2 - eri

5 0 0
                                    

13 Februari.

"SARAPAN dulu." Seperti biasa, abah akan bersuara keras memanggil aku untuk bersarapan. Jika diikutkan, bukanlah aku peduli sangat untuk aku mengisi perut, tetapi untuk makan semeja dengan keluarga kesayangannya adalah perkara terakhir yang aku akan lakukan dalam hidup aku.

Sampai mati, mana mungkin aku ingin duduk semeja dengan mereka. Jijik.

"Iqbal."

Rimas, aku mengeluh kasar seraya berpusing ke meja dan mencapai sekeping roti. Aku menyumbatnya ke dalam mulut sebelum terus keluar dari rumah dan berjalan ke sekolah.

Sekolah? Kau betul-betul fikir aku nak ke sekolah? Kalau bukan kerana ada mak dan adik kesayangan aku tu, memang aku malas nak jejakkan kaki ke sana. Bosan. Tapi aku tak mahu juga orang pandang aku serong sebagai budak tak guna, jadi tak ada salahnya aku tetap ke sekolah. Belajar atau tak, itu belakang cerita. Ah, tak kisahlah. Kurang setahun je lagi aku kena hadap sekolah ni.

Cuaca hari ini cerah, tapi tidak terlalu panas. Walaupun Matahari jelas kelihatan di langit, tapi awan-awan juga tak mahu kalah berarak memenuhi langit, menghalang sinaran Matahari yang melampau bahangnya.

Waktu aku berjalan, tiba-tiba aku ternampak seorang gadis. Cantik. Cantik seperti anak patung. Spontan, aku rasa ada senyum sinis yang tersungging di bibir. Tapi, apa yang mengganggu aku adalah, gadis ini nampak sedih. Dan keseorangan.

Tiba-tiba juga, sepasang matanya bertembung dengan mata aku. Aku cuma angkat kening tanda hairan. Tapi tak semena-mena, dia toleh ke belakang bagaikan tak percaya sebelum pandang aku semula. Bezanya kali ini, matanya melebar. Mulutnya juga sedikit terlopong. Terkejut, mungkin?

Tapi kenapa?

~~~

Aku masuk ke kelas. Seperti biasa, kawan baik aku Aril mengangkat tangan tanda menyapa. "Oi."

"Oi," aku tegur semula sebelum duduk di tempat aku. Belum sampai 10 minit aku terlelap, Cikgu Awang menapak masuk ke kelas.

Aku merengus malas.

Sepanjang dia mengajar, aku sikit pun tak fokus. Bosan, aku menjeguk ke luar tingkap. Sekaligus pandangan aku disambut dengan padang yang terbentang luas. Ketika itu, gadis yang aku nampak di tepi jalan tadi tiba-tiba ada di situ. Aku tersentak sikit. Dia memang pelajar sekolah ni ke? Kalau ya, tak pernah pula aku nampak. Hmm, mungkin junior atau pelajar baru.

Saat matanya dan mata aku bertembung, gadis itu nampak teruja. Tangannya terus melambai-lambai, semacam mahukan perhatian. Aku berkerut sikit. Perempuan ni kenapa sebenarnya? Aku cuma angkat kening tanda menyoal apa yang dia mahukan.

Melihat aku memberi respon, gadis itu langsung melonjak keriangan. Dia bertepuk-tepuk tangan sendiri seperti teruja benar kerana aku melayannya.

Gila ke apa?

"Hayyan Iqbal!"

Refleks, aku toleh ke depan. Cikgu Awang nampaknya sudah menyinga sambil bercekak pinggang. Aku angkat kening seraya merespon, "Apa?"

"Ada apa-apa yang menarik kat padang tu?

Aku angguk. "Ada. Lagi menarik daripada topik yang cikgu ajar hari ni," aku jawab dengan bersahaja. Inilah sebabnya kebanyakan masa aku tak suka buka mulut. Macam-macam boleh keluar. Kurang ajar? Aku tahu. Tapi rasa bersalah itu tak ada. Seorang Hayyan Iqbal peduli tentang sikapnya sendiri? Lambat lagi rasanya

Mungkin tidak menyangka aku akan jawab begitu, ada beberapa tawa yang aku dengar terlepas dari bibir-bibir teman sekelas aku.

Cikgu Awang menjerkah, "Senyaplah! Kamu semua rasa kelakar ke?" Langsung seisi kelas senyap.

Hidup Where stories live. Discover now