Prolog

461 62 6
                                    

Mata tidak lepas merenung cincin belah rotan yang tersarung cantik di jari manisnya. Meskipun dalam hati masih tersisa rasa tidak rela, dia tetap gembira kerana buat pertama kalinya dia dihadiahkan barang kemas.

"Saya minta maaf sebab itu saja yang saya mampu bagi buat masa ni. Insya-Allah, lepas awak balik cuti sem nanti, kita pergi beli sama-sama yang baru. Yang lagi cantik."

Suara garau dari arah meja soleknya kedengaran sangat lembut nadanya. Terselit intonasi memujuknya.

"Tak perlulah bazir duit belikan cincin lain. Cincin macam ni pun dah cantik." Aisyaa senyum ke arah lelaki itu. Biarpun lelaki itu jauh lebih mampu untuk belikan cincin lebih cantik, bagi Aisyaa ini pun sudah memadai. "Lagipun ini pertama kali saya dapat cincin mahal."

Tunduk. Bibirnya melebar dengan senyuman gembira. "Macam mana awak tahu saiz jari saya?" Dia utarakan semula renungannya ke arah lelaki itu.

Satu senyuman terpamer di bibir jejaka itu. Atau lebih tepat, lelaki yang bernama Bahzi. Seorang pensyarah muda yang baru saja sah menjadi suami kepada gadis sederhana yang bernama Aisyaa.

Kakinya mula mengatur langkah menuju ke katil. Setiap derap langkahnya diselingkan dengan bunyi lantai kayu rumah yang bergesel. Tak semena-mena hati Aisyaa merasakan debaran.

"Abah yang bagi saiz jari awak. Tapi silap saya, tak carikan cincin awal-awal." Dia labuhkan duduk di sebelah isterinya. Tangan kiri Aisyaa dibawa ke ribaannya lalu disulamkan jemari mereka.

Aisyaa ketap bibir apabila panggilan abah meniti di bibir Bahzi. Biarpun sudah beberapa bulan berlalu setelah pemergian abah, hanya dengan menyebut abah sudah mampu membuatkan matanya berair.

"Awak dah lama ke kenal dengan abah saya?" Perlahan saja suara Aisyaa bertanya.

"Dulu saya selalu mengaji dekat masjid dekat sini dengan abah. Tapi lepas saya dah pindah ke Kuala Lumpur, kami dah lost contact. Sampailah dalam hati saya terdetik untuk datang sini jenguk abah, saya jumpa abah dalam keadaan abah dah nazak." Suara Bahzi mengendur seraya ibu jarinya mengelus perlahan tangan Aisyaa.

Bahzi berhenti buat seketika apabila telinganya menangkap bunyi esakan dari Aisyaa. Tangan isterinya lantas dilepaskan lalu bahunya pula dirangkul dari tepi dengan berhati-hati.

"Benda pertama abah minta dari saya, adalah berkahwin dengan awak, Aisyaa." Air mata Aisyaa dia kesat lembut.

"Lindungi Aisyaa." Tangan Aisyaa dikucup.

"Sayangi Aisyaa." Kemudian tepi kepala Aisyaa pula dikucup.

"Biarpun saya diberi pilihan untuk menolak, saya tak mampu untuk menolak permintaan abah. Sebab bila pertama kali saya tengok..."

Aisyaa menggeleng. "Awak cuma kasihankan saya, Bahzi. Awak kasihan tengok saya yang tak pernah berhenti jadi mangsa ibu saya. Saya tahu, abah dah cerita semuanya pada awak kan? Sebab itu awak berkahwin dengan saya." Dia mengesat pipinya yang basah dengan belakang tangan.

Liur ditelan payah. Usah dikenang masa lalu. Kini mereka sudahpun berkahwin dan tiada apa lagi yang boleh Aisyaa lakukan kerana dia cuma ada Bahzi.

"Tapi tak apalah. Semua tu dah berlalu. Saya pun dah terlepas dari ibu." Aisyaa memusingkan tubuhnya menghadap Bahzi. Tangan kasar lelaki itu disalam, dikucup kekuranya. "Sekarang, saya cuma ada awak, Bahzi. Suami saya. Pelindung saya."

Aisyaa tahu Bahzi seorang yang baik. Sepanjang dua bulan dia berada di rumah mereka, tak pernah sekali dia melihat sisi buruk lelaki itu. Akhlaknya benar-benar menonjolkan Bahzi dibesarkan dengan sangat baik. Ibu sudah acap kali bercakap kasar dengannya pun, Bahzi masih beriak biasa.

"Biarlah awak tak tanya pun, saya nak cakap sesuatu." Anak mata hitam Bahzi ditatap dalam. Lelaki itu masih dengan senyuman lembut. Menanti isterinya berkata-kata dengan sabar.

"Saya setuju untuk berkahwin dengan awak, kerana saya percayakan abah. Seumur hidup saya selama ni, hanya abah tempat saya bersandar selepas Allah. Dan sejujurnya sebelum awak muncul dalam hidup saya pun, nama awak dari mula lagi nama awak disebut-sebut oleh abah." Air matanya menitis lagi. Namun kali ini disertakan dengan senyuman lebar.

"Abah tak pernah sekalipun sebut nama lelaki lain di depan saya, melainkan awak seorang.  Saya terima awak kerana saya sayang, saya percayakan abah. Saya minta maaf andai kata alasan saya kedengaran seperti budak kecil tapi..."

"Awak layak untuk bagi alasan apa pun, Aisyaa. Saya terima. Jauh sekali untuk saya terasa dengan semua tu."

Aisyaa tunduk lalu mengesat air matanya yang semakin deras mengalir. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan sehingga kau kurniakan aku seorang lelaki sebaik Bahzi? Bibirnya semakin tersebek dan mata semakin dikaburi dengan mutiara jernihnya.

"Aisyaa..." Seruan perlahan Bahzi semakin membuatkan Aisyaa tenggelam dengan air mata. Bahunya ditarik supaya menghadap Bahzi semula.

"Janganlah menangis, hm? Saya tak marah awak pun." Meleret suara Bahzi seraya tangannya menarik tubuh itu ke dalam pelukannya.

Bahzi tersenyum kecil apabila Aisyaa semakin membenamkan wajahnya pada bahu Bahzi. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang telah terjadi antara Aisyaa dan ibunya. Namun apabila berjumpa dengan wanita itu, sedikit sebanyak dia mula memahami hidup seorang Aisyaa.

Ibunya seorang peniaga kecil di pasar pagi dan pasar malam. Orangnya sangat kedekut dan memilih kasih. Disebabkan Aisyaa merupakan anak pertama dari empat orang adik-beradik, dia semakin dipinggirkan. Baru dua bulan Bahzi berada di rumah ini, sudah banyak insiden berlaku di depan mata Bahzi.

Semuanya nyata. Aisyaa dipilih kasih. Dilayan seperti orang gaji padahal sekadar kakak kepada tiga orang adik lelaki.

"Percayakan saya, Aisyaa. Saya akan jadikan awak wanita yang paling bertuah dalam dunia ni."

Aisyaa dan Bahzi (EBOOK FREE)Where stories live. Discover now