Bab 6

110 31 0
                                    




Bunyi panggilan diangkat buat Aisyaa tersenyum lebar.

"Hello...?" Suara Bahzi kedengaran meleret.

"Hello."

"Awak tengah buat apa ni? Dah habis kelas ke?" Tanya Bahzi. Matanya melirik ke arah jam tangan yang menunjukkan baru pukul 12 tengah hari. Bungkusan nasi di atas meja mula dibuka.

"Baru je habis kelas tadi. Awak tengah makan ke?" Aisyaa palingkan tubuh menghadap dinding apabila pintu tiba-tiba saja dibuka oleh Mashitah.

"Aah baru nak makan. Kejap lagi ada kelas pukul 2 pula. Kenapa ni, hm? Lain macam awalnya awak call saya hari ni." Usik Bahzi.

"Amboi pengantin baru dating sambil makan ye?" Suara rakan sekerja Bahzi kedengaran buat suaminya ketawa besar.

"Biasalah. Bila dah jauh rindu-rinduan." Balas Bahzi.

Tersengih terus Aisyaa mendengarnya. Merah padam mukanya apabila terbayang wajah kacak Bahzi sedang ketawa. Haih, lamanya nak tunggu cuti semester.

Tanpa dia sedari, mata Mai melihatnya dengan pandangan meluat. Wajah jijiknya terpampang, menunjukkan betapa iri hatinya dia melihat Aisyaa bahagia. Rasa sakit proposal ditolak masih berbekas kerana semuanya berpunca daripada Aisyaa.

"Budak tu memang ada boyfriend ke?" Dalam nada berbisik, Mashitah bertanya.

Ikha angkat bahu. "Selama ni pun dia tak pernah minat mana-mana lelaki. Tak mungkinlah dia dah ada..." Aisyaa dikerlingnya beberapa kali.

Tak selesa dijengah oleh tiga manusia itu, Aisyaa segera menamatkan perbualan di talian. "Okeylah. Awak makanlah dulu. Saya pun nak pergi makan juga ni." Suara Aisyaa yang menyapa gegendang telinga Mai, buat Mai rasa menyampah.

Mati saja talian, Aisyaa bangun dengan wajah kosong. Mashitah didekatinya lalu tiga pasang mata itu tertancap padanya.

"Hah... Kau ni dah kenapa?" Mai tiba-tiba bersuara.

"Kau dah curi idea kumpulan aku, kau boleh lagi tanya kenapa?" Aisyaa toleh ke arah Mai.

Mai tersengih. "Curi? Kau ada bukti ke? Suka hati kau aje kan kata kita orang curi. Mentang-mentang dapat satu kumpulan dengan Iqbal." Cemuhnya.

"Kau ingat kita orang ni bodoh sangat ke sampai nak curi idea sampah kau tu?" Bidas Mashitah.

Aisyaa terangguk-angguk. "Sampah tu jugalah yang kena reject tadi kan." Langkah diatur ke almari. Dompet dicapai lalu tudung disarung.

"Kau jangan cabar aku Aisyaa..." Terketap-ketap rahang Mashitah. "Tak cukup lagi ke kejadian tadi, huh?"

Mata Aisyaa menjeling lemah. Kan dah kata? Mashitah ni, perempuan gila kuasa. Setakat cucu Tuan Pengarah, dia ingat semua benda akan jatuh ke bawah tapak kaki dia ke?

"Lain kali nak meniru, pastikan tiru cara orang pandai. Bukan ambil sejibik sejibon dalam buku nota orang!" Keluar saja dari bilik, terus pintu dihempas sekuat hati.

Bengang. Dadanya turun naik melihat kesombongan mereka. Sudah sedia bodoh, tak reti-reti nak jaga akhlak, jadi dua kali ganda bodohnya.

HUJUNG tudung dibawa ke bahu lalu disematkan keronsang kecil di situ. Sambil tangan betulkan tudung, matanya mengerling ke arah Mashitah yang masih terbongkang di atas katil. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Lagi setengah jam, kelas 3D animation bakal bermula.

Masuk kali ni dah empat kali dia kejutkan Mashitah tetapi gadis itu langsung tak mahu bangun. Ada la juga celik mata sekejap lepas itu dia sambung tidur semula. Bila ditanya boleh solat atau tidak, katanya tak boleh.

"Kau cakap jelah dekat sir aku tak sihat. Semaklah!" Tangan Aisyaa yang dekat dengan muka, ditolak kuat-kuat sebelum Mashitah berpusing membelakangi Aisyaa.

Bukan namanya Mashitahlah kalau tak buat Aisyaa panas pagi-pagi ni. Memang setiap kali nak ke kelas, Aisyaa kejutkan Mashitah supaya tak terlambat ke kelas. Entah kenapa, walaupun tak disuruh, Aisyaa sendiri relakan diri untuk kejutkan Mashitah. Tapi hasilnya, hampir setiap kelas sepanjang minggu lepas semuanya Mashitah datang lewat. Bahkan bukan dia seorang, Ikha dan Mai juga sudah mula terjebak.

"Sejak kau datang sini... macam-macam drama kau buat." Keluh Aisyaa perlahan sambil menutup pintu kamarnya.

Jarinya bermain-main di skrin telefon. Di dalam sejarah panggilan hanya ada nama Bahzi. Setiap hari, hanya nama itu yang akan ditelefon atas permintaan Bahzi sendiri. Aisyaa akui rutin itu langsung tidak membebankan dia. Bahkan setiap kali dia mendengar suara Bahzi, rasa marah yang bergumpal dan memberat di dada turut hilang.

Tetapi untuk dia muntahkan segala kejadian yang menimpanya sepanjang dua minggu ni, Aisyaa masih belum mampu untuk berbuat sedemikian. Baginya, semua tu sikit saja. Bukanlah teruk mana sampai perlu Bahzi ambil tahu.

"Aisyaa? Kamu bukan ke sebilik dengan Mashitah?" Soal Encik Amir dengan kerutan di dahi.

Aisyaa lambat-lambat mengangguk.

"Ada nampak dia? Kelas dah lewat 30 minit ni tapi tak datang-datang lagi." Keluh Encik Amir. Nampak jelas tak senang dengan Mashitah yang masih belum tiba. "Kalau sekali je tak apa lah, saya faham. Ni dah kali keempat ni. Apa masalah nak bangun pagi?"

Aisyaa hanya membisu di tempatnya. Jauh di meja depannya, ada Iqbal dan Farid yang duduk menghadapnya. Sekali matanya bertembung dengan mata Iqbal, laju dia hadiahkan satu jelingan tajam. Rasa sakit atas tuduhan Iqbal semalam masih berbekas di hati. Disebabkan kejadian itu, banyak mata yang memerhatikan Aisyaa dari jauh sepanjang perjalanannya menuju ke kelas.

Krekkk

Bunyi bisisng engsel pintu menarik perhatian seisi kelas. Mashitah masuk dengan bersahaja bersama senyuman di bibir. Baru nak labuhkan duduk di sebelah Ikha, tiba-tiba Encik Amir bersuara.

"Siapa yang bagi kebenaran untuk awak masuk, Mashitah Najwa?"

Mashitah senyum janggal. "Maaf, sir. Saya sesat..."

"Awak ingat saya terima ke alasan sesat awak tu? Dari sem lepas, tak serik-serik lagi ke bagi alasan yang sama? Walaupun semester lepas awak dengan pensyarah lain, jangan ingat saya tak tahu awak ni macam mana orangnya." Encik Amir bertegas. Sakit hatinya melihat Mashitah masih ada keberanian untuk tersengih-sengih dikala dia sedang marah.

"Jangan ingat atuk awak Tuan Pengarah dekat sini, alasan datang lewat awak semua saya terima. Pangkat atuk awak, langsung tak ada kena mengena dengan awak, Mashitah. Pensyarah lain mungkin akan maafkan semua salah silap awak, tetapi saya bukan macam tu. Lewat tetap lewat dan salah tetap salah." Tekan Encik Amir. Matanya mencerlung garang ke arah Mashitah.

"Keluar. Saya tak nak awak masuk kelas saya hari ni. Cukuplah tiga kali saya maafkan. Buang masa saya saja tunggu pelajar yang langsung tak ada keinginan nak belajar ni. Kawan-kawan awak yang lain pun penat nak tunggu setiap hari macam ni." Dengus Encik Amir.

Fikir Aisyaa, Encik Amir sudah lama berkhidmat di kolej ini berbanding pensyarah subjek mereka yang lain. Jadi untuk dia memberi layanan istimewa buat Mashitah, adalah satu kesalahan sebagai pensyarah yang berkaliber. Dalam mendidik, pilih kasih adalah satu perkara yang tidak adil bagi pelajar yang lain.

Dengan muka yang agak tegang, Mashitah bangun dari kerusinya. Kerusi dihentak masuk ke bawah meja, sebagai tanda protes. Rahangnya jelas bergerak-gerak. Kemudian, apabila dia lintasi kerusi Aisyaa, satu tunjalan dibuat pada kepala Aisyaa.

"Kau jangan nak seronok sangat, Aisyaa." Deraman Mashitah kedengaran menggeletar.

Aisyaa buat tak tahu. Tunjal kepala tu apalah sangat. Sampai saja Mashitah di pintu, mata mereka bertembung sekali lagi.

Aisyaa angkat kening, buat muka kasihan. Padan muka Mashitah. Siapa suruh liat sangat nak bangun?

Aisyaa dan Bahzi (EBOOK FREE)Where stories live. Discover now