𝐀𝐋𝐓𝐀𝐅 | 𝐄𝐈𝐌𝐀 - 12

Start from the beginning
                                    

Eima angguk kecil. Dengan tingkah yang agak gugup, Eima mencabut perlahan tudung sarung di atas kepala. Usai meletakkan tudung ke tepi, jemari halusnya turut membetulkan rambut yang mungkin serabai.

Matanya yang tadi kuyu membesar secara perlahan melihat mahkota milik Eima yang tersimpan elok selama ini. Sehingga ternaik alis lebatnya.

Melihat rambut Eima yang terlepas dari ikatan automatik jemari Altaf naik menyentuh di situ.

Darah gemuruh menderu pantas ke tubuh saat jemari kasar milik Altaf berlanggar dengan dahinya. Jari telunjuk lelaki itu menyangkut rambut Eima ke celah telinga. Bibir diketap seraya dagunya bergetar menahan debar.

Altaf masih terpana. Liar anak matanya bergerak menjamah Eima. Dari ekor kuda yang tidak terlalu panjang dengan hujungnya yang ikal lalu jatuh ke leher milik wanita itu. Tidak semena, ada satu rasa yang menjalar di hati. Tubuhnya turut meremang kecil.

Sedar dengan dirinya yang kian hanyut, lekas Altaf menghalau rasa yang berkelubung tadi supaya menjauh. Nafas diambil panjang. Bahaya.

"Sorry."

"T— tak apa..." Jawab Eima perlahan. Entah mengapa, muncul sedikit rasa kecewa mengenangkan Altaf yang sudah berhenti separuh jalan.

Altaf berdehem beberapa kali. Menghilangkan kecangguan diantara mereka. Jemari yang menyentuh wajah Eima tadi digenggam. Sisi wajah Eima kembali ditatap.

"Eima. Kita tidur asing dulu, boleh?"

Zap!

Laju Eima angkat kepala dan memandang Altaf. Riak wajahnya terkejut habis. Lagian mendengar aksara yang ditutur oleh Altaf. Meskipun dia dengar ayat yang diajukan oleh Altaf tadi sekadar persoalan, tetap dia nampak tekad disebalik air muka itu.

Tak nak, Altaf. Saya nak tidur dengan awak. Sebilik. Sekatil. Mahu sahaja Eima membantah seperti itu. Tetapi melihat wajah Altaf, tidak sampai hati pula. Mungkin Altaf perlukan masa.

Altaf yang mahu bersuara, keanehan melihat Eima yang sudah berdiri.

"Okey. Awak tidurlah sini. Saya tidur bilik lain." Sehabis baik Eima berusaha untuk menyembunyikan rasa sakit di hati.

Orang tak sudi, tak akan Eima nak memaksa, kan? Altaf mahu ambil dia sebagai seorang isteri pun, Eima sudah lebih pada syukur.

Eima makin hiba. Rasa sakit kian hadir. Dia sudah sampai depan pintu pun, Altaf tidak menghalang. Jangankan bersuara, menahan Eima pergi pun tidak.

Tidak tertahan, Eima mengeluh. Tombol pintu dipulas. Kuak sahaja daun pintu, kekuranya ditindih. Terbeliak besar biji matanya saat satu tangan sudah berlabuh di sebelah kepalanya dan menolak daun pintu itu supaya kembali tertutup. 

Terperanjat habis Eima kala tangannya di tombol pintu tadi sudah berada dalam genggaman tangan Altaf seraya dibawa turun. Bahunya turut dicengkam lembut.

"Aku minta maaf, Eima." Tutur Altaf senada. Kesal dan marah dengan diri sendiri yang sudah menyakiti hati isteri. Meskipun Eima bersetuju, sudah terang lagi bersuluh Eima tidak suka akan cadangannya tadi.

Eima ketap bibir. Tubuhnya dipalingkan menghadap Altaf. Kepala dilangutkan sembari melihat Altaf yang lebih jauh tinggi berbandingnya. Melihat seraut tampan itu, Eima senyum. Selesa genggaman jemari Altaf dibalas.

''Saya okeylah awak. Saya tahu awak penat. Rehatlah.'' Lagipun Eima tidur buas. Habis satu katil mahu dikongkongnya. Takut juga Altaf tidak selesa. Katil dalam biliknya ini kecil sahaja.

''Tapi sebelum tu, saya ada satu permintaan. Itupun kalau awak tak keberatan.'' Jari telunjuknya diangkat tinggi.

Alis Altaf terangkat. Permintaan?

ALTAF'S SAVIOURWhere stories live. Discover now