💍BLURB - AKAD PENGIKAT KASIH💍 Makna sesebuah perkahwinan adalah tanggungjawab. Bagaimana suami dan juga isteri yang mengerti dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya. Ada antara pasangan suami isteri yang hubungannya bahagia sehingga hujung nyawa dan tidak kurang juga pasangan yang berjodoh hanya sekejap sahaja. Jazzren sebolehnya tidak mahu menggalas tanggungjawab itu. Melihatkan kegagalan perkahwinan yang terjadi dalam kalangan sahabat dan orang sekeliling, menjadikan dia paranoid. Berpegang dengan alasan bahawa dia hanya terdesak dan terpaksa, Jazzren membuat perancangan untuk menikah. Sekadar untuk memuaskan hati pihak-pihak yang begitu mahu melihat dia berpasangan. Sejujurnya dia tidak mahu terikat dengan perkahwinan yang banyak tanggungjawab. "Bukan sebab menderita atau apa, tetapi lebih kepada dah tak sabar nak kecapi nikmat membujang semula. Perkahwinan terlalu banyak tanggungjawab dan menyusahkan." - Nia Jazzren. Elfathan, lelaki pilihan Jazzren. Sebaik mengetahui Elfathan putus cinta dengan kekasih hati, Jazzren melamar tanpa teragak-agak. Sangka Jazzren, Elfathan akan menolak. Tetapi, lamaran itu ternyata diterima. Malah, Jazzren pula yang gelisah bila pihak lelaki menuntut mahu menyegerakan majlis nikah! "Majlis secepat yang mungkin!" - Ruo Yi Elfathan. Kehidupan selepas pernikahan antara Elfathan dan Jazzren, ada angin ributnya. Biasalah anak sulung, punya ego masing-masing. Tetapi, bila hati sudah mula menerima... terjadi sebuah peristiwa hitam dalam hidup Jazzren yang sekaligus menguji tanggungjawab Elfathan. "Jazz... cakap pada aku, siapa Jazz? Siapa buat kau macam ni?" - Ruo Yi Elfathan. Ujian untuk Jazzren rupa-rupanya membuka satu lembaran kisah pahit yang telah lama ibu dan bapa Elfathan sembunyikan. Apakah kisah itu? Mampukah Elfathan menerima sebuah kenyataan yang menyakitkan?