Luahan Hati

8 0 0
                                    


Kisah yang bakal aku ceritakan merupakan kisah benar yang terjadi di dalam hidupku. Harap kalian sudi membaca hingga tamat.

Aku sudah lali diejek tentang fizikalku. Sejak aku sekolah rendah sehingga ke alam universiti. Tubuhku yg rendah serta gigiku yang jongang, berlapis dan tidak teratur. Aku digelar monyet, kera dan beruk. Setiap hari aku dipanggil nama itu. Pada awalnya aku menangis kerana sedih. Tetapi lama kelamaan aku sudah mangli.

Pernah suatu ketika, aku mempunyai masalah keluarga yang agak serius. Ayahku dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman dan ibuku menjaga ayahku. Aku serta adik beradikku yang lain dihantar ke kampung. Atuk dan nenekku menjaga kami berempat. Pada waktu itu, kehidupan kami tidak stabil kerana kedua ibu bapaku tidak bekerja selama hampir setahun. Aku serta abangku dihantar ke sekolah dengan menaiki motor atukku. Mujur atukku masih berupaya untuk menghantar dan menjemput kami ke sekolah yang kira-kira 5km dari rumah. Kakakku mengayuh basikal ke sekolah kerana dia sudah bersekolah menengah pada waktu itu. Manakala adikku yang masih kecil dijaga oleh nenek sewaktu kami semua ke sekolah.

Pada waktu tengahari, atukku menghantar bekal yang dimasak oleh nenekku untuk kami makan tengahari kerana kami perlu menghadiri kelas agama pada waktu petang. Jadi kami tidak pulang untuk mandi dan menukar pakaian seperti rakan-rakan yang lain. Aku diejek miskin kerana makan dari bekal dan dikatakan busuk kerana tidak mandi serta menukar pakaian untuk ke kelas agama.

Aku mengadu kepada nenekku tentang perkara tersebut. Nenek menyuruh aku bersabar dan berdiam diri jika diejek. Nanti penat berhentilah mereka, kata nenek. Namun, mereka tidak pernah berhenti. Aku meneruskan kehidupan yang sama sehingga aku masuk sekolah menengah. Hari pertama melangkah aku sudah diketawakan.

"Wei, cuba tengok budak tu pendek gila. Rasanya dia silap sekolah, lupa jalan nak pergi tadika kot"

"Hang ni tingkatan satu atau darjah satu?"

"Pendeknya"

"Pendek, pendek, pendek"

"Ketot, ketot, ketot"

Bukan pelajar lelaki sahaja mengejekku, pelajar perempuan juga sama. Pernah suatu ketika aku dipanggil beruk oleh salah seorang pelajar perempuan ketika aku ingin memakai kasut selepas solat asar di luar surau. Aku bersekolah sesi petang pada waktu itu. Beberapa hari kemudian dia meminta maaf kepadaku kerana tidak sengaja memanggilku begitu. Aku merasakan dia terpengaruh dengan pelajar lelaki yang memanggilku begitu. Aku maafkan dia.

Semasa aku tingkatan 2, aku menyertai satu program Jom Solat di mana setiap pelajar perlu melakukan amali solat serta mempelajari cara solat dengan betul. Semasa waktu rehat, para pelajar diberi roti dan air. Kami duduk dalam bulatan untuk makan roti. Tiba-tiba aku merasa baju kurungku ditarik dari tepi dan bungkusan roti dimasukkan ke dalam bajuku. Aku terkejut dan menoleh ke arah budak perempuan itu. Dia ketawa terbahak-bahak selepas membuang plastik roti ke dalam bajuku. Rakan-rakannya turut mentertawakanku.

Aku mengeluarkan semula plastik roti tersebut dan aku genggam erat. Mataku berair sehingga aku tidak mampu makan baki rotiku. Kawanku di sebelah bertanyakan adakah aku ok, aku hanya menggeleng. Air mataku hampir tumpah tetapi aku berjaya menahan. Aku tidak mengerti kenapa aku diperlakukan sebegitu rupa. Adakah rupaku begitu teruk sehinggakan orang membuang sampah ke dalam bajuku dan aku dijadikan bahan jenaka.

Sewaktu tingkatan 4, aku mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh yang jauh dari rumah. Aku berasa sangat gembira kerana semasa aku di sekolah baru, aku tidak lagi diejek. Cuma ada beberapa kali namun emosi aku tidak terjejas seperti di sekolah lama. Aku berjaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran sehingga aku memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Aku menyambung pengajian di peringkat diploma di salah sebuah IPTA di selatan tanah air. Pada waktu ini, aku berasa segan kerana aku tidak pandai berpakaian dengan kemas dan cantik. Aku hanya berpakaian agak selekeh. Kulitku juga agak gelap kerana sunburn. Pada waktu ini juga, gigiku sangat teruk. Tidak tersusun serta jongang. Rakan-rakanku semua mempunyai rupa paras yang cantik. Keyakinanku merudum serta malu untuk bercakap dengan orang.

Sehinggalah pada semester 2, ibuku membawaku ke klinik untuk memasang braces. Aku berasa sangat gembira kerana akhirnya keyakinanku kembali pulih. Namun semasa memakai braces, gigiku perlu dicabut untuk memberi ruang gigi bergerak ke bentuk yang tersusun. Jika aku bercakap nampak sedikit rompong pada bahagian geraham. Pada waktu itu, aku diejek kerana "tiada gigi" dan diketawakan oleh beberapa orang pelajar lelaki sehingga aku menangis dalam perjalanan pulang ke rumah sewa. Aku sabarkan hatiku kerana braces memerlukan masa untuk mendapat gigi yang tersusun. Aku terfikir jika aku boleh bertahan dengan ejekan yang lebih teruk ketika zaman persekolahan, mengapa aku tidak boleh menghadapi keadaan ini? Aku hanya perlu bersabar. 

Tamat diploma, aku menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di salah sebuah IPTA di Pahang. Aku berhasrat untuk mengabaikan segala ejekkan yang dilemparkan kepadaku. Aku sudah meningkat dewasa, jadi aku menganggap orang yang mengejek fizikalku sebagai orang yang tidak matang. Aku bersyukur kerana aku sudah tidak diejek ketika ini. Aku belajar cara untuk menjaga muka serta berpakaian dengan kemas untuk meningkatkan keyakinan. Jika dulu aku teringin hendak berkulit putih, namun sekarang aku bersyukur dan suka dengan warna kulitku yang agak tanned. 

Percaya atau tidak, aku tidak pernah mempunyai kekasih sehingga sekarang. Tidak pernah ada seorang lelaki pun pernah menyatakan rasa suka kepadaku. Mungkin kerana rupa parasku yang tidak menarik. Namun, aku bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang baik sepanjang aku berada di alam universiti. Aku berada di semester terakhir ketika ini dan bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi.

Sehingga sekarang aku tidak lupa kenangan aku diejek ketika zaman persekolahan kerana fizikalku. Semasa menaip luahan ini, mataku bergenang. Memoriku berputar ibarat cakera rosak. Aku teringatkan semua ejekan yang pernah dilemparkan kepadaku. Aku berkongsi sekadar untuk menceritakan pengalamanku. Aku pasti ada yang melalui kehidupan yang lebih sukar berbanding diriku. Terima kasih kerana sudi membaca.


Hidup AkuWhere stories live. Discover now