BAB 4

716 64 2
                                    

Alanna Alisha, 19 tahun.

Prang! 

Aku terkedu melihat kaca pinggan yang jatuh bersepah di atas lantai. 

"Alanna!" Namaku diseru. Pantas aku berdiri tegak menghadap ke belakang. 

Pang! 

Mukaku terasa berpijar. Aku berkerut menahan sakit ditampar. Mata-mata yang ada semuanya berbisik-bisik sesama sendiri, tiada satu pun yang datang atau berniat mahu membantu jauh sekali menghalang. Namun aku tau kenapa, kerana aku anak haram.

"Kau ni memang suka habiskan duit aku eh? Kau tahu tak pinggan tu mahal?! Sekeping sahaja dah beratus, macam mana kalau berkeping-keping kau pecahkan. Kau nak ganti?" Aku diam tidak berkutik.

"Jawab aku tanya, kau nak ganti ke?" Perlahan-lahan aku menggeleng.

"Maafkan saya, puan..." Aku menuturnya dalam nada yang sangat perlahan. Sudahlah ditampar, dimalukan pula.

"Aku ni dah sabar lama dengan kau. Kau ikut aku sekarang," telingaku dipegang. Puan Afiqa menarikku supaya berjalan mengikutinya. Terjerit-jerit aku menahan sakit. Pandangan yang diberikan dari orang sekeliling tidak aku hiraukan.

Tubuhku ditolak masuk ke dalam reban ayam. Tangan dan kakiku sudah tidak tahu bagaimana mahu aku gambarkan. Reban ini terlalu sempit untuk seorang manusia duduk walaupun berbadan kecil.

"Kau duduk dalam ni sampai malam, jangan berani-berani kau fikir nak lari. Disebabkan hari ni kau dah pecahkan pinggan mahal aku, aku takkan bagi kau makan!" Pintu reban ditutup kasar. Aku semakin terhanyak ke belakang.

Aku tidak boleh menggerakkan kepala atau anggota badan walau seinci. Tempat ini terlalu sempit. Hanya bertemankan cahaya dari celah-celah bumbung aku termenung memikirkan nasib sendiri. Masih terngiang-ngiang di telinga, ketika aku kecil mereka selaku menceritakan buruk ibu. Aku yang ketika itu tidak memahami apa-apa hanya diam mendengar. Semakin besar aku semakin keliru. 

Jika dulu dapat aku rasakan ibu bukan seperti itu namun kini, saat ini... Aku membenci sosok yang aku panggil "ibu". Disebabkan ibu lah aku terpaksa menderita selama 16 tahun. Sedari umur aku 4 tahun, aku disuruh berbagai benda. Menghadap segala caci makian baik orang kampung mahupun penjaga. Menghadap segala hinaan dan deraan baik siapa sahaja. Aku membenci diri sendiri namun tiada apa yang mampu aku lakukan, aku terlalu lemah.

Tipulah jika aku cakap, aku tak mahu mati. Jika kematian yang diaorang mahukan aku akan ikut. Namun entah kenapa aku masih bertahan hingga sekarang.

Mataku semakin kuyu, nafasku juga semakin sesak. Aku mula mendapat keselesaan dalam keadaan begini. Aku cuba menahan ngantuk yang mengusai namun aku gagal. Kepala aku gerakkan sedikit untuk diberi keselesaan melentok. Perlahan-lahan mata aku pun...

"Keluar," satu suara dingin dan sedikit garau memenuhi gegendang telinga. Tanganku ditarik, dan aku keluar dari reban itu.

"Kau ingat kau boleh tidur dekat mana-mana saja ke sampai dalam reban pun kau nak masuk?" Lelaki itu berkata, dari nadanya agak kasar untuk didengari.

"Aku penat," hanya itu yang keluar dari mulut. Lelaki itu hanya mendengus. Aku melihat keadaan sekeliling. Terlalu lama aku berada di dalam reban itu, tanpa aku sedar rupanya sudah malam.

"Alamak, aku kena balik." 

Badanku sedikit mengigil apabila membayangkan kemarahan puan Afiqa kalau dia tahu aku keluar namun tak balik ke rumah. Cepat-cepat aku membuka langkah dan beredar dari tapak majlis siang tadi. Majlis kesyukuran untuk cucu pertamanya.

"Oi kau nak pergi mana?!" Lelaki itu menjerit namun aku abaikan. Tidak penting untuk aku layan. Dia dan aku. Kami takkan bertemu lagi di masa hadapan.



"Hah, aku fikir kau dah tak reti nak balik rumah. Manalah tau merayau cari anak teruna orang, nak cuba ikut jejak mak kau kan." Puan Afiqa menyindir. Aku hanya mengetap bibir dan berlalu ke belakang. Aku nak mandi.

"Oi, kau nak pergi mana tu?!"

"Saya nak pergi mandi, badan saya kotor."

"Mandi dekat telaga luar, jangan mandi dekat dalam. Kotor rumah aku nanti." Puan Afiqa mengarah. Aku hanya mengangguk.

"Eh nak pergi mana?" Sekali lagi langkahku terhenti.

"Kau kata badan kau kotorkan? Keluar lah ikut pintu depan jalan kaki ke belakang. Kotorlah lantai nanti kena pijak dengan kaki busuk kau tu," sekali lagi aku hanya mengangguk. Aku memutarkan badan ke belakang dan melangkah keluar. 

Sebaik sahaja aku keluar, puan Afiqa terus berlari ke pintu dan menguncinya. Aku yang ketika itu kebetulan belum turun dari tangga berlari-lari ke arah pintu dan menolak kasar.

"Eh, puan. Puan! Jangan kunci saya diluar ni. Puan! Tolong buka pintu!" Aku menjerit-jerit merayu. Namun yang dengar hanyalah gelak tawa dari mulut perempuan itu.

"Dah alang-alang kau nak keluar sangat kan, kau tidur terus jelah dekat luar. Kau asyik terbongkang atas lantai tengah ruang tamu ni buat sakit mata aku saja tengok. Pandai-pandai lah kau pilih nak tidur mana. Jangan risau, penculik pun tak hingin nak culik anak haram macam kau tu," kata-kata itu disambung dengan tawa sinis.

Aku terduduk dan tersandar ke dinding rumah. Sekali lagi, gelaran anak haram bermain di otak. Sememangnya, hina sangatkah diri ini? Aku bersandar, kepala didongakkan menghadap langit

"Tuhan... Ujian apa ini?" Aku berkata-kata di dalam hati.

𝐓𝐡𝐞 𝐃𝐚𝐫𝐤 𝐓𝐫𝐚𝐮𝐦𝐚Where stories live. Discover now