Bab 5

1.3K 97 8
                                    

USAI solat zohor di surau ofis, Najla melangkah keluar dengan muka yang pucat. Entah kenapa kepala dia terasa berpusing-pusing sejak makan tengah hari tadi.

“Najla, okey tak ni?” Tegur Kak Lin yang kebetulan berpapasan dengan Najla.

Najla picit pangkal hidung yang terasa berdenyut. Kepalanya terasa sakit disentap-sentap setiap kali digerakkan.

Kak Lin letak fail yang diusung ke tepi. Bergegas memaut lengan Najla yang mula terhuyung hayang seperti mahu rebah.

“Lala!”

“Kak, kepala saya sakit.” Berkerut dahi dia menahan sakit yang mencengkam.

Mata terpejam rapat kerana sinar cahaya buat kepalanya semakin berdenyut kesakitan.

“Lala! Lala!” Kak Lin makin cemas bila Najla terkulai di situ.

“Kenapa ni!” Rakan sekerja yang lain pantas menerpa mengerumuni mereka.

“Tak tahu. Tiba-tiba saja dia tak sedarkan diri. Dia kata kepala dia sakit.”

“Call ambulans la,” sampuk suara yang lain.

"Takkan sampai call ambulans kut?" soal pula rakan sekerja yang lain.

Kak Lin yang cemas langsung tak hiraukan soalan-soalan itu. Laju saja dia menghubungi hospital berdekatan.

Tidak sampai 10 minit ambulans tiba di lobi bangunan syarikat. Rakan sekerja yang lain semua pakat mengiringi Najla yang diusung dengan stretcher.

Sebaik sahaja mereka sampai ke bawah, masing-masing ternganga bila bukan hanya ada satu ambulans, tetapi dua!

“Eh! Ni kenapa pula?” Haq dah gelabah ternampak Najla tidak sedarkan diri diusung masuk ke dalam ambulans.

“Lala kata sakit kepala. Tiba-tiba pengsan. Ni siapa pula yang sakit ni?” Kak Lin tunjuk ambulans satu lagi.

“Chad!” Jawab Haq acuh tak acuh kerana dia sedang sibuk ke hulu ke hilir menghubungi isterinya iaitu adik Chad.

Rakan sekerja Najla saling berpandangan. Terkejut dengar Chad juga diambil ambulans.

“Dah kenapa pula dengan Chad?”

“Batuk tak berhenti. Tiba-tiba batuk berdarah lepas tu rebah.”

“Allahu…” Mengucap panjang masing-masing. Risaukan pasangan itu.

Haq ikut naik ambulans yang menghantar Chad, manakala Kak Lin pula mengiringi Najla.

Sampai di hospital, terus beberapa petugas di bahagian kecemasan menyambut Chad dan Najla.

Dua stretcher bergerak masuk ke dalam bahagian rawatan kecemasan. Dan tubuh mereka hanya dipisahkan dengan tirai langsir yang ditarik menutup ruang masing-masing sebaik sahaja tubuh Chad dan Najla dipindahkan ke atas katil yang tersedia di situ.

Kak Lin dan Haq terkaku di luar ruang rawatan itu. Saling berpandangan dengan riak muka terharu.

Kebetulan pula keduanya sakit. Betul-betul kebetulan yang buat orang rasa terharu mendengarnya kerana tahu tentang kisah Chad dan Najla.

Ya Allah, apakah tanda yang Kau mahu tunjukkan ini? Ya Allah, sekiranya jodoh mereka masih panjang, satukanlah mereka. Berikanlah kebahagiaan pada pasangan ini.

:
:
:

NAJLA mengeluh perlahan saat dia sedar berada di mana ketika itu.

“Dah sedar?”

“Saya kenapa?” Soal Najla pada jururawat yang menyelak langsir menutup katilnya.

“Hb awak rendah sangat.” Jawab jururawat itu sambil membelek drip yang dipasang ke tangan Najla.

“Nurse, saya tak lalu makan. Pagi-pagi nak muntah. Saya rasa saya pregnant.” Terus aje dia mengaku pada jururawat itu.

Dah alang-alang dia di hospital, baik dia check terus kandungannya. Lagipun dia takut kalau apa-apa jadi pada anak yang dikandung.

“Oh, ye ke? Saya panggil doktor dulu ya.”

Najla merenung siling wad di bahagian kecemasan itu. Kepala masih terasa berdenyut. Tetapi disebabkan dia sedang berehat, rasa itu tidak sesakit ketika di pejabat tadi. 

Tidak berapa lama selepas itu, doktor masuk untuk membuat pemeriksaan. Buat urin test dan sekali lagi mengambil tekanan darah.

“Tahniah, puan mengandung. Tapi kita tahan wad dulu ya sampai puan stabil.”

“Terima kasih, doktor.” Tangan naik mengelus perut yang masih rata. Menyesal kerana dia melengah-lengahkan pesanan mama. Sedangkan dari kelmarin mama suruh dia berjumpa doktor.

Dia tak boleh bayang sekiranya perkara buruk terjadi pada kandungannya itu. Anak yang dinanti selama ini hadir setelah ibu dan ayahnya berpisah.

Anak ini bukti bahawa dia dan Chad pernah punya hubungan yang istimewa. Bukti yang akan sentiasa ada sehingga ke hujung nyawa.

Najla hanya diam terbaring ketika katilnya ditolak untuk masuk ke dalam wad.

Baru saja dia nak terlelap, tiba-tiba pintu wadnya terbuka dari luar dan muncul Kak Lin yang sedang tersenyum lebar menyapanya.

“Ya Allah, buat susah aje akak tunggu saya.”

Kak Lin tergelak.

“Ala, tak ada hallah. Ada la alasan akak nak keluar. Boleh lari dari kerja.”

Najla tergelak kecil. Tahu yang Kak Lin sengaja beri alasan macam tu. Tak nak dia makin rasa bersalah la tu.

“Ni akak belikan air dan buah-buah. Kebetulan akak pergi solat di masjid tadi nampak ada orang jual buah.” Botol air diletakkan atas meja sisi sebelah katil Najla agar mudah dicapai nanti.

“Terima kasih, kak. Susah-susah aje.”

Najla tersenyum nipis. Tadi dia dah call mama dan papa untuk mengkhabarkan keadaannya. Mungkin petang nanti mereka sampai.

Mujur syarikat ada hospital panel swasta, jadi bolehlah mama dan papa datang melawat petang ni.

“Kau orang ni memang sehati sejiwa eh?"

“Siapa?” Berkerut dahi Najla pandang Kak Lin.

“Awak dengan Chad la.”

“Chad?” Dada mula berdetak lain macam bila nama Chad disebut.

“Awak pengsan. Dia pun sama. Terkejut Encik Haq nampak dua ambulans tadi, tahu. Cemas orang tu bila dengar dua sahabat baik dia pengsan. Dah la ambulans datang serentak dekat lobi. Sampai kecemasan tadi pun serentak.” Kak Lin senyum penuh makna.

Kalau tentang Chad dan Najla dia sentiasa rasa jodoh pasangan itu kuat sangat. Boleh pula dua-dua sakit.

Najla pengsan di tingkat dua, dalam masa yang sama Chad rebah di tingkat tujuh. Bertemu di lobi dua jasad yang terlantar tak sedarkan diri.

“Chad pengsan kenapa?”

“Tak tahu. Dia ada dekat sini. Tapi, tak tahu masih di kecemasan atau kena tahan wad. Ni doktor kata apa tadi?”

Najla diam tak menjawab. Masih risaukan keadaan Chad. Kenapa lelaki itu sampai pengsan di pejabat?

Tanpa sedar tangan mengelus perut yang masih kempis. Nampaknya masa idah dia masih lama.

Dengan adanya baby ni boleh ke dia impikan hubungan yang terputus ini kembali bertaut?

“Lala... Doktor kata apa?”

“Saya mengandung.”

“Hah!”

Kak Lin ternganga seketika. Kan betul! Jodoh dia orang ni memang kuat! Dia harap sangat Najla dan Chad rujuk semula nanti.

Takdirku Bukan Denganmu [c]Where stories live. Discover now