Bab 21

7.1K 300 1
                                    

'Hijab styling session with Hana' adalah nama program yang akan dilangsungkan sebentar lagi. Para pelajar perempuan sudah mula memenuhi ruang legar Surau Solihin sejak pagi tadi. Ustazah Fauziah sedang berbual-bual mesra dengan beberapa orang pelajar sambil menunggu sesi bermula. Program pada hari Sabtu ini dimulakan dengan acara Solat Dhuha. Kami sengaja memilih waktu sebelum Zohor untuk memberi peluang kepada pelajar bersolat Dhuha di surau sebelum sesi diadakan. Ustazah Fauziah yang telah mengajar cara-cara solat sunat Shuha sebentar tadi. Dan kini, mereka semua sudah bersedia untuk belajar 'hijab styling' daripada aku. Aku sendiri pun tak sangka sambutan terhadap sesi ini begitu menggalakkan! Ruang legar kelihatan hampir penuh dengan hijabista seluruh kolej.

Aku memulakan sesi dengan menjemput Ustazah Fauziah memberikan sepatah dua kata. Kemudian aku menjemput beberapa orang yang berminat untuk aku jadikan model. Setelah habis satu stail aku tunjukkan, Ustazah Fauziah akan memberikan pendapatnya tentang stail itu, sama ada ia patuh syariah, atau ada aspek yang perlu diperbaiki. Sesi hijab styling berjalan lancar selama lebih satu jam.

Tamat sahaja sesi tersebut, ramai pelajar yang datang dan menyatakan betapa gembira mereka dapat meyertai sesi ini. Bukan sahaja mereka dapat belajar stail hijab baru, mereka juga dapat belajar solat sunat Dhuha. Ada juga beberapa pelajar yang menyatakan hasrat untuk mengenakan hijab dengan lebih sempurna. Aku merasa cukup gembira kerana dapat menyumbang ke arah projek ini. Kegembiraan aku ini tidak sama dengan gembiranya aku kalau dapat beli tudung baru online, ataupun kalau aku ternampak kelibat Umar – tetapi kegembiraan aku ini sesuatu yang cukup mendalam dan menenangkan. Aku bersyukur kepada Allah kerana walaupun aku baru sahaja berhijab, tetapi aku telah diberi peluang untuk berkongsi tentang hal ini dengan orang lain.

Sumaiyyah langsung tidak kelihatan sepanjang sesi berjalan. Namun ada beberapa rakannya yang turut serta dan memberikan kerjasama yang baik. Ketika dalam perjalanan pulang ke bilik, sekali lagi aku disapa Sumaiyyah yang muncul tiba-tiba. Minah ni pandai saja nak ambush aku...

"Hana, saya nak awak tahu yang awak belum menang ye" Tanpa salam tanpa hello, dia terus menerjah aku dengan kata-katanya yang sinis.

"Sumaiyyah, apa yang menang apa yang kalah. Ni bukan pertandingan"

"Awak tunggu sajalah Hana. Allah itu ada. Dia nampak apa yang awak lakukan. Dan dia akan malukan awak sebagaimana awak telah malukan saya!"

"Apa yang awak cakap ni, bila pulak saya malukan awak.." ish kenapa la minah ni bertambah lama macam bertambah saiko.

Dengan muka bengis Sumaiyyah terus berlalu dengan tudung labuhnya yang menggerbang dibawa angin. Aku cukup tak sangka yang Sumaiyyah yang pada mulanya bertutur lembut dan manis boleh berubah sebegini. Apa yang dia marahkan sangat dengan aku? Hanya kerana aku pun sama ada hati dengan Umar? Bukannya si Umar tu ada menunjukkan apa-apa respons pun kepada aku. Tak faham betul aku dengan perangai orang ni kadang-kadang..

Sampai di bilik aku dikejutkan dengan satu bungkusan hadiah besar di atas katilku.

"Tadi ada orang hantar" ringkas kata-kata Li kepada aku. Lia sekarang ni kalau bercakap dengan aku pun sepatah dua je. Dia langsung sudah tidak bersosial dengan aku lagi. Dia lebih senang bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain. Aku pula semakin rapat dengan kawan-kawan aku yang berhijab. Aku sedih kenapa sehelai kain di kepala boleh merubah persahabatan aku dengannya.

"Terima kasih Lia" aku memandang kotak hadiah berwarna hitam bereben pink itu. Hadiah daripada siapa pulak ni? Dan untuk apa pulak?

Dengan cermat aku rungkaikan ikatan reben pink dan membuka kotak itu. Di dalamnya ada sehelai jubah ekslusif daripada jenama terkemuka daripada Dubai. Jubah berwarna hijau emerald itu dihiasi dengan perincian manik yang bergemerlapan. Ada juga sehelai selendang daripada rona yang sama berlipat rapi. Di atasnya ada sekeping kad.

Untuk 'sahabat'ku, Hana

Ikhlas, Carl.

Ya Allah, hadiah daripada Carl. Mata aku tidak berkedip memandang jubah itu. Memang cantik dan nampak mewah sekali. Berapa agaknya harga jubah ni?

Lia menjeling daripada katilnya.

"Wow, hadiah daripada mamat hari tu ke?" Lia bersuara dengan nada cemburu.

Eh mana dia tau pasal Carl ni?

"Mamat mana?.." aku berpura-pura buat tak tau..

"Yang datang kasi bunga ros sejambak tu. Nampak macam orang kaya je. Untungla ada boyfriend orang kaya.." Lia meneruskan kata-katanya sambil mencebik.

"Dia bukan boyfriend aku la"

Lia hanya mendengus sebagai jawapan. Aku terus capai smartphone dan mesej Carl.

Hana: Assalamualaikum Carl

Dengan segera mesej whatsappku berbalas.

Carl: Waalaikumsalam Hana :)

Hana: Terima kasih atas hadiah jubah tu. Tapi saya tak boleh terima la. Mahal sangat.

Carl: Sama-sama. Saya ikhlas nak beri awak jubah tu. Tapi kalau awak tak nak pakai, awak boleh buat apa saja yang awak suka.

Hana: Betul ni?

Carl: Betul :)

Hana: Ok. Assalamualaikum

Carl: Waalaikumussalam.

Dengan segera aku log in ke FB aku dan mencari grup yang menjual jubah-jubah daripada jenama tersebut. Memang sudah aku tahu bahawa jubah daripada jenama ini memang menjadi idaman ramai. Aku ambil beberapa keping gambar dan aku upload bersama dengan nilai harga yang ingin aku jual. Tidak berapa lama kemudian, aku di-PM oleh beberapa orang wanita yang berminat untuk membeli jubah tersebut dengan harga yang cukup lumayan! Wah, alhamdulillah, hasil jualan jubah ni dah boleh menampung perbelanjaan aku untuk beberapa bulan! Aku bersyukur kepada Allah dengan rezeki yang datang tidak disangka-sangka ini.

Setelah selesai transaksi online, dengan segera aku membungkus kembali jubah untuk aku poskan kepada pemiliknya yang baru. Lia tercengang melihat aku membalut kotak jubah itu kembali. Dengan langkah girang aku keluar membawa kotak jubah untuk aku poskan. Mujur pejabat pos letaknya betul-betul bersebelahan dengan kolej ini. Kalau tak susah juga aku nak keluar dengan keadaan aku yang tidak berkereta sekarang ni.

Nak Kahwin Imam Muda!Where stories live. Discover now