Epilog

2.3K 152 52
                                    

"Dear Heidi, my little princess. Selamat menyambut hari lahir yang ke 13 tahun. Papa tak sangka yang anak papa sudah menjadi anak remaja. Papa yakin kamu pasti menjadi gadis yang cantik. Secantik mama yang sangat papa sayangi."

"Heidi, papa mungkin tak ada ketika itu di sisi kamu. Tetapi ketahuilah sayang.... Papa sentiasa ada di hati kamu. Kamu adalah harta papa yang paling berharga. Harta dunia dan akhirat. Doakan papa ya... Sesungguhnya doa anak solehahlah yang membantu papa di sana nanti."

"Heidi, jagakan mama untuk papa ya. Mama kamu tu nampak saja garang dan kuat membebel. Tapi sebenarnya hati dia rapuh. Dia mudah menangis. Papa ingat lagi ketika mula-mula berkahwin dulu, mama menangis hanya kerana papa tidak membalas mesej yang mama hantar. Dan, betapa tak pekanya papa... Papa langsung tidak mampu memujuk mama. Hanya diam melihat dia menangis."

"Heidi... Papa sayangkan kamu dan mama."

Heidi kesat air mata yang lencun di pipi. Melipat kembali helaian kertas yang hampir lusuh dengan penuh hati-hati.

Setiap kali membaca surat dari papa, dia akan menangis. Seakan ternampak papa yang sedang tersenyum sebak sambil menulis surat itu.

"Mama! Kenapa kakak saja yang ada surat macam tu. Kenapa papa tak tulis untuk Seth sekali. Papa tak sayang Seth!" Anak lelaki berusia 8 tahun itu menghentak kaki tanda tidak puas hati pada sang ayah.

Setiap tahun kakaknya akan membaca surat yang ditulis papa sedangkan dia tak ada!

Papa sudah menyediakan surat untuk hari lahir Heidi sehingga kakaknya itu 15 tahun.

Mata Seth bergenang.

Najla usap lembut belakang tubuh Seth sebelum merangkul erat tubuh anaknya itu setelah Seth teresak kecil dengan sentuhannya.

"Papa sayang Seth."

"Tapi papa tak cakap pun dia sayang Seth. Dia tulis sayang mama dan kakak saja." Raung Seth. Tangan Najla ditepis dari terus memeluk tubuhnya.

Terus dia berlari masuk ke dalam bilik.

Najla dan Heidi saling berpandangan dengan riak bersalah.

"Lepasni surat-surat yang papa tinggal tu Heidi baca sendiri saja dalam bilik." pesan Najla lembut.

Heidi mengangguk setuju. Setiap tahun begitulah perangai Seth. Mereka buntu mahu memujuk lagi.

Album yang berselerak dikemas Heidi. Tetapi sebaik sahaja ternampak sekeping gambar papa berpakaian kerja, dia tersenyum.

"Mama, papa handsome kan?"

Najla ketawa kecil. Turut mengintai kepingan gambar yang sedang dipegang Heidi.

Dia tersenyum. Gambar itu, dia yang tangkap secara senyap-senyap. Ketika itu Chad belum lagi menjadi suaminya. Najla yang tergilakan Chad. Dalam diam mengintai lelaki smart itu.

Chad sentiasa kacak dengan kemeja yang dilipat sehingga separuh lengan. Kemas penampilan Chad dengan rambut ala korea dia tu.

Tubuh tegap dan tinggi lampai. Menjadi pujaan wanita-wanita di pejabat termasuk Najla.

Sampailah dia dengan muka tak malu meluah perasaan pada Chad.

Najla ketawa lagi. Teringat kenangan lama.

"Chad, saya suka awak. Boleh ke kita kahwin?" Luah Najla senafas kerana dia terlalu malu meluah perasaannya kita itu.

Tetapi dia tak punya pilihan bila Chad buat tak tahu saja dengan kehadiran dia. Itu sebab dia mahu Chad sedar dia wujud dalam hidup lelaki itu.

Takdirku Bukan Denganmu [c]Where stories live. Discover now