BAB 8

672 59 1
                                    

Aku menghirup udara segar. Ah, dah lama tak tarik nafas lega macam ni. Boleh cuti sehari pun jadi lah hilangkan stress di kepala. Kalau dulu stress dengan masalah di kampung, sekarang stress dengan masalah di bandar. Entah bila yang aku nak boleh ada kehidupan sendiri pun aku tak tahu.

Aku berjalan-jalan mengelilingi bahagian sayur dan buah. Banyak barang rumah yang nak kena beli. Kalau nak harapkan pekerja lain, huh. Diaorang tu nak pilih sayur pun tak reti. Aku mengekek sendiri, sukalah ya boleh mengutuk dalam hati.

"Sukanya dia... Pilih sayur pun boleh gelak eh?" Bahuku terhenjut sedikit apabila disergah begitu. Satu suara yang agak tidak asing menegurku dari belakang. 

"Tuan Fayyadh..." Aku menunduk laju. Aduh bertemu pula kita di sini.

"Tak payahlah panggil tuan, geli telinga dengar. Awak beli barang dapur ke?" Aku mengangguk.

"Oh... Saya ingatkan beli keperluan sendiri. Datang sini naik teksi ke?" Dia bertanya lagi. Aku menggeleng.

"Jalan kaki," jelas di riak Fayyadh menunjukkan dia agak terkejut. 

"Jalan... Tak jauh ke?!" Fayyadh separa menjerit. Orang yang lalu-lalang menjeling ke arah kami.

"Err, Encik Fayyadh tak perlulah nak terkejut sampai macam tu. Saya dah biasa..." Fayyadh berdehem menutup malu. Mukanya sedikit merah.

"Oh, ehem. Sebenarnya dari semalam saya nak tanya... Awak ni betul-betul dari kampung Tasek Mutiara ke?" Aku mengangguk.

"Kenapa saya tak pernah nampak pun... Boleh tak bagitahu saya, siapa nama ibu bapa awak? Mana tahu saya kenal." 

"Encik Fayyadh, saya dah beritahu semalam saya tak ada ibu bapa." 

"Mustahil awak tak ada ibu bapa, kalau pun mereka tinggal awak dekat orang lain takkan awak tak tahu langsung nama diaorang?" Fayyadh masih mencuba nasib. Aku mengetap bibir.

"Ibu saya, Sarah. Sarah Rahman. Ayah saya, saya tak tahu. Saya tak oernah jumpa mereka. Ibu saya meninggal lepas lahirkan saya," aku menjawab acuh tak acuh. Sungguh aku kurang berminat kalau ada orang bertanya hal peribadi sebegini.

"Sarah Rahman..." Dia mengulang nama itu beberapa kali. Aku terus berlalu pergi. Semakin lama aku mendengar nama itu semakin membuak-buak rasa benci di dalam diri.

"Eh Alanna, tunggulah saya." Fayyadh mengejarku. Aku hanya memberi pandangan menyampah. Jika tadi aku agak malu untuk bersemuka dengannya namun sekarang aku tidak mahu bertemu. Aku cukup benci orang yang sibuk dengan kehidupan orang lain.

"Awak nak apa lagi, Encik Fayyadh? Saya dah jawab soalan encik. Boleh biarkan saya beli barang dengana tenang?" Aku bertanya kasar. Fayyadh tersengih.

"Maaf, maaf. Saya akan tinggalkan awak, tapi boleh saya dapatkan nombor telefon awak?"

"Saya tak ada telefon," aku menjawab. Ya seumur hidup aku, aku tiada alat canggih itu dan tidak pernah menggunakannya. Pernah sekali aku cuba memegang telefon milik Ayra namun selepas itu aku ditampar dan dipukul kerana telefon itu jatuh ke dalam singki berisi air. Padahal bukan angkara aku, tetapi Puan Afiqa. Sejak saat itu aku sangat anti dengan peralatan atau teknologi yang canggih.

Baru sahaja Fayyadh mahu membuka mulut, telefonnya berdering. Aku menjeling ke arahnya kerana terlalu bising namun aku agak berterima kasih dengan deringan itu kerana akhirnya aku boleh lari dari dia. 

Kaunter pembayaran terus aku tuju, Fayyadh yang memanggil namaku tidak aku hiraukan. Alahai dia ni, buat aku malu betullah. Habis satu pasaraya tahu nama aku "Alanna Alisha". Ingat ni drama pukul 7 ke apa nak main jerit-jerit macam tu. Orang sekeliling mula melihat ke arah kami, aku tidak hiraukan semua itu. Usai membayar cepat-cepat aku berlari keluar.

Baru sahaja aku menjejakkan kaki ke tanah dan mahu menyeberangi jalan, ada sebuah kereta datang menghala ke arahku. Aku terkedu dan automatik kakiku menjadi keras. Mujur Fayyadh cepat-cepat menarikku ke ke tepi.

"Alanna Alisha, awak ni dah kenapa hah! Kot ya pun nak lari saya, boleh tak sebelum melintas tu tengok kiri kanan. Buatnya awak kena langgar, aku nak bagi saya trauma ke tengok darah awak merecik sana sini? Saya ni dahla tak boleh tengok darah, kalau saya pun masuk hospital sekali dengan awak siapa nak tanggung?" Fayyadh memarahiku. 

Aku diam bercampur geram. Diam kerana dimarahi, geram kerana dalam banyak-banyak saat malang aku kenapalah Fayyadh juga yang membantu?! Haih.

"Awak balik dengan saya..." 

"Hah?!" Aku separa menjerit. Gila.

"Tak payah nak terkejut sangat, selepas apa yang saya tengok tadi awak ingat saya nak lepas awak balik seorang diri dengan jalan kaki macam tu? Memang tidaklah!" Barang-barang yang aku bawa sudah Fayyadh rampas. Aku terkedu. Mahu tak mahu akhirnya aku hanya mengikut kehendak dia.

Barang diletakkan di belakang. Aku membuka pintu belakang, manakala Fayyadh membuka pintu hadapan.

"Eh tu nak duduk mana?" 

"Duduk dalam kereta lah, takkan atas langit pula!" Aku menjawab geram. 

"Taulah duduk dalam kereta, tapi bukan dekat belakang. Duduk depan." 

"Kalau saya taknak?" Amboi, aku semakin berani ya. Sebelum ni penakut sangat. Entah kenapa dengan lelaki ini saja aku dapat menyuarakan isi hati yang terbuku.

"Belakang hanya untuk bos sahaja, awak bos saya ke nak duduk belakang? Saya ni pemandu awak, macam tu?" Dia menyindir. Aku menarik muka masam kerana terbotol dengan perbuatan sendiri. Sudahnya aku duduk juga di hadapan, di sebelah pemandu.

"Pakai tali pinggang keledar tu." Fayyadh menegur. Aku hanya memasang muka masam dan memekakkan telinga. Malas aku mahu melayan, otak sekarang lebih risau kalau ada sesiapa nampak kami berdua kemudian aku difitnah bukan-bukan.

"Haih budak ni..." Fayyadh melepas nafas geram. Dia mendekatiku dan menarik tali pinggang keledar itu. Muka kami tersangat dekat sehingga dapat aku merasa hembusan nafasnya. Matanya tidak lepas dari merenung mataku. Selepas tali pinggang dipasang, dia kembali ke tempat duduk. Mukaku bertukar merah.

"Itulah yang akan terjadi kalau ada orang degil tak nak pasang tali pinggang sendiri," sekali lagi Fayyadh menyindir. Aku memeluk tubuh, masih memasang muka masam. Fayyadh memulakan perjalan dan kami hanya diam. 

𝐓𝐡𝐞 𝐃𝐚𝐫𝐤 𝐓𝐫𝐚𝐮𝐦𝐚حيث تعيش القصص. اكتشف الآن