EPISOD 6: MAYAT HIDUP?

279 12 12
                                    

MISTERI POHON CEMARA
Episod 6

20.4.2022 (Rabu)
(6 bulan lepas):

Sekejap sahaja darah mula memercik keluar dari dahi Kay. Warna merah memenuhi bucu meja dan sebahagiannya menitik ke lantai ruang tamu.

Aku menjadi panik.

Akhirnya tubuh layu Kay jatuh tersungkur di atas lantai ruang tamu. Semakin banyak darah yang membuak-buak keluar daripada dahi Kay. Lantai ruang tamu berwarna cerah perlahan-lahan bertukar warna menjadi tompokan merah pekat.

Aku menerpa ke arah Kay. Tanganku pantas mencapai sehelai skirt kepunyaan Kay yang kebetulan tersidai berhampiran sofa. Aku pangku kepalanya di atas ribaanku sambil cuba menutup luka di dahi dengan skirt. Namun luka di dahinya tidak berjaya aku tutupi kerana terlalu dalam dan terlalu besar. Darah terus mengalir keluar membasahi lantai.

"Kay..Kay," panggilku berulang kali sambil menepuk-nepuk kedua belah pipinya yang dibasahi darah.

Kay tidak menyahut panggilanku. Hanya terdengar dengusan nafasnya yang semakin singkat dan dalam. Matanya kelihatan kuyu. Dada pula berombak kencang. Bibirnya bergerak seperti ingin mengucapkan sesuatu. Tapi suaranya cuma tersekat di kerongkong.

Aku memeluk tubuh Kay, berulang kali mencium kepala dan dahinya yang berlumuran darah. Kemudian aku rapatkan bibirku ke telinganya, cuba mengajar dia mengucap.

Dalam keadaan serba tak kena, mataku cuma mampu memandang tubuh Kay yang semakin kaku. Merenung wajahnya yang kian pucat. Titis air mata membasahi dua kelopak mataku, berderaian jatuh menimpa pipi Kay, bersatu bersama warna merah darahnya. Oh Tuhan, mengapa ini yang seharusnya terjadi?

Ketika kepala Kay masih di atas ribaanku, mataku terarah kepada baju, seluar dan sebahagian tangan dan mukaku yang dibasahi tompokan darah. Aku semakin panik, tidak tahu apa hendak dibuat seterusnya. Fikiran buntu. Buntu sebuntu-buntunya.

Aku ingin memanggil ambulan tetapi akhirnya membatalkan hasrat itu. Aku tidak mahu apa yang berlaku itu menjadi kes polis. Aku tidak mahu merengkok di dalam penjara apa lagi ke tali gantung. Aku tidak mahu hilang kerja dan hilang segala-galanya dalam hidupku.

💥💥💥💥💥💥💥💥

24 Oktober 2022 (Isnin)

Walaupun tragedi berdarah itu sudah enam bulan berlalu namun apa yang berlaku sentiasa menjadi igauanku. Kadang-kadang aku takut dengan bayang-bayang sendiri. Aku tahu, tragedi tersebut bukan salahku. Ia adalah satu kemalangan. Tapi kemalangan itu tidak seharusnya berakhir dengan cara begitu. Cara yang sangat kejam.

Dan kini Kay muncul kembali di rumah ini. Seorang Kay yang sekarang sedang berada di sebelahku, sedang mensterika pakaianku di ruang tamu. Seorang Kay yang tidak sedikit pun mempunyai parut di dahinya selepas tragedi 20 April itu. Seorang Kay yang 360° berbeza dengan Kay terdahulu.

Di atas sofa, benakku masih tidak habis berfikir tentang Kay. Jika dia benar-benar Kay, seorang Kay yang pernah menjadi isteriku, dia pasti mempunyai parut di bahagian dahinya selepas tragedi berdarah berkenaan. Kesan tusukan yang berlaku di dahinya tersangat dalam yang tidak memungkinkan segala parut hilang cuma di
dalam tempoh enam bulan.

Aku renung wajah Kay lagi yang masih tekun mensterika pakaianku. Lama mataku meneliti bentuk dahinya. Sungguh, tidak ada apa-apa tanda di dahi Kay! Dahinya licin dan halus. Selicin dan sehalus dahi Kay ketika pertama kali aku mengucupnya di hari pernikahan kami.

Fikirku, dengan bantuan pakar kulit yang paling handal di dunia sekali pun, aku tidak yakin lubang sedalam dan sebesar itu di dahinya boleh sembuh sepantas enam bulan tanpa sedikit pun meninggalkan parut. Aneh sungguh!

Sekali lagi mataku merenung lama ke arah Kay yang masih mensterika pakaian kerjaku di ruang tamu. Sambil mensterika, mata Kay sesekali menjeling ke arah TV yang sedang menyiarkan sebuah drama tempatan.

"Mengapa abang pandang Kay macam tu?" ucapnya ketika menyedari pandangan tajamku yang sedang menyoroti wajahnya, meneliti dahinya begitu lama.

Peristiwa enam bulan dahulu bermain lagi di minda. Gambaran Kay yang terbujur kaku, aku yang hanya terpaku dan cuma mampu menangis melihat tubuhnya seperti video yang tak henti-henti diulang tayang di mindaku.

"I love you Kay," bisikku perlahan sambil menyapu kelopak mata yang mula basah semahunya. Juraian air mata tidak dapat ku tahan lagi ketika mengenangkan peristiwa berdarah itu.

"I love you too. Love you so much, abang," sahut Kay yang rupanya mendengar kata-kataku, walaupun bisikanku tadi sangat perlahan.

Kay mengalihkan wajahnya ke arahku. "Eh, mengapa bang? Kenapa abang menangis?" kata Kay yang tiba-tiba menyedari aku sedang mengesat air mata yang tumpah.

"Tak ada apa-apa. Abuk..," jawabku cuba menyembunyikan emosi.

"Bukan abuk, abang nangis ni," kata Kay yang bingkas berdiri menghampiriku, "Tapi kenapa abang nangis?"

Ku renung wajah Kay. Merenung anak mata rona coklat miliknya. Oh Tuhan, mengapa kenangan tragedi enam bulan lepas itu semakin mengusik kenanganku?

Aku cuba bertenang. Namun air mataku menderu tumpah lagi. Ia seperti empangan pecah yang mengalir tanpa henti walau aku cuba sedaya upaya mengawalnya.

"Abang..kenapa bang. Beritaulah Kay kenapa abang nangis?" kata Kay dengan suara penuh empati sambil tangan kanannya mengesat air mataku.

"Abang banyak dosa, Kay. Berdosa dengan Kay. Berdosa dengan Tuhan," kataku sambil memejam mata, malu apabila kejantananku pudar dengan deraian air mata.

"Dah la tu bang. Dah, dah," kata Kay yang kini duduk di sebelahku, "Semua orang ada dosa, bang. Kay juga banyak dosa," Kay memelukku, mencium pipiku dan cuba menenangkan aku.

*********

Di atas sofa, ketika Kay sedang menyambung semula kerjanya, aku masih mengelamun.

Dalam benakku tak henti berfikir: Apa yang harus aku lakukan selanjutnya jika Kay masih berada di dalam rumahku ini pada hari esok, lusa, minggu depan, bulan depan? Bagaimana harus aku terangkan kepada keluarga Kay, keluarga aku dan rakan-rakanku jika mereka mengetahui Kay ada bersamaku?

Jika dia benar-benar Kay, mengapa begitu banyak perubahan yang berlaku ke atas dirinya dalam tempoh enam bulan? Perubahan wataknya? Rambutnya? Dahinya?

Tetapi jika dia bukan Kay yang sebenar, dia siapa? Jika dia penyamar untuk apa dia menyamar? Kalau dia menyamar mengapa suaranya, kulitnya dan segala yang aku saksikan ketika kami berkongsi katil bersama selama beberapa hari ini 100% menyamai Kay?

Tak kan dia hantu pula? Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tak mungkin itu!

Aku keliru! Aku keliru! Aku sangat keliru!

Selepas berfikir panjang aku membuat keputusan muktamad: Misteri tentang siapa Kay yang sedang berada di dalam rumahku perlu aku rungkaikan jawapannya pada malam ini juga. Malam ini juga, noktah! Selagi tiada jawapan pasti, selagi itu aku tidak senang duduk walaupun aku cuba berlakon tiada apa-apa yang berlaku.

Dan cuma ada satu cara sahaja bagiku aku untuk mendapatkan jawapan pasti siapa identiti sebenar wanita yang kini sedang berada di ruang tamu rumahku:

Malam ini aku harus pergi mengorek semula tanah berhampiran pohon cemara yang terletak di seberang jalan rumah kami. Enam bulan lepas aku pernah mengorek tanah itu dan kemudian menimbusnya semula.

Malam ini aku mahu mengorek semula tanah itu, mahu lihat dan periksa sendiri sama ada di dalam tanah itu masih tertanam jasad seorang perempuan. Seorang perempuan yang di dahinya ada kesan retak dan berlubang!

"Abang..abang ada idea ke apa kita nak makan tengahari ni? Abang cakaplah, Kay boleh masak." Suara Kay menghentikan lamunanku.

Namun suara Kay tidak dapat memudarkan tekadku untuk pergi mengorek timbusan tanah berhampiran pohon cemara itu pada malam ini. Kepastian siapa sebenarnya wanita yang kini sedang berada di sisiku perlu dirungkaikan jawapannya pada malam ini juga, ya, malam ini juga!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 16, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MISTERI POHON CEMARAWhere stories live. Discover now