Sungguh, Saya Cintakan Awak

By karyaseni2u

80.2K 1.7K 185

Tajuk : Sungguh, Saya Cintakan Awak! Penulis : Shaista Haziq Penerbit : Penulisan2u ISBN : 978-967-0567-95-2 ... More

Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 1

19.4K 251 9
By karyaseni2u

Prolog

SUDAH berkali-kali aku gosok mataku ini. Nak katakan aku tak nampak, mustahillah pula. Tapi, aku mengakulah yang aku ni rabun. Betul ke apa yang aku nampak ni?

Dah berkali-kali aku pandang tapi tetap sama juga. Patutlah aku terasa nak pandang saja sejak tadi. Aura yang sama, sinaran mata yang sama dan... Orang yang sama?!

Ajmal? Syed Muhammad Ajmal Bin Syed Muhammad Azhari?

Aku mimpi ke? Ah, tak mungkin. Tapi debaran yang bertandang di dalam dada memberi petanda bahawa andaianku itu tepat.

Apa dia buat di sini?

Aku pandang sekali lagi ke arah lelaki tersebut. Tak berkelip-kelip mataku memandangnya. Kali ni aku pasti sangat. Dah sahlah dia!

Fikiranku mula menerawang entah ke mana. Kemunculannya di depan mata telah membuatkan luka lama berdarah semula. Hatiku jadi sedih tiba-tiba. Tak semena-mena mataku terasa bergenang. Cepat-cepat aku kerdipkan mata agar hilang genangan itu. Aku tak ingin ia bercambah dan mengalir ke pipi.

"Woi! Apa yang kau terhendap-hendap tu?" sergah satu suara di belakangku. Hampir luruh jantungku dibuatnya. Kuurut dada sambil menarik nafas panjang. Rasa sedih aku lontar jauh-jauh ke dasar hati.

"Kau tak boleh sergah kuat lagi ke? Biar satu bangunan ni dengar. Best sikit macam tu. Kan, kan, kan?" perliku bersahaja. Arissa sekadar tersengih.

"Tak adalah. Dah memang betul pun kau tu terhendap-hendap. Macam penyangak aje. Macam mana aku tak sergah?"

Aku pandang muka kawan baik aku itu. Kacau daun betullah dia ni!

"Kenapa kau terhendap-hendap tadi?"

Arissa pantas menoleh ke kiri dan kanan, depan dan belakang. Cuba mencari agaknya apa yang mencuri perhatian aku sebentar tadi.

Aku segera alihkan pandangan ke tempat yang sama, tapi kosong. Tiada lagi Ajmal di situ. Hanya kelihatan pekerja-pekerja yang lalu-lalang di situ. Mimpi ke aku ni? Takkan aku terlalu rindu sehingga terbayang-bayang wajahnya? Tak pun aku terlalu benci ke sehingga gagal melupakan dirinya?

"Dah tak ada," gumamku perlahan.

"Apa yang tak ada?"

Cepat-cepat Arissa bertanya. Aku mengerutkan dahi sambil memandang Arissa. Aku ingat cuma aku seorang saja yang dengar apa yang aku cakap, rupa-rupanya minah ni pun dengar juga. Boleh tahan juga pendengaran dia ni.

"Tak ada apalah. Kau terlebih dengar agaknya. Baik kau pergi cek telinga kau tu," ujarku sambil tanganku pantas mencuit telinga Arissa. Arissa mencebik.

"Yalah tu! Kalau macam tu, apa kata esok kau temankan aku pergi klinik? Kesian kat aku. Aku kan dah ada penyakit terlebih dengar," perli Arissa sambil tersenyum sinis.

"Tapi kan, aku rasalah... Penyakit terlebih dengar ni tak adalah sekronik penyakit terlebih cakap kau tu. Sampaikan tak sedar orang lain pun dengar. Kau tu yang patut pergi cek dengan doktor, tau tak?" sanggah Arissa.

Kemudiannya Arissa memandangku penuh makna. Dirangkulnya bahuku.

"It is Abang Ajmal, right? Kau nampak dia, kan?"

Tergamam aku seketika. Aku tatap wajah Arissa lama-lama. Cuba memahami bait-bait perkataan yang terucap, walaupun pada hakikatnya aku sudah pun mengerti.

Ajmal, kenapa awak hadir semula dalam hidup saya? Kenapa? Susah payah saya ubati sengsara saya, awak tau tak? Saya tak ingin derita lagi!

"Ra..." Sayup-sayup terdengar suara memanggil namaku. Ajmal?

"Adra!" Makin kuat suara itu.

"Hello there!" Ayunan tangan betul-betul di hadapanku. Aku buka mata besar-besar. Aku tatap wajah di hadapanku dengan bersungguh-sungguh. Ary?

"Wake up!" teriak Arissa kuat.

Aku menghela nafas lega sambil mengucap dalam hati. Aku mengelamun rupa-rupanya.

"Kau ni mimpi siang hari ke apa? Berkali-kali aku panggil, buat tak tahu aje!" tegur Arissa.

"Dahlah pandang aku semacam aje. Kau okey ke?"

Aku sekadar mengangguk.

"Sorry ya, Ra. Aku tak sepatutnya sebut nama dia tadi. Aku dah buat kau susah hati. Sorry..."

Aku sekadar senyum kepada Arissa.

"Tak apalah. Aku tak apa-apa pun."

Arissa tersenyum penuh makna.

"Tak apa-apa?" Dia cuba mengusik.

"Ya, kenapa kau tanya macam tu?" Aku cuba menduga.

"Tak ada apa-apa. Saja tanya. Kenapa? Tak boleh ke?"

"Aku tak kata pun tak boleh."

Arissa senyum lagi.

"Sure ke kau okey?" Disoalnya lagi.

"Kau ni kenapa?" soalku hairan.

Arissa menggelengkan kepalanya.

"Tak ada apa-apalah." Arissa terus mengatur langkah. Laju aku berjalan untuk menyainginya.

"Kau dah tahu ke?" soalku. Matanya aku pandang tepat.

"Tahu apa?" Dia mengajukan soalan juga. Aku tahu dia faham maksud soalanku tapi sengaja dia bermain tarik tali.

"Tahu yang Ajmal ada kat sini."

"Eh, aku tak tahu apa-apa, okey," nafinya bersungguh-sungguh.

"Dah tu, macam mana kau tahu aku nampak dia tadi?" dugaku.

"Sebab aku pun ternampak dia juga. Mula aku ingat pelanduk dua serupa tapi bila banyak kali tengok, aku confirm tu dia. Lagipun abang aku kut, takkan aku tak kenal, kan?" jelasnya.

Mendengar kata-katanya aku diam sahaja. Tak tahu apa yang ingin aku katakan. Jika benar orang yang aku nampak tadi ialah Ajmal, aku pasti yang hidup aku mulai sekarang akan berubah.

Seketika kemudian, Arissa menoleh kepadaku.

"Eh, kau dah ambil dokumen semua, kan?"

Aku mengangguk.

"Dah. Jomlah."

Aku baru mengambil beberapa langkah apabila terdengar seseorang memanggil nama aku.

"Nayli..." Langkah aku terus mati. Masa seakan-akan terhenti. Jantung aku berdegup kencang. Sungguh, andai aku ada kuasa, aku tak ingin masa terhenti di sini. Biarkan saja masa itu laju meninggalkan detik ini agar hilang semua rasa dalam hatiku.

Sudah hampir sembilan bulan aku tidak mendengar suara itu. Sudah hampir sembilan bulan juga tiada sesiapa yang memanggil aku dengan nama itu. Aku kerdipkan mata berkali-kali saat mataku mula bergenang. Aku perasan akan pandangan Arissa kepadaku, tapi aku cuba berlagak biasa.

"Nayli..." Terdengar Ajmal memanggilku lagi. Nafas aku tarik dalam-dalam lantas aku mengorak langkah. Aku langsung tidak mengendahkannya. Pura-pura tidak mendengar panggilannya.

"Nayli..."

Dia memotong langkahku. Dia kini berdiri di hadapanku. Betul-betul di hadapanku. Aku mengundur beberapa tapak ke belakang lalu terus berpaling mengorak langkah tanpa mempedulikannya.

Pantas jari-jemari Ajmal memegang kemas bahuku lalu menarik aku agar berhadapan dengannya. Hangat sentuhannya begitu terasa meskipun berlapik. Jantung aku semakin berdegup kencang.

Wajah Ajmal aku pandang sungguh-sungguh, buat kali pertamanya selepas berbulan-bulan berlalu. Melihat dia di depanku, sedikit sebanyak meluluhkan rasa rindu kepadanya. Dia masih seperti dulu, cuma sedikit berbeza dengan kumisnya yang nipis. Walau apa sekalipun perubahan yang ada, namun yang pasti Ajmal tetap punya tarikan seperti dulu.

"Nayli..."

Aku menarik nafas panjang tatkala mendengar panggilannya. Sepatah kata pun tidak mampu terkeluar dari bibirku. Sungguh aku tidak tahu apa yang harus aku katakan meskipun terlalu banyak sebenarnya yang hendak aku katakan kepadanya.

"Nayli, saya..."

Aku menekup telinga sambil menggelengkan kepalaku. Aku tidak mahu mendengar apa pun daripadanya. Aku tidak bersedia untuk mendengar kata-katanya, lalu aku terus berlari dari situ. Dari jauh aku dengar suaranya memanggilku namun aku tak peduli.

Yang aku tahu aku perlu pergi jauh darinya. Tapi ke mana? Mataku tertancap pada rest room wanita yang berada di sebelah kiriku. Laju kaki aku melangkah menuju ke situ.

Pintu tersebut kutolak lantas aku berlari menuju ke singki. Di situ aku menghamburkan tangisanku. Langsung aku tak peduli kepada pengunjung bilik air yang ada di situ. Sudah tidak peduli lagi pada mata mereka yang memandang. Biarlah...

"Kau okey ke?" soal Arissa di belakangku. Aku sekadar mengangguk. Air mata segera kukesat. Tak ingin dia melihat aku menangis sebegitu sekali.

"Kenapa kau lari macam tu aje? Kesian aku tengok Abang Ajmal. Terpinga-pinga kat situ macam orang bodoh."

Aku berpaling memandang Arissa.

"Kau kesian kat dia aje, habis tu aku kau tak kesian ke? Aku yang lebih banyak derita, tau tak? Aku yang jadi mangsa tau tak, bukannya dia!" marahku bertalu-talu.

"Apa yang kau merepek ni?" soal Arissa terpinga-pinga.

"Derita apa? Mangsa apa? Aku rasa dia pun menderita juga dan bagi aku, dialah mangsa yang sebenar bukannya kau!" ujarnya marah.

Beberapa orang pengunjung bilik air tersebut menoleh ke arah kami. Turut sama menadah telinga. Aku malu tiba-tiba. Hati ini sebak serta-merta. Air mata mula menitis semula. Aku teresak-esak di situ.

"Ra, aku minta maaf..." Dipegangnya bahuku.

"Aku tau kau terseksa sangat, tapi aku rasa Abang Ajmal lebih terseksa daripada kau. Kau yang tinggalkan dia. Dia merayu nak jumpa dengan kau tapi kau langsung tak nak jumpa dia. Kau... Kau terseksa sebab apa? Hanya sebab dia tu tunangan orang?" bicara Arissa, walaupun lembut namun pedihnya terasa sampai ke tangkai hati ini.

Arissa berbicara lagi.

"Ra, ada kau bagi semangat kepada dia? Ada kau stay di sisi dia waktu dia perlukan kau? Tak Ra, tak..." Arissa menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kau lari bawa diri ke KL. Kau tinggalkan dia macam tu aje. Macam orang gila dia cari kau. Aku ni sampai dah tak tau nak menipu apa lagi kat dia bila dia tanya pasal kau. Kau cuma nampak derita kau tapi kau tak nampak derita Abang Ajmal. Kau pentingkan diri kau, tau tak?" Kata-kata Arissa begitu sukar kuterima.

Hanya tangisan mampu jadi bukti betapa tergoresnya hati ini. Kutelan satu per satu kata-kata itu walaupun terlalu perit.

Aku membuka mulut ingin berkata sesuatu tetapi tak terucap. Kupandang Arissa dengan pandangan kosong. Kau tak tahu apa-apa, Ary...

Bab 1

HAMPIR dua jam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur, barulah kami tiba di rumah Arissa. Badan yang kepenatan membuatkan aku terlena di sepanjang perjalanan. Aku hanya tersedar apabila Arissa mengejutkanku daripada lena.

"Ra, bangun. Dah sampai. Kau ni tidur nyenyak betul macam tidur kat bilik aje." Terdengar Arissa bersuara.

Terpisat-pisat aku membuka mata. Aku pandang kiri dan kanan. Sejenak aku seakan-akan terlupa di mana aku berada. Namun, apabila terlihat akan rumah Arissa di hadapanku, kenyataan mula perlahan-lahan muncul dalam fikiranku. Okey, aku sekarang berada di Ampang, Kuala Lumpur.

"Aku penat-penat drive, kau sedap aje tidur," bebel Arissa.

Aku tersengih saja. Malas nak layan mulut mak nenek Arissa. Aku menggeliatkan badan lalu membetulkan rambutku yang separas pinggang itu yang kukira pasti kusut-masai. Sempat kulihat sengihan Arissa kepadaku.

"Kenapa?" ajuku kepadanya sambil menjelingnya. Nak mengata aku la tu...

"Macam Ju-on..." ujarnya selamba sambil menayang reaksi takut kepadaku.

"Amboi-amboi, beraninya cakap macam tu malam-malam macam ni. Kalau malam ni datang betul Si Ju-on tu baru kau tau," sakatku. Maklum sangat dengan Arissa yang penakut itu.

Serta-merta matanya melingas pandang ke kiri dan ke kanan. Wajahnya panik seketika sebelum kembali digantikan dengan senyuman.

"Ala, aku tak takut la sebab kau ada. Malam ni kan kau tidur dengan aku."

Aku mencebikkan bibir kepadanya.

"Parasit kau ni."

"Eh, apa hal pula aku parasit?" aju Arissa pelik.

"Yalah, kau menumpang keberanian aku."

Arissa ketawa mengekek.

"Beranilah sangat kau tu," ujarnya sambil menahan ketawanya yang masih bersisa.

"Aku memang berani... Berani cakap," balasku tertawa. Mengaku akan keberanianku yang suam-suam kuku itu.

Arissa sudah tayang muka tak puas hati kepadaku.

"Kau ni kan loyar buruk."

Aku tersengih saja. Segera keluar dari kereta lalu menuju ke bonet kereta.

"Cepatlah tolong aku keluarkan barang ni. Nanti cepat masuk rumah, cepat boleh makan. Aku dah lapar ni."

Arissa mula bercekak pinggang.

"Makan, makan, makan. Itu sajalah yang kau tau," bebelnya. Tapi sambil membebel tu, ligat pula tangannya mencapai satu per satu beg pakaianku di dalam bonet kereta dan mengeluarkannya. Aku tersenyum melihat gelagat Arissa. Itulah kawan baikku. Kuat membebel tapi sangat baik hati.

"Ewah, ewah... Aku duk berkerah tenaga angkat beg kau yang berat berkilo-kilo ni, kau duk sengih-sengih pula kat situ macam kerang busuk," tegurnya pura-pura marah.

Aku tersenyum geli hati.

"Kalau kau tolong tapi mengungkit, tak dapat pahala tau." Seronok aku menyakatnya. Beg-beg pakaian aku angkat dan bawa ke depan pintu rumahnya.

"Bukan mengungkit, tapi nasihat," getusnya selamba.

Aku tertawa mendengar kata-katanya. Dia menjeling kepadaku lalu menutup bonet dan mengunci pintu kereta sebelum mendekatiku.

Tangannya sibuk mencari sesuatu di dalam beg tangannya.

"Mana pula kunci ni?" gumamnya sendiri. Aku melihat telatahnya sambil menggelengkan kepala.

Mataku memandang sekitar rumah Arissa. Tidak banyak yang berubah walaupun setelah setahun berlalu sejak aku ke sini. Boleh dikatakan aku akan ke rumah Arissa setiap cuti semester sejak kami belajar diploma lagi. Dan kali ini setelah kami sudah mengakhiri pelajaran sarjana kami, Arissa mengajak aku bercuti di rumahnya, memandangkan katanya mungkin kami akan sukar untuk meluangkan masa bersama-sama lagi kerana dia menetap di KL dan aku pula di Melaka.

Tiba-tiba aku terperasan akan kereta-kereta yang ada di halaman rumah Arissa. Aku berkira-kira sendiri dalam hati. Ada empat biji kereta semuanya tak termasuk kereta Arissa. Wow, makin kaya pak su dan mak su ni. Sampai empat biji kereta.

"Ary, business abah kau makin masyuk ke sekarang ni?"

"Kenapa?" tanya Arissa acuh tak acuh. Tanpa menoleh sedikit pun kepadaku. Dia masih sibuk mencari kunci rumahnya. Aduh, rumah sikit punya besar macam ni loceng pintu pun tak ada.

"Yalah. Sampai empat biji kereta abah kau ada. Kaya sangat dah ni."

Arissa memandang sekilas ke arah deretan kereta yang terparkir elok di halaman rumahnya.

"Mana ada. Kereta abah aku satu, kereta mak aku satu, yang lain tu kereta abang aku dengan kawan dia kut," jawabnya selamba. Hah? Abang? Kawan?

"Ary, kau..." Dia sudah beralih ke meja rehat di tepi pintu rumah tersebut. Habis dipunggahnya isi beg tersebut ke atas meja. Berterabur habis semuanya. Lip gloss, compact powder, syiling, purse, handphone, pen dan bermacam khazanah lagi terpamer di atas meja tersebut. Pergh, ni beg Doraemon ke apa ni?

Di celah-celah barang-barang tersebut, aku ternampak segugus kunci.

"Tu kunci kau." Kuhalakan jari telunjuk pada kunci tersebut.

"Mana?!" teriaknya.

"Tu..." Muncung mulutku menunjuk ke arah kunci tersebut.

"Nasib baik jumpa," tukasnya gembira.

"Beg macam sarang tikus, memanglah tak jumpa."

"Mana ada macam sarang tikus," nafinya. Mulutnya sudah muncung sedepa.

"Bukan sarang tikus apa kalau dah macam tu?"

Arissa menjeling sekilas pada barang-barangnya yang bersepah di atas meja.

"Kalau sarang tikus mestilah ada tikus. Ni tak ada tikus pun. Ada kau nampak tikus? Ada? Ada?"

Aku menepuk dahi. Terasa tension pula dengan jawapan kawan baikku ini. Aku melihat saja dia memasukkan kembali barang-barangnya ke dalam beg tangannya. Tiba-tiba terlintas kembali dalam fikiranku tentang persoalan yang ingin aku tanyakan kepadanya sebentar tadi.

"Ary..." Lengannya kucuit sedikit.

Dia pantas berpaling kepadaku sambil mengangkat kening.

"Sejak bila kau ada abang? Aku tak pernah tau pun," ajuku hairan. Benar-benar hairan.

Dia mendengus malas.

"Sepupulah."

Sepupu pula. Ini mesti kes panggil sepupu sendiri abang ni.

"Kau tak cakap kat aku pun sepupu kau ada kat rumah."

Dia mengerutkan dahi.

"Kenapa pula? Wajib ke bagi tahu?"

"Bukan wajib. Tapi seganlah. Eh, berapa ramai sepupu kau ni? Lelaki ke perempuan? Ada apa dia orang datang sini? Dia orang tinggal sini ke?"

Arissa merenung aku sekejap. Berkerut dahinya.

"Kau ni kan... Banyak pula soalan."

"Isy... Kau ni, aku tanya jawab sajalah. Sepupu kau yang mana ni?" tekanku.

Arissa sudah mula tayang muka bosan kepadaku.

"Kalau aku bagi tahu yang mana pun bukan kau kenal."

Aku menggaru-garu kepala yang tak gatal. Ya, memang betul kata Arissa. Kalau dia beritahu pun aku memang tak kenal sebab sepanjang aku mengenalinya selama hampir lapan tahun ini, aku langsung tidak pernah mengenali mana-mana sepupunya. Malahan dia juga tidak pernah bercerita tentang mereka. Tapi aku tetap juga ingin tahu.

"Lelaki ke perempuan?" Aku mengulang tanya.

"Ya Allah, Kau tolonglah aku, Ya Allah... Kenapalah aku ada kawan yang macam ni?" Arissa menadah tangan sambil wajahnya memandang ke langit. Aku mencebik melihat aksinya itu. Alah, berdrama pula dia ni...

Aku menyambung tanya lagi.

"Sepupu kau tu umur berapa? Dah kerja ke?"

Arissa mengeluh kuat.

"Kau dengar tak doa aku tadi?"

Aku mengerutkan dahi. Tiba-tiba aku rasa seperti tak faham pula soalan Arissa sebentar tadi.

"Kau dengar tak doa aku tadi?" Dia ulang bertanya.

"Dengar."

Dia mengangkat bahu kepadaku.

"So?"

Segera aku angkat tangan lalu menyapu ke mukaku.

"Aminnn..."

Arissa memandang aku dengan rasa tak percaya.

"Kau ni loyar buruk..."

"Ary, sepupu kau tu..."

"Eh, yang kau tanya soalan macam polis pencen ni kenapa? Ke kau ada hati dengan sepupu aku?" soalnya dengan riak mengada-ada sambil keningnya diangkat-angkat kepadaku.

Terkejut benar aku mendengar kata-kata Arissa. Sungguh tak releven kata-kata itu. Aku ada hati kat?

"Weh... Agak-agaklah. Aku jumpa pun belum... Kenal pun tidak... Kau ingat aku apa?"

"Sepupu aku tu handsome." Hah? Was that a statement or a compliment?

"Apa kau cakap?" Aku tadah telinga dekat dengannya. Bukan aku tak dengar kata-katanya sebentar tadi, cuma ingin mendengar sekali saja lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya tadi.

"Aku kata sepupu aku tu handsome," katanya sambil tersengih.

"So?" Aku angkat bahu kepadanya.

Makin lebar sengihannya.

"Kereknya kau. Mentang-mentanglah cantik."

"Kerek tak kerek. Kau ingat aku kesah sangat ke handsome ke tak? Lainlah kau tu. Kau mata keranjang. Sampaikan mamak jual roti canai pun kau kata handsome," ujarku sambil menekup mulut menahan ketawa.

"Sengallah kau ni," balasnya sambil menunjal lembut dahiku. Terus ketawaku makin menjadi-jadi.

Arissa menjeling kepadaku. Tangannya sibuk membuka kunci pintu rumah.

"Dahlah, jom masuk. Tadi kata lapar," ajaknya apabila pintu rumah sudah dikuak. Rumahnya terang-benderang kulihat. Tapi kenapa sunyi pula padahal berderet kereta di luar.

Tapi aku masih belum berpuas hati lagi. Aku tarik lengan Arissa.

"Ary, apa pasal sepupu kau pun datang? Ramai-ramai ni ada apa?"

Dia yang baru memegang beg baju kembali meletakkan beg tersebut. Tangannya dicekak pada pinggang.

"Kau ni banyak tanya betullah. Mana ada ramai? Sepupu aku aje kut. Mak aku buat makan-makan sikit. Sambut kedatangan kau."

Whattt?!

"Ary!"

"Bukan salah aku, okey. Mak aku yang nak buat. Dia rindu sangat kat kaulah tu. Yalah, kau dah setahun kut tak datang sini. Bila dia tau kau nak datang bercuti dua minggu kat sini dia punyalah seronok. Siap rancang itu ini bagai. Nak buat barbekulah, makan malamlah, surprise partilah," terang Arissa panjang lebar.

Aku menggeleng-gelengkan kepala.

"Aku dah cakap tak payah buat. Tapi kau taulah mak aku tu. Ni pun jenuh aku suruh dia buat kecil-kecil aje. Aku cakap, mak ni macam tak kenal Adra aje. Dia tu mana suka majlis-majlis macam tu."

Kepala yang tak pening aku urut. Terasa berpusing kepala aku. Jauh di sudut hati aku terharu dengan layanan mak Arissa yang aku telah anggap macam ibu aku sendiri. Malah aku memanggilnya mak su seperti yang dimintanya. Aku tahu dia juga menganggap aku sebagai anaknya sendiri. Lambang betapa eratnya hubungan kami kedua-dua keluarga.

Sejak berkenalan dengan Arissa semasa aku belajar di peringkat diploma dulu, terus aku berkawan rapat dengan dia. Sikap dia yang sedikit gila-gila dan lincah, buatkan aku senang dengannya. Malah aku selalu ke rumahnya dan sejak itu, mama dan papaku juga turut rapat dengan mak su dan pak su.

Tapi aku kurang gemar pada acara keramaian dan bertemu dengan orang ramai. Aku ni jenis yang tidak tahu bersosial. Aduh, kenapalah mak su buat Adra macam ni...

"Kalau aku tau, aku tidur hotel aje," sungutku perlahan.

"Hotel? Amboi, kaya sangat kau sampai mampu nak tidur hotel selama dua minggu," tempelak Arissa.

Aku kerlingnya sekilas. Sengaja aku tayang muka sedih kepadanya.

"Ala, mak aku masak biasa-biasa ajelah. Bukan banyak pun. Sambut kau datang pun ya. Tapi sebab sepupu aku ada sama. Dah lama juga sepupu aku tak datang sini. Sibuk dengan kerja. Dia tu lawyer. Sibuk memanjang. Sekarang ni baru dia free, so dia ambil cuti dan stay kat sini. Mak aku tu memang rapat dengan sepupu aku yang seorang ni sebab mak aku yang bela dia masa dia kecik dulu. Sepupu aku yang ni dah macam abang aku dah pun," terangnya dan dalam masa yang sama memujukku.

Arissa tahu benar akan sikapku yang keberatan apabila terdapat ramai orang yang tak kukenali, apatah lagi jika orang itu berjantina lelaki.

"Eh, Ary, tadi kau kata mak kau bela sepupu kau tu? Kenapa? Dia tak ada mak bapak ke?"

"Isy kau ni. Elok lagi mak ngah dengan pak ngah aku tu bernyawa, kau kata dah tak ada," ujar Arissa pura-pura marah. Geli hati melihat reaksinya. Aku menekup mulut menahan tawa.

Dia melihat ke kiri dan ke kanan sebelum menarik aku rapat kepadanya.

"Mak ngah aku tu dulu... Errr... Macam mana nak cakap ya?" tukasnya sambil menggaru-garu pipinya sendiri.

"Kenapa dengan mak ngah kau?" tekanku. Tak sabar untuk mendengar ceritanya.

"Mak ngah aku tu dulu masa muda-muda ligat sikit. Jadi datuk dan nenek aku kahwinkan mak ngah aku dengan pak ngah aku. Lepas tu mengandung. Sama mengandung dengan mak aku. Tapi dia macam tak berapa happy mengandung sebab tak boleh nak... Nak jadi ligat. Bila bersalin, dia tak nak anak dia."

"Hah?!"

Pantas tangan Arissa memukul perlahan lenganku. Cepat-cepat aku menekup mulut. Wah, kejamnya mak ngah Arissa. Anak tu kan amanah Allah. Penyeri rumah tangga.

"Dia kata dia tak ready nak ada anak. Susukan anak tu pun dia tak nak sampai pak ngah aku tak tau nak buat apa. Kebetulan mak aku mengandung sama dengan dia, so bersalin pun lebih kurang sama. Tapi arwah abang aku meninggal lepas dua hari lahir." Arissa berhenti sebelum menyambung lagi.

"Jadi masa pak ngah aku tu meluahkan rasa hati kepada mak dan abah aku, mak aku offer nak jaga sepupu aku tu. So, pak ngah aku bagilah. Mak aku siap susukan sekali, so kira aku dengan sepupu aku tu macam... Adik-beradik kandunglah ya... Tapi tak juga... Erm... Entah..." Arissa kelihatan berfikir sejenak.

Dalam masa yang sama aku pun turut berfikir juga. Kalau sama ibu susuan maknanya antara ibu dengan anak susuan dan juga anak ibu susuan dengan anak yang disusukan tu, adalah muhrim.

"Kau dengan sepupu kau tu kira muhrimlah." Aku menjelaskan kepada Arissa akan hubungan dia dan sepupunya itu.

Dia terangguk-angguk.

"Mak aku cakap macam tu juga. Dia kata kalau sepupu aku tu duduk rumah aku pun tak apa sebab kami ni muhrim."

Aku menganggukkan kepala.

"Betul... Betul... Syukurlah mak kau susukan sepupu kau tu. Kesian juga ya dia dah mak ngah kau macam tu."

"Itulah... Mak ngah aku tu entah apa-apa," rungutnya.

Aku tolak bahunya perlahan.

"Tak baiklah kau cakap macam tu," tegurku.

"Dah tu sekarang ni macam mana? Macam tu juga ke sikap mak ngah kau tu?"

"Dah okey. Dah insaf. Sejak dia kemalangan. Masa sepupu aku tu umur enam tahun. Lepas kemalangan tu terus insaf. Terus ambil sepupu aku tu duduk dengan dia balik. Mak aku sedih betul masa tu. Tapi nak buat macam mana dah anak dia kan, so nak tak nak kena bagi baliklah."

Hati aku benar-benar rasa tersentuh. Kasihan kepada mak su. Anak yang dibela sejak kecil, disusukan tiba-tiba apabila besar diminta balik, tentu perit hati.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu.

"Eh, apa pasal kau tak pernah cerita semua ni kat aku? Lapan tahun kita kawan, satu apa pun aku tak pernah tahu pasal saudara kau."

Arissa tersengih.

"Ala, kau ni macam tak kenal aje aku ni macam mana. Aku kalau orang tak tanya, memang aku tak cerita la."

"Dah kau tak cerita, macam mana aku nak tanya?" balasku selamba.

Kepalaku ditunjal Arissa. Bulat mata aku memandangnya. Arissa ketawa lucu. Nasib baik perlahan tunjalan tersebut. Kalau tak, confirm makan penampar kawan baik aku ni.

"Weh, apa tunjal-tunjal ni? Sakitlah..."

Arissa ketawa mengekek.

"Eh, sudahlah. Sembang dengan kau sampai esok pagi pun tak habis. Jomlah masuk. Aku dah lapar ni," getusnya lalu tanganku ditariknya ke dalam rumah.

Walaupun keberatan, aku melangkah juga. Aku cuba pujuk hati agar menerima saja. Aku yang bercadang bercuti di rumah Arissa, jadi takkanlah aku nak demand itu ini pula, kan? Lagipun, ini rumah keluarga Arissa. Kehadiran sepupunya di sini sepatutnya tidak boleh aku pertikaikan. Lantaklah, buat derk aje, Adra oi...

Setelah beg-beg pakaianku diangkat oleh Arissa ke dalam rumahnya, dia pantas menutup dan mengunci pintu rumah.

Beg-beg pakaianku diletaknya di tepi dinding di sudut berdekatan ruang tamu. Aku hanya melihat saja tingkahnya yang menyusun beg-begku di situ. Sempat aku meninjau rumah Arissa. Kebanyakan perabot masih sama seperti dulu cuma ada sedikit pertambahan perabot baru dan susun atur juga sudah berubah.

"Makin cantik rumah kau, Ary. Pandai mak su kemas rumah," pujiku ikhlas. Aku benar-benar kagum dengan dekorasi ruang tamunya yang sangat kontemporari.

"Kau bukan tak tau mak aku kan memang suka hias rumah."

Aku mengangguk kepala. Mengiakan kata-katanya.

"Esok kalau aku ada rumah, aku nak hias macam ni jugalah," beritahuku kepadanya. Di dalam kepalaku sudah terbentang akan reka bentuk dan dekorasi rumah impianku itu.

Arissa menunjal lembut kepalaku.

"Berangan tak habis-habis."

Aku tersengih.

"Ala, berangan bukan kena bayar."

"Kau kalau tak menjawab memang tak sah, kan?" perlinya.

Aku tersengih lagi mendengar katanya. Baru aku hendak membuka mulut menjawab kata-katanya, terus tanganku ditarik menuju ke dapur. Aku yang langsung tak bersedia ni hampir terjatuh dibuatnya. Terus aku tolak bahunya kuat. Arissa tertawa kecil sahaja.

Dari jauh, telingaku sudah dapat menangkap suara-suara yang bertingkah di dapur. Riuh benar bunyinya. Seperti ramai benar orang di situ. Perutku kecut tiba-tiba. Aku jadi malu dan segan serta-merta.

"Assalamualaikum," sapa Arissa kuat dan riang sebaik sahaja kami sampai di dapur. Mereka yang berada di dapur kelihatan terkejut dengan sapaannya. Salamnya dijawab beramai-ramai. Dengan nada gembira juga. Sejenak aku teringat keriangan yang aku rasa semasa bersama papa, arwah mama dan arwah Kak Amna. Sama saja keriangan keluargaku dan keluarga Arissa.

"Dah sampai rupa-rupanya orang jauh ni," ujar mak su kepadaku. Terbang semua kenanganku sebentar tadi. Aku senyum kepadanya lalu segera mendekatinya. Aku menyalami tangannya dan dia terus memelukku. Erat. Seakan-akan luluh rasanya rasa rindu kepada arwah mama apabila mak su memelukku.

Aku terdengar esakan halusnya kemudian. Aku tergamam sekejap. Dia meleraikan pelukannya lalu menatapku lama.

"Bila tengok Adra, mak su jadi rindu sangat kepada arwah mama Adra. Serupa benar Adra dengan dia," ucapnya sayu.

Arissa sudah memeluk bahu maknya. Pak Su Ariffin asyik menyuruh isterinya bersabar. Yang lain, hanya terdiam melihat kami.

Aku pula... Aku memejamkan mata sesaat dua. Cuba menahan hiba dalam hati.

"Mak su janganlah menangis macam ni. Habis cair mekap mak su," pujukku sambil bergurau. Aku tak ingin kedatanganku dirai dengan air mata kesedihan.

Arissa dan pak su tertawa kecil. Mak su kemudiannya tersenyum kepadaku. Lenganku ditamparnya mesra.

"Mak su ni dah tua. Mana pakai mekap lagi. Adra ni dari dulu suka mengusik mak su. Tak berubah langsung. "

"Mak su pun dari dulu sampai sekarang suka aje menangis bila nampak Ra. Tak berubah langsung," gurauku lagi. Kesemua mereka ketawa mendengar kata-kataku.

"Tengok tu pak sunya Si Adra ni..." adu mak su kepada pak su. Pak su tersenyum mesra kepadaku lalu menghampiriku dan menghulurkan tangannya kepadaku. Cepat-cepat aku menyambutnya. Kepalaku diusapnya lembut.

"Datang juga Adra. Jenuh pak su dengan mak su tunggu. Dah setahun tak datang sini. Merajuk ke atau dah tak sudi jenguk kami?" gurau pak su. Tapi gurauannya penuh bermakna sekali. Rasa sayu yang bertandang dalam hati, aku buang jauh-jauh. Bukan merajuk dan bukan juga tak sudi, cuma kenangan yang banyak dengan arwah mama di sini membuatkan aku jadi lemah kadangkala.

"Takkanlah tak sudi? Kalau boleh Ra nak tinggal kat sini dengan pak su dan mak su sampai bila-bila. Biar rabak poket pak su sebab tanggung Ra," ujarku bergurau juga. Semua yang ada di situ sudah ketawa besar mendengar kata-kataku.

"Tak jadilah pak su nak ajak Adra tinggal sini kalau macam tu," sakat pak su lagi.

"Isy, pak su ni ajak-ajak ayam betullah," ujarku pura-pura marah. Sekali lagi mereka tertawa dengan kata-kataku.

Mak su kemudiannya menarik tanganku ke arah tiga orang lelaki yang berada di meja makan. Melihat aku datang, dua daripada mereka bangun. Hanya seorang yang masih duduk di situ. Sekilas aku melihat kepada lelaki yang duduk itu kerana aku perasan akan renungannya kepadaku. Malah aku perasan yang sedari awal lagi dia asyik merenungku. Ke aku yang perasan ni?

Walaupun hanya sekilas memandangnya namun aku dapat mengesan betapa tajam renungannya kepadaku. Berlainan benar dengan dua orang lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Mereka juga memandangku tapi pandangan mereka seperti pandangan biasa lelaki kepada wanita. Walaupun nampak gatal, aku sudah biasa dengan pandangan sebegitu. Sudah tak menjadi hal bagi aku.

Tapi lelaki yang seorang itu. Sungguh aku tak suka akan pandangannya yang tajam itu. Tapi aku akui dia seorang yang kacak. Bukan nak kata yang dua orang lagi tu tak kacak. Kacak juga. Tapi aku lebih tertarik pada jenis kekacakan yang dimiliki lelaki yang seorang ini.

Kan ada pepatah berkata, beauty lies in the eyes of the beholder. So, daripada pandangan mata aku, aku rasa dia lagi kacak berbanding yang lagi berdua itu. Kacak as in tall, dark and handsome... Bukan kacak macam artis K-Pop yang berwajah baby face yang kulitnya lagi licin dan putih daripada aku... Oh, tidak! Aku tak boleh terima kekacakan yang sebegitu. Mahu naik hantu aku asyik tengok cermin 24 jam akibat cemburu dengan lelaki sebegitu yang lagi 'jelita' daripada aku. Hahaha...

Aku alihkan pandangan lagi kepada lelaki tersebut. Dia masih lagi merenung aku. Dengan rahangnya yang jelas dan wajahnya yang sharp. Renungannya sungguh tajam menikam. Aduh... Rasa nak luruh jantung aku.

Jauh di sudut hati aku tak dapat menolak rasa berdebar-debar yang bertandang saat mata kami bertentangan. Renungannya lain macam benar. Jantungku berdegup terlalu kencang akibat renungannya. Aku rasa kalau dia berterusan renung aku macam tu sepanjang malam, confirm jantung aku boleh collapse sebab berdegup kencang sangat.

Mak su membawa aku ke hadapan lelaki yang renungannya tajam menikam itu. Aku pun tidak tahu siapa dia. Sepupu Arissa ke? Atau kawan sepupu Arissa?

"Ajmal, ni Nur Adra Nayli... Kawan baik Ary. Mak dengan abah dah lama kenal papa dan mama Adra ni."

Aku beranikan diri mengangkat muka memandangnya. Pandangannya sudah siap sedia menantiku. Masih tajam. Masih menikam. Dalam keadaan yang serba tak kena itu, senyuman aku hadiahkan kepadanya. Tanda perkenalan yang ikhlas daripada aku. Tapi wajahnya masih seperti tadi. Tiada perubahan. Senyum tidak. Masam pun tidak. Entah apa tak kena dengan lelaki ini.

"Adra, ni Syed Muhammad Ajmal, sepupu Ary. Anak mak ngah Ary. Mak ngah Ary tu kakak mak su," terang mak su. Memperkenalkan lelaki di depanku ini. Aku sekadar menganggukkan kepala kepada mak su tanda faham akan penerangannya.

"Tapi Ajmal ni mak su yang bela dan susukan masa kecil. Jadinya anak mak su jugalah," tambahnya lagi. Aku terangguk lagi mendengar penjelasan mak su. Memandangkan aku sudah mendengar daripada Arissa sebentar tadi, jadi mudah otak aku mencerna penjelasan itu.

Seminit, dua minit, tiga minit berlalu dia masih juga begitu. Aku rasa seperti tunggul kayu saja di situ. Mak su juga kulihat sudah resah. Pak su sudah menegur lelaki itu tapi dia masih dengan diam dia. Ek eleh... Sombong betul mamat ni... Sahlah poyo...

"Mal..." panggil mak su. Ingin menegur barangkali. Aku pun tak pasti.

"Tak apa, mak cik..." Salah seorang lelaki daripada berdua yang berdiri tadi tiba-tiba mencelah.

"Kalau Ajmal tak nak kenal, saya nak kenal," ujarnya nakal. Senyumannya juga nakal. Matanya sempat dikenyitkan kepadaku. Aku senyum saja kepadanya.

"Kau ni pantang jumpa perempuan, nak try aje kan," tukas Arissa geram.

Lelaki itu masih dengan senyuman nakalnya. Dia mendekatiku dan menghulurkan tangan kepadaku.

Haaa, ni yang aku tak gemar ni. Aku tak suka betul bersalaman dengan orang lelaki. Kalau lelaki yang pangkat ayah atau datuk, tak apa juga. Ini yang muda ni yang aku tak suka. Dia orang ni pun satu hallah kaum lelaki ni. Tak tau ke bersalaman dengan perempuan ni haram?

Aduh, ni yang susah sebab aku tak bertudung jadi mereka anggap aku tidak kesah bersalaman. Bukan seratus peratus salah mereka. Salah aku juga sebab tidak melunasi hukum Allah itu dengan selengkapnya. Argh, bilalah kau nak insaf ni, Nur Adra Nayli oi?

Antara rela dan terpaksa, aku sambut juga salamnya. Dia senyum senang hati.

"Saya Amir. Kawan baik Ajmal," ujarnya memperkenalkan dirinya. Aku mengangguk saja mendengar penerangannya. Oh, kawan si mamat poyo tu.

"Sebelah saya ni adik saya, Azhar," kenalnya kepada lelaki yang berada di sebelahnya itu. Lelaki itu turut menghulurkan tangannya kepadaku. Salamnya aku sambut juga dengan rasa yang terpaksa sepertimana aku menyambut huluran salam abangnya itu. Tapi aku terasa agak senang dengan lelaki yang bernama Azhar ini. Cara dia memandangku dan senyum kepadaku penuh dengan rasa hormat. Tidak seperti abangnya yang penuh dengan riak gatal itu.

Malah, aku kira Azhar itu lebih muda daripadaku, berdasarkan pada parasnya. Tapi tak tahulah kalau dia awet muda.

"Asal mana? Sama tempat belajar dengan Ary ke?" Aku cukup benci sesi suai kenal, okey!

"Kau ingat ni interviu kerja ke?" tempelak Arissa, geram.

Amir ketawa saja mendengar kata-kata Arissa.

"Alah, takkan tanya sikit pun tak boleh?"

Aku malas hendak bermain tarik tali. Orang tanya, aku jawab sajalah.

"Saya asal Melaka dan ya, saya sama belajar dengan Ary. Ada soalan lagi?" Selamba aku bertanya.

"Laaa, marah ke?" soalnya sambil tertawa kecil.

"Bukan marah, tapi menyampah." Arissa menjawab bagi pihak aku. Aku senyum kepada Arissa. Tanda terima kasih dan sebagai tanda setuju benar dengan jawapannya itu.

"Kau ni sibuklah," tempelak Amir kepada Arissa.

"Kata kat orang konon. Kau pun sama aje," balas Arissa kembali.

"Sudah, sudah. Jangan nak gaduh-gaduh," tukas pak su meleraikan perang mulut antara mereka. Arissa dan Amir kulihat masing-masing diam, tapi mata mereka masih menjeling antara satu sama lain.

Mak su hanya tersenyum saja melihat telatah kami semua.

"Kejap, mak su pergi ambil makanan. Adra duduk dulu, ya," kata mak su kepadaku, kemudiannya.

"Adra tolong ya, mak su," pelawaku untuk menolong.

Pak su pantas menjawab.

"Tak apa. Adra duduk aje. Biar pak su yang tolong." Dia lantas berlalu mengekori langkah isterinya ke ruang dapur basah.

"Berapa lama kat sini?" Soalan daripada Amir membuatkan aku berpaling memandangnya.

"Dua minggu kut. Tengoklah macam mana," beritahuku. Dia terangguk-angguk mendengar jawapanku. Namun matanya tak beralih daripada memandangku sehingga aku pula menjadi serba tak kena.

"Ni sekarang tengah cuti semester ke atau dah habis studi?" soalnya lagi. Mulutnya masih tak lekang menghulurkan senyuman gatalnya itu. Manakala Si Azhar pula aku lihat sibuk benar dengan telefon bimbitnya. Langsung tak ambil peduli. Sepupu Arissa pula masih lagi dengan renungan mautnya itu. Sabar ajelah...

"Dah habis lebih kurang dua minggu lepas," ujarku memberi jawapan pada soalannya.

"Yang kau pandang Adra macam tak pernah tengok perempuan ni kenapa?" aju Arissa tiba-tiba. Sinis.

Aku sedikit terkejut dengan kata-kata Arissa. Siapa pandang? Aku lihat Arissa membuang pandang tak puas hati kepada Amir. Oh... Erm, aku pun sebenarnya sedari tadi rasa nak tanya soalan yang sama. Terima kasih, Ary... Haha... Eh, tapi yang sepupu merangkap abang kau tu, kau tak nak tanya juga ke kenapa dia duk renung aku macam nak telan tu?

Amir tersengih mendengar kata-kata Arissa.

"Tengok sebab cantiklah." Dia tersenyum kepadaku. Aku senyum sedikit kepadanya. Tanda terima kasih atas pujiannya. Arghhh... Dasar lelaki mata keranjang!

Dia menyambung kemudiannya.

"Adra ni cantik kan, Mal?" soalnya sambil memandang sekilas kepada mamat poyo bernama Ajmal itu.

Sempat aku menjatuhkan mata sekejap kepada Ajmal dan benar seperti sangkaanku, matanya tepat memandang kepadaku. Tak tahan dengan renungannya, aku pantas larikan wajahku.

"Cantik memang cantik. Tapi cantik saja tak guna kalau tak tutup aurat."

Terpempan aku seketika. Whattt?! Rasanya bukan aku seorang. Arissa, Amir dan Azhar yang sebelum ni tak ambil peduli dengan bualan kami pun aku lihat ikut terpempan. Ini menunjukkan apa yang dikatakan oleh mamat poyo itu adalah sesuatu yang amat drastik.

Serta-merta pandanganku tertancap kepadanya. Dia seperti biasa memandangku dengan tajam. Langsung tak ada rasa bersalah. Rasa menyesal jauh sekalilah. Langsung tak bertapak riak menyesal di wajahnya itu. Seolah-olah kata-katanya sebentar tadi adalah kata-kata yang paling sopan dituturkannya.

Seluruh wajahku terasa merah padam mendengar kata-katanya. Mukaku rasa panas. Telingaku panas. Hati aku lagi sejuta kali ganda panas.

"Abang Mal! Apa kau cakap macam tu?!" marah Arissa. Dia memandang aku dengan serba salah.

"Entahnya, Mal. Kau ni tak patut cakap macam tu," sampuk Amir bersetuju dengan Arissa. Dia lagi kelihatan serba-salah. Mungkin berasa salah kerana dia yang membuka topik tersebut.

Azhar pula diam saja tak berkata apa. Mungkin dia malas mencampuri urusan kami. Tapi aku perasan dia melemparkan pandangan simpati kepada aku. Sungguh aku malu apabila berbicara tentang aurat ini. Terasa bersalah yang teramat kepada Allah. Bukan aku tak tahu hukum-hakam. Tapi entah kenapa liat benar nak menuruti perintah-Nya yang satu itu. Ya Allah, Kau bantulah aku. Ya Allah, Kau bukakanlah pintu hatiku...

"Apa pasal pula tak patut? Memang betullah apa aku cakap, kan?" Selamba saja kata-kata daripada Si Ajmal yang poyo tu.

"Abang Mal ni tak baiklah..."

"Apa yang tak baiknya?" Ajmal menyoal Arissa kemudiannya.

Sempat matanya melihat Arissa dari atas ke bawah dengan pandangan marah.

"Kau pun sama, adik. Dah berapa kali aku pesan suruh tutup aurat tu? Pakai tudung. Pakai baju yang longgar-longgar sikit."

Arissa kulihat sudah mencebik. Aku diam saja.

"Ini tak, aku tegur langsung buat tak peduli. Ingat elok ke pakai baju sendat macam tu?"

Sambil dia membebel kepada Arissa itu, matanya asyik terarah kepadaku. Aku tahu dia menujukan kata-katanya itu kepada aku juga. Hampeh... Macamlah aku pakai baju seksi habis.

"Tak tutup aurat macam ni nak tunjuk kepada siapa? Seronok tayang badan kat semua orang? Ingat elok ke pakai baju ketat macam ni?"

Berdesing telinga aku mendengar kata-katanya. Okey. Aku tahu aku salah. Aku tahu aku ini insan yang jahil. Tapi agak-agaklah nak tegur pun. Lagi satu, baju aku tak ketat, okey! Walaupun aku tak bertudung, tapi baju aku biasa-biasa aje. Aku tak pernah pakai skirt pendek, seluar pendek atau baju tak berlengan atau yang terdedah di dada kat khalayak ramai, okey... Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba meredakan kemarahan yang menggunung ini.

"Habis tu, awak ingat eloklah awak tegur macam ni? Elok ke awak tegur dengan cara memalukan orang macam ni? Nak tegur kena cakap baik-baik dan di tempat tertutup supaya orang yang ditegur tak terasa malu!" bidasku. Entah dari mana datang kekuatan bercakap dengannya pun aku tak tahu. Yang aku tahu adalah aku benar-benar panas hati dengan mulutnya yang celupar itu.

Mulutnya terlopong mendengar kata-kataku. Terlopong seperti sengaja dibuat-buat. Senyuman sinis bermain di wajahnya.

"Wow, tahu agama rupa-rupanya. I am impressed. Dah tu bab tutup aurat tak tahu kenapa? Tak sempat belajar ke? Cikgu meninggal ya tak sempat ajar?" sindirnya sinis. Bukan setakat sinis malah pedas. Wah, makin panas hatiku mendengar sindirannya. Mulut dia ni, kan... Tak makan saman betullah mamat ni!

"Abang Mal!" Separuh menjerit Arissa menegur. Dia berkata-kata lagi itu dan ini memarahi abangnya. Amir juga turut sama bersuara menegur Ajmal. Ajmal kulihat segera mengangkat tangan tanda menyerah. Tetapi pandangannya yang tajam itu masih lagi tak mahu menyerah daripada memandangku.

Aku menjeling kepadanya. Sempat aku melihat senyuman terukir sedikit di bibirnya. Entah untuk apa senyuman itu aku pun tak tahu. Untuk mengejek aku barangkali.

Continue Reading

You'll Also Like

17.8K 1.1K 15
SAMBUNGAN BUNGA AZALEA 1 Start : Friday, 19 March 2021 Ini perjuangan Hadif. Perjuangan dia untuk berubah. Perjuangan dia untuk menerima diri. Perjua...
39.6K 2.3K 98
AAFIYA. Seorang gadis yang tidak memerlukan seorang 'lelaki' yang bergelar suami dalam hidupnya. Bukan dia anti dengan lelaki. Cuma bagi dia, perkahw...
34.6K 243 12
"Nama kau Kudin ya?" "Apasal kau gelak?" "Kudin nama kau? Memang sesuai sangat dengan kau. Nama kau sama buruk dengan baju kau tu!" Si Edrina ni mema...
134K 10.7K 59
Kelangsungan hidup. Good vs evil, courage dan heroism, pemberontakkan dan banyak lagi konsep dalam hidup ni mengambarkan sikap seseorang. Lagi-lagi p...