Cinta Dorayaki [PUBLISHED]

By IzzaAripin

28.3K 846 14

"Alamak! Buku nota keramat aku tertinggal atas meja!" "Jangan jadi gila, Durrah. Dah lewat ni. Tak hilangnya... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
Bab 21

Bab 7

1K 42 0
By IzzaAripin

Durrah duduk sendirian di atas tangga kecemasan. Dah beberapa jam perkara itu berlaku. Entah apa yang terjadi di dalam sana. Kepalanya dah kusut memikirkan perubahan besar yang terjadi di pejabat itu. Tadi selepas dia keluar dari bilik mesyuarat, dia terserempak dengan Hobbit Hitam. Dengan selamba si pendek itu memberi amaran kepadanya.

"Durrah, kalau kumpulan you tak perform hari Jumaat ni, bersedialah untuk cari kerja lain. Bukan you aje... semua ahli pasukan you dipersilakan berambus!"

Panas betul hatinya mendengar ugutan Mr. Abraham itu. Rasa hendak melawan. Tapi hatinya dah cukup sakit. Lantas dia menyembunyikan diri di situ; cuba sedaya upaya untuk tak menangis lagi.

Tiba-tiba pintu kecemasan ditolak dari luar. Cepat-cepat Durrah mengelap sisa air mata di pipinya yang mulus. Entah siapa pula yang datang mengganggu? Kakak tukang sapu kot, fikir Durrah tanpa mahu menoleh ke belakang.

"Hah... menangis lagilah tu. Nanti muka bengkak lagi." Akid duduk di sisi Durrah. "Rugi kau tak tengok tadi. Sinetron paling hebat abad ini."

"Apa maksud kau?" Durrah mengeluarkan tisu dari poket kotnya dan menekup wajahnya separuh.

"Suami Dr. Maria dan Imas datang tadi. Terus jadi perbalahan antara suami dengan suami sebab isteri-isteri mereka bercakaran. Sampaikan Encik Zharif terpaksa panggil pengawal keselamatan untuk leraikan perang mulut tu."

"Lah..." Mulut Durrah melopong besar. "Sampai macam tu sekali?"

"Itulah... rugi kau tak tengok. Memang macam tengok filem Hindustan." Akid menghulurkan sekeping coklat kepada Durrah.

Durrah menyambutnya dan mematahkan tiga baris coklat badam dan hazel itu. Bagus betul si Akid ni. Lagak macam mafia tapi pandai memujuk dengan coklat. Mesti bahagia hati isteri dia, fikir Durrah.

"Tapi... kesian Imas. Dia kena buang 24 jam."

"Apa?" Suara Durrah kuat sehingga bergema suaranya.

"Ginny dapat surat amaran sebab bergaduh dengan Mr. Abraham."

"Pulak dah. Si Kebayan tu? Takkan lepas kot?"

"Kebayan?" Berkerut dahi Akid memandang Durrah.

"Eh... Dr. Maria. Dia kena apa pula?" Sekali lagi Durrah tersasul cakap, memanggil Dr Maria dengan nama gelarannya iaitu Kebayan. Kalau selalu begini, habis pecah tembelangnya.

"Tak ada apa-apa." Suara Akid kedengaran jengkel.

"Hisy... ni yang buat aku marah ni!" Suara Durrah meninggi.

"Chilllah. Jangan campur hal orang lain. Kita selesaikan masalah kita dulu ni. Biarlah orang lain nak bercakaran ke bertumbuk ke... kita buat kerja kita."

"Chill? Macam bagus aje! Bagi aku sebiji peti ais baru aku boleh chill!" Geram Durrah beralih kepada Akid pula. Orang tengah marah, disuruhnya bertenang. Tapi itulah cara yang betul, kan? Durrah menempelak dirinya sendiri.

"Dahlah. Jom masuk. Encik Zharif tanya kau tadi."

"Alamak... dia tu... kecoh aje." Lambat-lambat Durrah bangun mengekori Akid masuk ke pejabat dengan langkah yang berat.

Sebaik saja tiba di mejanya, Durrah terus mencapai headphone dan meletakkan di kepala. Sengaja dia menguatkan suara radio. Tak mahu dia mendengar cakap-cakap teman sepejabat mengenai insiden tadi. Buat menyakitkan hati saja.

Tiba-tiba CPU di atas mejanya diketuk kuat. Tersentak Durrah. Dia segera mendongak. Zharif dah terpacak di sisi kubikelnya.

"Masuk bilik I kejap!" Zharif terus berlalu tanpa menunggu Durrah.

Terkebil-kebil mata Durrah memandang lelaki itu yang dah pun masuk ke bilik pejabatnya.

Azri mencuit bahu Durrah. "Kenapa? Kenapa?"

"Manalah aku tau. Tetiba aje dia panggil. Macam lanun pula tu. Main ketuk CPU aku aje. Ingat harta dia ke? Kalau rosak, aku yang dipersalahkan," bebel Durrah.

"Bukan salah dia. Kau yang pekak. Dia dah panggil banyak kali dari pejabat dia tadi. Bila tengok kau pekak badak, tu dia datang."

"Yang kau tak panggil aku tu, kenapa? Sengaja aje, kan?" Durrah dah bangun. Dia menjeling tajam kepada Azri yang dah tergelak-gelak menyembunyikan rasa bersalah.

"Aku halau kau dari kumpulan aku, baru kau tau!" Durrah sempat mengugut sebelum menuju ke arah bilik Zharif Lanun. Lanun? Memang sesuai gelaran itu jika dipadankan dengan Zharif. Durrah tersenyum. Tapi keceriaannya seketika cuma. Bahang mula terasa apabila dia melangkahkan kaki ke dalam bilik Zharif.

"Duduklah. Berdiri macam tiang bendera tu nak buat apa?"

Aduh... sinis betul lelaki ini bercakap. Durrah dah buat muka tak puas hati.

"Hah... buat muka!"

Tersentak dia apabila disergah begitu. La... mamat ni perasan ke, getus Durrah semakin tak puas hati. Wajahnya dah kelat. Dia menarik kerusi dan terus duduk.

"Hmm... kalau rasa nak sembunyi bawah meja, meja I ni tak muat. Jadi you sembunyilah bawah kerusi. Itu pun kalau muat."

Ya Allah... apa ke hal mamat ni? Durrah dah mengomel dalam hati. Adakah semata-mata kerana hal itu maka dia memanggil Durrah masuk mengadap? Sengaja hendak membalas dendam? Tapi dendam apa?

"Ada apa Encik Zharif panggil I ni?" Dengan selamba Durrah menyoal. Dia mahu hentikan kata-kata sinis lelaki itu.

Zharif merenung Durrah seketika sebelum mula bersuara. Gila gabra juga Durrah dibuatnya apabila ditenung tajam begitu. Bisa menggugat iman.

"Tadi I dah bincang dengan Kokila berkenaan kumpulan dia. Masalah dia sebab GD dia buat kerja lembab. Masalah kumpulan you apa pula?"

"Masalah kumpulan I?" Durrah mengulangi soalan Zharif. "Masalahnya dulu I bertugas di Unit HR. Tapi tiba-tiba Datuk suruh I jadi editor kemudian SE dan sekali gus jadi ketua kumpulan. Sama macam Azri. Daripada Unit PR ke jawatan penterjemah. Dia tak apalah sebab memang ada pengalaman dalam bidang tu. Tapi I? Apa yang I tahu mengenai projek ni? Tak ada apa-apa. Jadi I kena belajar dari A hingga Z dalam masa yang amat singkat. Mestilah modul kena tolak sebab kebetulan SE I semua budak baru, termasuk I. Walaupun I dah lama kat sini, tapi bidang kerja I jauh berbeza. Tiba-tiba saja tukar bidang tugas sesuka hati."

Begitu panjang lebar Durrah menjelaskan masalahnya. Kalaulah dia turut sama bercakap dalam mesyuarat tadi, tentu dia juga mendapat surat amaran daripada Hobbit Hitam.

"Jadi you nak salahkan Datuk sebab tukarkan you ke projek ni ke?" Zharif seolah-olah tak dapat nak menerima alasan yang diberikan oleh Durrah. Padanya semua itu sekadar alasan kosong yang tak kukuh yang tak boleh dijadikan sebab.

Berkerut dahi Durrah memandang Zharif. Begitu panjang lebar dia memberikan penjelasan, hanya itu saja kesimpulan yang dapat lelaki ini buat? Sungguh tak bisa diterima akal. "Mungkin ya, mungkin tak." Dengan berani Durrah menjawab.

"Maksud you?" Wajah Zharif masih lagi serius.

"I tak kisah kalau Datuk nak tukar I ke mana-mana sekali pun. Tapi berilah I peluang berenang dulu, baru menyelam. Bukan itu aje. I kena ugut dengan Hobbit Hitam lagi. Kononnya kalau kumpulan I tak perform hari Jumaat ni, kami semua kena berambus. Budaya kerja apa ni?"

"Apa dia? Hobbit Hitam?" Zharif dah mendekatkan tubuhnya pada meja.

Dengan pantas Durrah menekup mulutnya. Alamak! Dia buat sekali lagi. Rasa nak cili mulutnya yang selalu terlepas cakap.

"Er... apa? I tak faham." Durrah pura-pura buat wajah blur.

Zharif memandang Durrah dengan curiga. Durrah membalas dengan wajah selamba. Tapi dalam hatinya, dah bergelora menahan cuak dan gabra.

"You pernah terlibat dengan pengurusan projek?" Zharif kembali bersandar pada kerusinya.

Durrah menggeleng.

"Apa yang kita buat sekarang ialah projek. Kita mahu menghasilkan satu produk baru. Belum ada syarikat lain yang berjaya melakukannya. Jadi kalau kita berjaya, kitalah perintis. Untuk menjayakan projek ini, kita perlukan tenaga kerja yang cekap dan tahan tekanan. Kalau ada sesiapa yang rasa dia tak boleh tahan, lebih baik berhenti sebelum kena buang.

Jadi apa yang Datuk buat sekarang, tak salah. Sebab dia dah laburkan jutaan ringgit semata-mata nak lihat projek ni berjaya. Tapi bila pengarah projek terdahulu gagal hasilkan produk seperti yang dikehendaki, Datuk terpaksa ambil langkah drastik. Datuk ahli perniagaan. Dia pentingkan pulangan pelaburannya. Kita ni sekadar pekerja yang makan gaji."

"Tapi Encik Zharif, itu tak bermakna dia boleh layan kami macam kuli. Kami bukan tak buat kerja. Kami dah buat, tapi masih gagal memenuhi cita rasa Datuk. Masalahnya, kami pun tak tahu apa yang Datuk mahukan. Dia tak pernah beritahu pada kami." Durrah dah mula merasakan bahang. Kedinginan pendingin hawa tak mampu menyejukkan tubuhnya.

"Datuk ada beritahu pada Mr. Akshay Kumar. Tapi malangnya dia tak beritahu pada kamu semua. Itu memang salah dia dan dia berhak diberhentikan. Datuk syak dia nak sabotaj syarikat."

"Apa?" Durrah kurang percaya kata-kata Zharif. Dia kenal Mr. Akshay dulu daripada lelaki ini. "Walaupun I tak lama bekerjasama dengan Mr. Akshay, tapi I tak rasa dia begitu orangnya."

"You tak kenal dia, Durrah. Sebelum ni you di tempat lain. Apa yang you tahu, cuma cakap-cakap daripada Imas dan Ginny yang selama ni memang orang kuat Mr. Akshay."

"Berani you cakap begitu tentang kawan I?" Durrah dah mula naik angin.

"I bukan nak tuduh kawan you bukan-bukan. I ada bukti. Kalau you nak selamat dan nak simpan kerjaya you di sini, baik you jangan campur dengan orang-orang yang berfikiran negatif macam tu."

Durrah terus berdiri kerana tak sanggup mendengar kata-kata Zharif yang menghendaki dia mengkhianati rakan-rakannya sendiri.

"I minta maaf, Encik Zharif. I tak setuju dengan kata-kata you. I tahu siapa kawan I. Tak perlulah you nak nasihatkan I mengenai hal ni. Hal kerja I, you jangan bimbang. I akan lakukan sedaya upaya sehingga Datuk terima modul kami. Dan dengan siapa I nak berkawan, itu hak peribadi I!" Durrah terus keluar dengan hati yang berbuku sebal.

M�&�ucm8�

Continue Reading

You'll Also Like

275K 3.4K 36
Third Story 🔞 Larangan 🔞 ************************ This story will become an E-Book, so those chapter is to promote my work If you dont like or supp...
29.5K 2.5K 29
Orang kata, perempuan yang masuk bidang ketenteraan adalah manusia paling gila dan berani mati. Dianggap bersifat lemah dan semestinya tingkah laku f...
668K 25.4K 53
"Yang disangka racun rupanya hanya la sekadar penawar" "Selamat datang, adik tiriku." - Tuanku Daeen Mateen Nakal, bebal, miang. Itu yang dapat Bunga...
68.4K 3.8K 61
"You drive me crazy, Yara Alyssa. Most people say that the cure for falling in love is marriage. And now I'm in love. Do you want to be the cure for...