BAB 10: IS THIS HOW MUCH YOU LOVE ME?

70 1 0
                                    

Puteri Zulaikha yang melangkah menuruni anak tangga dari lantai mezanin diiringi Najjah, Mummy Nadia dan Kak Nur. Beberapa orang ahli keluarga terdekat juga ikut bersama.

Mereka semua tak dapat menahan senyum bila melihat Muhamad Nuqman berdiri segak lagak seorang putera di kaki tangga, tersenyum manis menunggu ketibaan puterinya. Namun ramainya tetamu jemputan yang berdiri memenuhi ruang lobi yang turut sama menunggu ketibaannya membuatkan Puteri jadi gugup dan malu. Sangkanya, semua tetamu sudah mengambil tempat di dewan seperti yang tertera dalam kad jemputan.

Melihat riak wajah jelita Puteri berubah saat dia mengitari ruang lobi, Nuqman bertindak mendaki anak tangga untuk mendapatkannya. Bimbang juga kalau isterinya jadi gementar dan goyah kaki ketika melangkah turun walaupun dia tidak bergaun pengantin yang meleret sepanjang tangga. Memang itu permintaan Nuqman kerana Islam melarang pakaian demikian agar dapat mengelak rasa sombong dan bangga bertamu di hati.

Dibaluti gaun putih bersih dua lapis yang mana bahagian dalamnya berbentuk trumpet longgar dan jatuh agak kembang ke bawah mencecah tumit. Rekaan itu dari kain jenis tafetta sutera yang lembut berkilau. Bentuk tubuh Puteri terlindung di balik lapisan luar gaun dari sifon lembut dengan taburan manik rona perak berkilauan yang kelihatan seperti jubah terbelah dan kembang dengan labuh yang sama. Tudung rona yang sama dililit di kepala menutupi mahkota wanitanya dan jatuh labuh berombak lembut menutupi dada tanpa sebarang perhiasan namun amat menyerlahkan kejelitaan raut wajah Puteri yang disolek dengan gaya solekan natural pada malam itu.

Saat putera dan puteri itu saling bertatapan dan mengatur langkah demi langkah untuk bertemu, seluruh yang memandang bagai menahan nafas menyaksikan detik penyatuan pasangan itu di atas tangga di tengah ruang utama The Turban yang direkabentuk oleh sang putera itu sendiri. Berjubah dan berserban putih, Nuqman menambat hati sesiapa saja yang memandang. Apatah lagi Puteri yang sudah melimpah-ruah rindu dan kasih di dalam. Lelaki itu akhirnya menghulur tangan sebaik saja dia menghampiri dan Puteri merendahkan kakinya, tunduk menyambut dan mengucup dengan rasa terharu. Lelaki itu amat memahami. Debarnya hilang bagai disimbah air dingin dan kini dia tak lagi cemas menghadapi tetamu bila suami muncul di sisi.

Kerdipan sepasang mata bundar itu ditatap Nuqman dengan rasa kasih yang bergetar hebat hingga terasa jantungnya berdenyut bahagia. Dalam memanjat syukur, jemari Puteri diraih ke bibir dan dikucup penuh kasih. Kemudian dia memanjat selangkah anak tangga lagi lalu mengucup lembut dahi kekasihnya. Terkejut dan terharu, terpejam mata Puteri menahan sebak atas perlakuan suami yang amat menyentuh hati wanitanya. Terasa diri benar-benar dikasihi dan dihargai.

"Abang tak pasti sama ada abang jatuh cinta sebab Ika jelita atau Ika jelita sebab abang cintakan Ika," wajah serius Nuqman buat seketika mengejutkan Puteri hingga sepasang matanya berlari-lari menjamah seluruh wajah lelaki itu sebelum tertawa malu bila dia memahami apa maksud bicara suaminya. Najjah bersama dengan yang lain juga ikut ketawa mendengar usikan Abang Nuqman. Nakal menggoda!

Santai meluahkan kata cinta dan memuji paras wajahnya buat kali pertama membuatkan Puteri di awangan. Bagaikan sedang bercinta di atas pelangi! Senyum tawa terus menghiasi wajahnya saat mereka turun beriringan berpegangan tangan.

Serentak itu paluan kompang memecah hening sunyi suasana dan selawat ke atas Nabi tercinta bergema di seluruh ruang. Nuqman dan Puteri berpandangan dan tertawa malu bersama. Asyik dengan debaran di dada sampai lupa kepada ramainya tetamu yang menonton aksi mereka di tangga!

Pandangan Nuqman jatuh kepada sekumpulan remaja Peace Yo! yang sedang memalu kompang sambil berselawat menuju ke kaki tangga untuk menyambut ketibaan pengantin. Bijak Nabil menyusun acara!

Kini Nuqman tersenyum puas. Bahagia terserlah dalam bening matanya. Puas! Puas dia dapat menyentuh dan mengucup dahi isterinya tanpa perlu berselindung lagi. Hari ini, dengan restu Ilahi dan semua yang hadir, dia akan bersama dengan isterinya dalam susah dan senang. Dia bebas melahirkan kasih sayang yang selama ini terpendam. Dia juga mahu semua orang tahu, Puteri Zulaikha adalah miliknya seorang. Jangan ada sesiapa lagi yang bermimpi tentangnya!

PERSIS AKAR DANIWhere stories live. Discover now