0 4

92 12 7
                                    

Andai awan mampu bicara, apa katanya pada sang rembulan? Terlihat indah, namun cahayanya menumpang mentari.

JUJUR Bulan tidak mahu ke sini, sikap ayah yang memaksanya datang. Mengenal ayah sepanjang hidupnya, dia tahu selagi dia tidak menurut selagi itulah ayah akan menghubunginya.

Silap-silap jika reaksinya tidak seperti yang ayah harapkan, tak mustahil dia akan diheret berjumpa dengan lelaki itu. Lelaki yang menurut ayah begitu layak dijadikan calon suami.

Siapa namanya? Bulan sudah lupa. Sewaktu bunda bercerita dia tak begitu menyimpan segala maklumat yang diberikan bunda ke dalam otaknya. Ah, pedulilah!

Perkara nama itu bukan hal penting. Boleh jadi hari ini merupakan pertemuan pertama yang akan menjadi pertemuan terakhir juga. Dia berharap begitu. Semoga tidak akan ada pertemuan lain di antara mereka.

Dia tidak mahu menikah dengan lelaki yang tidak dikenali. Keputusannya sudah bulat. Biar apa pun kata ayah, dia nekad…

Kalau ayah mengajaknya berperang pun dia sanggup! Dia tidak akan patuh pada arahan ayah yang ini.

Ah, sejak bila dia selalu patuh pada arahan ayah? Sedari dulu dia memang seorang pembangkang. Soal Andika sekalipun...

“Bulan?”

Dia terkesiap. Mendengar suara garau memanggil namanya dalam nada yang begitu maskulin, dia tertoleh perlahan.

Seorang lelaki dalam pakaian formal, mungkin kerana baru pulang dari kerja sedang tegap berdiri di tepi meja. Dia terkedip-kedip. Sedikit terpesona, mungkin?

“Bulan Almira?” Lelaki itu menyebut nama penuhnya.

Bulan mengangguk. “Ya, saya.”

“Saya Awan. Awan Rizki. Bunda Chyntia ada beritahu pasal pertemuan kita pada awak, bukan?”

Bulan mengangguk lagi. Entah mengapa berasa sedikit terintimidasi dengan susuk lelaki yang baru pertama kali dia temui. Dia jarang begini, bahkan dengan ayah pun dia tak pernah rasa begini. Ada apa dengan lelaki ini? Auranya membuat Bulan sedikit cuak.

“Boleh saya duduk?” Sopan Awan bertanya.

“Oh, silakan.”

Awan mengambil tempat berhadapan dengan Bulan. Dikerling atas meja di hadapan Bulan. Hanya terdapat segelas air yang tinggal ais. Dia melirik arloji pada pergelangan tangan. Dia yakin dia tidak terlambat, namun air di dalam gelas yang sudah kosong bukti Bulan sudah lama sampai di sini.

“Bulan… erm, boleh saya panggil awak Bulan?”

“Semua orang panggil saya begitu.”

“Bulan mahu tambah minuman?”

“Ais kosong. Saya masih kenyang.”

Awan angkat tangan memanggil pelayan. Diminta segelas ais kosong untuk Bulan dan segelas kopi O ais untuknya. Dia sebenarnya mahu makan, lantaran Bulan hanya meminta ais kosong, dia mengurungkan niatnya.

Mungkin pertemuan ini akan berlalu dengan lebih cepat daripada perkiraannya. Daripada raut wajah gadis cantik di hadapannya ini dia mengagak Bulan tidak sepenuhnya rela dengan pertemuan mereka. Hujung bibirnya menarik senyum segaris.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 22 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BULAN DI PELUKAN AWAN ( ADB 01)Where stories live. Discover now