EPISOD 5: DARAH MERAH MENYIMBAH LANTAI

258 11 6
                                    

MISTERI POHON CEMARA
Episod 5

Aku segera menerpa ke arah Leo. Kedua-dua penumbukku sudah tergenggam padu. Sekejap lagi adalah seketul tempurung kepala yang akan bersepai di atas lantai parkir!

Namun dalam jarak kira-kira 2 meter daripada Leo aku ternampak kaki Kay bergerak pantas ke atas. Kasutnya yang meruncing tajam menendang begitu kuat dan mendarat tepat di celah kelengkang Leo.

"Aduuuuiiii," bergema jeritan kuat dari mulut Leo.

Leo kelihatan terhoyong-hayang sambil tangan memekup kelangkangnya.

Belum pun jeritan Leo reda, satu lagi tendangan kedua Kay yang lebih kuat dan padu mendarat di tempat yang sama. Leo yang masih terhoyong hayang akhirnya jatuh tersungkur sambil suaranya mengerang kesakitan dengan begitu kuat.

"Jom abang kita balik!" jerit Kay sambil meluru masuk ke dalam kereta.

Aku yang masih terpinga-pinga segera menghidupkan enjin kereta meninggalkan Leo yang masih terduduk di atas simen parkir.

"Sapa tu bang? Kawan abang ke? Kurang ajar betul dia!" terpacul soalan daripada mulut Kay sebaik kereta yang aku pandu mula bergerak memasuki simpang jalan, "Tadi dia panggil nama abang. Mesti dia kawan abang kan?"

"Dia bukan kawan abang" jelasku, "Kay tak kenal dia ke?"

"Tak kenal. Tengok dia pun tak pernah. Tapi dia sangat kurang ajar. Bini orang pun nak kacau. Nasib baik dia tak mampos tadi!" kata Kay sambil tangan mengelap peluh yang memercik di pipinya.

Aku cuma membisu. Teringat satu masa dahulu lelaki bernama Leo itu pantang saja aku kutuk, Kay lah yang akan menjadi orang pertama membelanya. Hingga aku selalu berkecil hati dengan Kay kerana kerap sangat dia memuji kebaikan Leo sedangkan layanan baik aku terhadapnya tidak pernah dihargai.

Namun tadi sebaliknya pula berlaku. Kay bukan sahaja setakat tidak membela Leo, malah membelasah lelaki itu dengan sangat teruk. Aneh!

"Tapi kalau abang tak kenal dia, macam mana pula dia boleh tau nama abang? Pelik juga kan?" Kay nampaknya masih tidak berpuas hati dengan jawapan aku tadi, "Atau abang simpan apa-apa rahsia tentang orang gila tu dari Kay ke?"

Siapa yang banyak simpan rahsia tentang Leo, getus hatiku: aku atau Kay?

Siapa di belakangku yang selalu menyembunyikan hubungan sulitnya dengan Leo, aku atau Kay? Siapa yang senyap-senyap di belakangku kerapkali keluar dengan Leo merayap entah ke lubuk mana? Siapa yang pernah menyimpan gambar intim di dalam henset bersama Leo, siapa?

Siapa yang pernah curang: aku atau Kay? Siapa?

Banyak kenangan yang sangat melukakan hatiku apabila Leo hadir mengganggu rumah tangga kami sejak bertahun lalu. Hingga suatu hari kerana rasa hilang harga diri aku pernah terniat untuk menghabiskan nyawaku di atas jalan raya yang sibuk ketika perjalanan ke tempat kerja. Suatu masa yang lain pula aku pernah terniat untuk menggantung diri dalam bilik air rumahku. Tetapi iman yang masih menebal menghalang niatku itu.

Dua tahun kebelakangan ini adalah merupakan gugusan tahun-tahun yang paling mencabar di dalam sejarah rumah tangga kami. Rumah tangga kami sentiasa panas dan tegang kerana kehadiran orang ketiga bernama Leo itu. Malah kerana terlalu geram aku pernah terniat untuk mengupah orang untuk menembak Leo. Nasib baik itu cuma niat, tidak lebih dari itu.

Namun aku tidak menyalahkan Kay seratus peratus atas apa yang berlaku di antara dia dan Leo. Aku sedar aku terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga kurang masa untuk melayan Kay. Dan masa aku yang terhad terhadap Kay itu diambil alih oleh Leo, anak seorang jutawan hartanah yang kebanyakan masanya dihabiskan berpoya-poya dengan wanita dan hiburan.

MISTERI POHON CEMARAOnde histórias criam vida. Descubra agora