawan musuh Islam yang nyata. Musuh Islam ini harus benar-benar dikenalpasti. Ia terbahagi kepada perang mempertahankan diri jika berdepan dengan musuh yang cuba menggugat agama Islam. Kemudian, perang berbentuk menyerang iaitu apabila masyarakat Islam menyebarkan dakwah kepada masyarakat lain tapi dihalang daripada menyampaikan kebenaran. Seterusnya, jihad yang berbentuk kerahan tenaga ketika musuh menyerang negara Islam dan menggugat agama, bumi dan kebebasan beragama umat Islam.

Jihad berbentuk peperangan ini mesti benar-benar merujuk kepada akhlak Rasulullah SAW dalam peperangan. Jihad melawan orang kafir dan fasiq ini harus dengan perbuatan, harta, lisan dan hati.

Selari dengan maksud jihad, Peace Yo! melancarkan kempen ini untuk memahamkan masyarakat terutama golongan belia yang mudah terjebak dengan propaganda kumpulan militan yang memperjuangkan ideologi keganasan dan sikap mereka suka mengkafirkan golongan yang tak sehaluan dengan mereka. Cara hidup, tindakan dan akhlak mereka menyimpang jauh dari apa yang diajarkan Rasulullah SAW.

PERSIS AKAR DANIWhere stories live. Discover now