Crush

1K 27 46
                                    

Oktober 2021

"Sayang, komen dah 50 lebih ni. Reply la." Ayra menghulurkan telefon bimbit kepada Eddy yang sedang merokok di balkoni.

"Ala baby, nama you yang banyak kena tag, you je la yang reply."

Eddy mula nak lepas tangan, padahal dia yang buat perangai pergi reveal hubungan diorang berdua.

Ayra berdecit perlahan. Satu persatu komen dibaca. Soalan yang paling banyak ditanya ialah bagaimana mereka berdua boleh jatuh cinta.

Ayra senyum sendiri.

2018

Ayra suka betul baca cerita-cerita yang ditulis oleh seorang pengguna wattpad yang memakai nama Matbond. Ceritanya agak santai dan tidak berat, penuh dengan jenaka. Bukan lawak bodoh seperti yang selalu dia baca.

Dia teragak-agak nak tekan butang follow, tapi semua cerita yang ditulis oleh Matbond telah dimasukkan ke dalam library. Ikutkan hati, nak letak kat reading list, tapi dia risau Matbond perasan. Entah la ye, Ayra ni ada jugak egonya. Dia taknak nampak macam terhegeh hegeh.

Sekali sekala dia komen juga kat cerita Matbond. Ada yang Matbond balas, ada juga yang Matbond buat tak tau je. Ayra tunggu juga kot Matbond nak vote atau komen kat cerita yang Ayra tulis. Non hado!

Tapi Ayra tak kisah pun sebab Ayra tengok gaya Matbond ni jenis yang sempoi je. Mungkin tak minat baca cerita cinta. Genre cerita yang Ayra tulis mungkin tak kena dengan selera Matbond.

2019

Suatu hari, Ayra terima DM daripada Matbond berkenaan isu yang sedang hangat dibincangkan oleh sekumpulan wattpaders. Memandangkan Ayra merupakan antara user yang turut sama menyertai komen-komen panas pada isu itu, Matbond cakap better dia tanya pada Ayra je sebab kat situ Ayra sorang je yang dia familiar.

Ringkas sahaja isi DM mereka berdua berkaitan isu tersebut. Ayra tak suka meleret leretkan perbualan. Apa yang Matbond tanya, dia jawab seadanya sahaja. Memang tak berniat nak berbual mengenai hal lain dengan Matbond. Cukup setakat itu.

Tapi sebab Matbond tak menggatal sepanjang sessi berbalas DM, maka Ayra berbesar hati untuk tekan butang follow. Lantak la kalau Matbond taknak follow back pun, dia bukannya kisah bab bab ikut mengikuti ni. Nak follow, follow. Taknak, sudah!

Matbond ambil masa sebulan lebih jugak baru dia follow Ayra. Itu pun Ayra tak perasan. Tau tau je Matbond ada komen kat posting MB Ayra, barulah Ayra noticed yang Matbond follow dia. Ayra tak rasa apa apa pun. Layan Matbond pun biasa biasa je.

Lama kelamaan, makin rajin pulak mereka berdua berbalas DM. Selalunya Matbond la dulu yang hantar pesanan. Ayra dapat rasakan Matbond seorang yang baik hati. Memang Matbond suka loyar buruk, tengok sahajalah cara dia berbalas komen dengan wattpaders yang lain, kerja nak menyakat orang je. Kerap juga Ayra tengok Matbond kena marah dengan user lain sebab asyik loyar buruk je. Namun dengan Ayra, ada ketikanya Matbond akan bersikap serius. Mungkin sebab kebanyakan masa berbual, Ayra suka bersikap serius.

Bila Matbond pelawa Ayra untuk berinteraksi di platform WhatsApp, barulah Ayra tahu nama sebenar Matbond. Sejak itu Ayra lebih selesa panggil Matbond dengan nama sebenar, Eddy. Eddy pun dah tak panggil Ayra CikPenguin.

WhatsApp lah yang membuatkan mereka berdua semakin rapat. Dengan perangai Ayra yang suka redah je nak buat apa, mungkin Eddy pun jadi terikut-ikut. Hilang dah perangai innocent Eddy, tapi loyar buruknya tetap maintain.

Bila masing masing bertukar gambar, dah berani pula buat panggilan telefon. Lama lama Ayra jadi seronok pula berbual dengan Eddy. Setiap pagi akan ada morning wishes. Kalau bukan dia yang hantar dulu, mesti Eddy akan mulakan. Lepas tu mula la chat meleret, suatu yang tak pernah berlaku di tingkap DM wattpad.

Ayra sering mengadu kat Eddy dia serabut dengan kak Lina, kakak iparnya. Ada sahaja benda yang kak Lina buat untuk menyakitkan hati Ayra.

Memang dari awal kak Lina kawin dengan abang, diorang berdua dah tak ngam. Masa mak ada kat rumah ni, selalu la jugak mak marah diorang berdua sebab asyik berlaga angin.

Sebelum mak kawin baru, mak cakap dengan abang dan Ayra. Rumah ni untuk diorang berdua. Mak takde nak wasiatkan rumah ni si abang yang dapat atau Ayra yang dapat. Duduk la sama-sama kat rumah peninggalan arwah abah ni.

Kalau dah ada rumah sendiri pun, pastikan rumah ni tak kosong. Terpulang la nak sewakan atau nak duduk. Asalkan rumah ni ada penghuninya.

Lepas mak bina hidup baru, Ayra dah plan nak keluar dari rumah ni. Biar abang dengan kak Lina ada privacy. Tapi abang tak bagi. Abang cakap, selagi belum ada rumah sendiri, jangan mengada-ngada nak keluar dari rumah ni. Jadi, nak tak nak, Ayra terpaksa akur.

Masalahnya, abang tak tau yang kak Lina tak puas hati Ayra ada kat dalam rumah ni. Kak Lina nak conquer rumah ni. Betul la orang cakap, dalam satu rumah tak boleh ada dua queen. Mesti huru hara jadinya!

Setiap kali Ayra panas hati dengan kak Lina, Eddy la yang menjadi punching bag. Sabar je Eddy tadah telinga dengar carutan Ayra tentang kak Lina.

Dari situlah Ayra mula rasa suka pada Eddy. Belum pernah ada orang lain yang boleh sabar dengan perangai suka mencarut Ayra. Eddy pulak bukan batu api, tapi dia akan cuba sedaya untuk sejukkan hati Ayra agar lebih bertenang. Sebab tu la Ayra jadi jinak sikit dengan Eddy.

Kali pertama Ayra mimpi tentang Eddy, dia lihat mereka berada di sebuah bukit dan sedang menyaksikan kejadian matahari terbenam. Suasana ketika itu sangat romantis. Di situlah Eddy melafazkan kata cintanya terhadap Ayra.

Bangun daripada tidur, Ayra terus text Eddy beritahu tentang mimpi tersebut. Eddy acuh tak acuh je, dia cakap suatu hari nanti dia akan bawa Ayra naik bukit untuk menyaksikan matahari terbenam. Masa tu Eddy akan lafazkan kata cintanya terhadap Ayra.

Walau Eddy acuh tak acuh, tapi Ayra simpan impian, suatu masa nanti ianya akan berlaku juga. Ayra tunggu saat itu.

Sejak itu Ayra simpan perasaan sayang terhadap Eddy, dan Ayra tunggu Eddy sambut perasaan itu dengan ikhlas hati.



BUNGA & LEBAHWhere stories live. Discover now