Dusta Puteri Palsu

By Qayssz

81.7K 9.8K 2.3K

Dari masa hadapan ke masa lampau. Mustahil tetapi telah pun berlaku. Sangkanya boleh pulang selepas mengadap... More

prolog
kisah - 1
Kisah - 2
Kisah - 3
Kisah - 4
Kisah - 5
Kisah - 6
Kisah - 7
Kisah - 8
Kisah - 9
Kisah - 10
Kisah - 11
Kisah - 12
Kisah - 13
Kisah - 14
Kisah - 15
Kisah - 16
Kisah - 17
Kisah - 18
Kisah - 19
Kisah - 20
Kisah - 21
Kisah - 22
Kisah - 23
Kisah - 24
Kisah - 25
Kisah - 26
Kisah - 27
Kisah - 28
Kisah - 29
Kisah - 30
Kisah - 31
Kisah - 32
Kisah - 33
Kisah - 34
Kisah - 35
Kisah - 36
Kisah - 37
Kisah - 38
Kisah - 39
Kisah - 40
Kisah - 41
Kisah - 42
Kisah - 43
Kisah - 44
Kisah - 45
Kisah - 46
Kisah - 47
Kisah - 48
Kisah - 49
Kisah - 50
Kisah - 51
Kisah - 52
Kisah - 53
Kisah - 54
Kisah - 55
Kisah - 57
Kisah - 58
Kisah - 59
Kisah - 60
Kisah - 61
Kisah - 62
Kisah - 63
Kisah - 64
Kisah - 65
Kisah - 66
Kisah - 67
Kisah - 68
Kisah - 69
Kisah - 70
Kisah - 71
Kisah - 72
Kisah - 73
Kisah - 74
Kisah - 75
Kisah - 76
Kisah - 77
Kisah - 78
Kisah - 79
Kisah - 80
Kisah - 81
Kisah - 82

Kisah - 56

447 50 9
By Qayssz

"Sabar... Dengar dahulu." Tok Ali menahan bicara Arjuna.

"Kehadiran wanita itu menyebabkan peperangan berlaku dalam diri kau. Kerana apa?"

"Kerana nafsu kau menyukai itu namun iman kau menolak itu." Perlahan, ringkas namun padat suaranya Tok Ali agar bicaranya lebih mudah dihadam Arjuna.

"Mari sini aku beri kau misal."

"Pada orang biasa tanpa iman menebal dalam hati mereka, dengan mudahnya akan mereka mendekati seseorang wanita itu kerana semua manusia punyai nafsu."

"Namun, pada orang yang punyai keimanan teguh, iman dan nafsunya akan saling bertengkar untuk menggapai kemenangan. Peperangan itulah yang kita gelar sebagai lautan kekeliruan."

Arjuna terkesima seketika namun mulutnya kekal dikunci bagi memberi ruang Tok Ali melanjutkan bicaranya.

"Arjuna, kehadiran wanita dalam hidup seseorang insan itu hanya membuktikan dua perkara sahaja. Sebagai tetamu ataupun tulang rusuk. Sebagai ujian ataupun ada sesuatu yang dicoret takdir buat kalian." Ujar Tok Ali lagi. Perlahan-lahan disematnya segala ilmu dalam diri pemuda itu.

Arjuna kekal diam. Jantungnya berbolak-balik. Segala perkara bermain di benaknya. Bicara Tok Ali itu difahaminya namun sukar diterima.

"Arjuna." Tok Ali memanggil perlahan melihatkan anak muridnya itu semakin jauh tenggelam dalam empayar lamunan sendiri.

Sesekala angin sepoi-sepoi menyapa lembut pipi kedua insan yang sedang bertukar bicara itu.

"Mungkin selama ini, tugas kau adalah membina sebuah kerajaan yang aman. Namun kali ini tugas kau adalah untuk membina masjid pula..." Tok Ali tersenyum manis. Dia tahu butir bicaranya sudah tentu sukar dihadam pemuda itu namun perkara ini perlu tiba ke pengetahuannya juga suatu masa nanti.

Arjuna terkebil seraya menelan air liurnya. "Astaghfirullahalazim Tok. Hamba masih belum sempurna orangnya. Sampai ke situ pula Tok ini." Arjuna menyapu seluruh wajahnya cuba menenangkan diri.

"Ya Allah. Aku tidak bercanda!" Tok Ali tersenyum. Geli hati namun ketawanya hanyalah senyuman bagi mengelakkan ketawa berlebihan.

"Hamba rasakan kehadirannya hanyalah sebagai tetamu. Mustahil untuk kami..." Arjuna mengatup rapat matanya seraya menunduk ke bawah cuba menyembunyikan matanya yang memerah.

Suasana kekal sunyi. Sepertinya Tok Ali sendiri dapat mengagak sesuatu yang tidak kena dengan pemuda itu. "Ada perkara yang menjadi benteng ya?" Soal Tok Ali perlahan namun menusuk ke hati.

Arjuna kekal menunduk namun tersenyum manis cuba mengubah emosi. Kelihatan setitis air ibarat air embun jatuh dari kelopak matanya ke lantai kayu rumah pondok itu.

Pemuda itu segera menggeleng seraya ketawa kecil, "tidak usahlah kita berbicara soal wanita lagi. Hamba terasa hina di sisi-NYA." Segera Arjuna mengubah topik.

Tok Ali hanya mengeluh perlahan. Sukar sungguh Arjuna seorang ini.

"Belakangan ini Tok, entah mengapa hamba rasakan, seolah diri ini semakin jauh dari- NYA..."

"Tidak seperti dulu, hamba semakin sukar menangis saat sedang berbicara dengan-NYA. Jujur hamba katakan, cemburu melihat orang lain berupaya meluahkan kasih sayang mereka dengan Ilahi melalui tangisan air mata."

"Namun bagaimana pula dengan hamba?"

"Apakah hamba tidak punyai sebarang rasa kasih buat-NYA?"

Tok Ali terdiam sejenak, memikirkan cara terbaik bagi menjelaskan soal itu kepada Arjuna.

"Pertama sekali, harus kau ingat bahawasanya setiap orang punyai cara tersendiri dalam meluahkan rasa kasih masing-masing."

"Tidak perlu pandang jauh, lihat sahaja bagaimana hati kau memberi reaksi terhadap perasaan kau tika ini. Kau sendiri terasa hina dan bersalah akibat gagal mengalirkan air mata buat-NYA sudah cukup menjadi bukti bahawasanya jiwa kau terganggu saat diri terasa jauh dari Allah."

Setiap butir kata Tok Ali bagai air yang dicurah pada tanah, menyuburkan jiwa kelam yang mendambakan pelukan hangat.  Entah kenapa jiwa Arjuna dihentak sebak dan pilu mendalam, hiba terasa saat perasaannya selama ini yang dirasakan tidak selayaknya dimiliki, seolah mendapat kebenaran dari Tok Ali bahawa perasaan itu tidaklah salah.

Selama ini dia sering menuding jari ke arah dirinya sendiri akibat gagal merasa syahdunya rahmat Ilahi. Walhal semua itu hanyalah ujian semata untuk Dia menguji setiap hambanya yang bertakwa.

Sungguh tiadalah diambil kira soal hati yang jauh dari-NYA kerana yang dilihat Allah adalah usaha sesebuah jiwa itu cuba mendekatkan dan mengeratkan hubungannya dengan Sang Pencipta mereka.

Arjuna mengeluh perlahan cuba menghadam. Sejak ketibaannya di sini, bagai satu rezeki yang ditakdirkan buat dirinya, limpahan dan curahan rezeki berjaya diperolehnya hari ini. Kendatipun baru sebentar sahaja perbualan antara mereka, bagai hilang sudah separuh daripada masalah yang menganggunya beberapa hari ini.

Malah air yang perlu dihidang anak kecil tadi pun masih belum tiba. Sama ada budak itu yang memakan masa sebegitu lama hanya untuk menyediakan minuman  atau perbualan mereka yang terlalu singkat namun tidak disedari.

Namun sebaik sahaja selesai seketika perbualan antara kedua insan itu, tiba-tiba budak tadi terpacul dengan pantas bersama dulang airnya. Tanpa sepatah bicara, air dihidangnya penuh beradab buat kedua guru dan tetamu mereka.

Kemudian waktu petang dihabisi dengan beberapa lagi sesi tukar bicara antara kedua insan itu. Sungguh masing-masing melepaskan rindu hingga mampu berbual sebegitu lamanya.
_______________________•••____________________

Arjuna menyarung sepatunya di beranda rumah pondok Tok Ali. Dia meminta izin mengundur diri untuk pulang sebelum Sang Mentari mula melabuhkan tirai. Tok Aliuddin pula mengangguk membenarkan. Bukan rindu yang dilepaskan pada pemuda itu sejak tadi namun sudah dia cuci kembali sebarang kelalaian dan kelekaan pemuda itu agar dia kembali menjadi sepertimana versi dirinya zaman muda dahulu. Zaman ketika dia masih belum memegang jawatan sebagai Temenggung Tarawangsa.

Tangan tua Tok Ali dikucup perlahan sebelum Arjuna mula mengorak langkah meinggalkan perkarangan tanah lapang itu. Budak tadi pula masih tidak kelihatan di sekitar situ. Sedang berlatih keseorangan barangkali.

Arjuna melambai buat kali terakhir sebelum memalingkan tubuhnya ke arah hutan laluan keluar tempat itu.

Laluan sempit tadi dilaluinya sambil mencari kelibat jiwa cilik, si anak muridnya Tok Ali. Bagai membaca fikiran Arjuna, serta-merta kelibat budak itu muncul dari atas dahan pokok.

Namun budak itu bergayut kakinya di dahan pohon dan hanya terlihat wajahnya sahaja di hadapan wajah Arjuna. Rambut serabainya jatuh ke bawah mengikut arah graviti. Terbalik wajahnya di hadapan Arjuna cuba menghentikan langkah pemuda itu.

Arjuna mendengus perlahan seraya tersenyum. "Apa kau buat di atas situ?" Ujar Arjuna tersengih lebar menyerlahkan barisan gigi bersihnya.

Budak itu kekal dalam keadaan bergayut tidak menjawab soalan Arjuna.

"Aku sudah ingin pulang. Kau jaga diri baik-baik ya." Tanpa mengambil hati Arjuna terus menyambung bicaranya yang diselitkan nasihat bersama.

Budak itu kekal memandang Arjuna tanpa sepatah bicara.

"Jaga-jaga."

Akhirnya mulut kecil anak teruna itu dibuka. Namun bicaranya sungguh luar tajuk.

Arjuna berkerut tidak mengerti. "Apa maksud kau hai Si cilik?"

"Dia berada dekat dengan kau."

Arjuna semakin berkerut. Cuba menghadam bicara kanak-kanak itu.

"Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Sungguh musuh dalam selimut jauh lebih merbahaya berbanding yang terang nyata." Kanak-kanak itu menghabiskan bicaranya lalu segera kembali memanjat dahan-dahan pokok membiarkan Arjuna keliru seorangan.

Terpinga-pinga Arjuna kekal tercegat di tempat kejadian. Sudahlah budak itu jarang sekali membuka mulut namun sekali dia melontar bicara seperti mempunyai maksud tersirat.

Arjuna hanya mampu menyemat bicara kanak-kanak tadi utuh dalam jiwanya buat sementara ini kerana dia masih belum mampu memahami butir bicara anak cilik itu.
_______________________•••____________________

"Laksamana Khoja bukanlah sekadar laksamana biasa." Bicara Merpatika menyentak Dahlia yang sedang dalam posisi memanahnya. Gagal memberi tumpuan terhadap latihannya sendiri, Dahlia menerima satu ketukan di kepalanya oleh gurunya sendiri, Sang Merpatika.

"Biar aku sahaja bercerita, kau tumpukan pada latihan kau." Ujar Merpatika ringkas mengajar anak muridnya itu. Segera Dahlia mengangguk pantas.

'Kalau mahu aku fokus, janganlah membuka cerita yang menarik perhatian. Eish apam ini!' Dengus hati kecil Dahlia geram. Namun apakan daya, tunjuk ajar guru harus dituruti. Anak panahnya dilepaskan sebaik sahaja tumpuan sepenuhnya dicapai.

"Baik sudah. Biarkan aku berhenti sebentar kerana sungguh kisah yang kau ceritakan ini ingin aku dengari." Dahlia menoleh ke kirinya menghadap Sang Merpatika. Busur dan panah kekal berada kemas dalam genggaman tangan.

Merpatika mengeluh perlahan. "Baiklah."

"Seperti yang aku katakan, seluruh peperangan yang berlaku adalah atas asbab pihak musuh yang berhasrat ingin memutuskan antara jasad dan nyawa pemuda itu."

Dahlia mengangguk mengiyakan bicara Merpatika. Khusyuk dia mendengar dan menelaah segala butir bicara apam putih itu.

"Kau hadam begini sahaja. Selagi bernyawa Si Laksamana Khoja Hassan itu, segala perancangan jahat musuh untuk menawan atau untuk apa sahaja yang dirancang musuh ke atas pertahanan laut Wantachitra akan berakhir dengan kegagalan."

Dahlia terkesima. Menarik.

"Mengapa?"

"Jika kau mahu tahu, Laksamana Khoja punyai satu kebijaksanaan luar biasa kurniaan Allah buatnya. Sungguh dia memainkan peranan sebagai jantung buat armada laut Wantachitra. Tanpa dia, tidak bernyawalah pertahanan laut kerajaan ini."

"Sebelum kehadirannya sebagai laksamana, armada laut Wantachitra tidaklah sebegini hebat. Namun selepas jawatan diserahkan kepadanya, terbentuklah sebuah pertahanan yang sekuat tembok kukuh utuh buat Wantachitra dan seluruh isinya."

"Khoja adalah jantung dan Jebat, orang kanan Laksamana Khoja pula sebagai tulang belakang bagi bidang kuasa ini."

"Atas sebab itu, tidak hairanlah sekiranya seluruh armada musuh digerakkan hanya untuk menghabisi nyawanya. Kerana dijamin sekiranya dia bertemu Allah, pasti armada laut Wantachitra akan menjadi kacau-bilau ibarat tentera tanpa panglimanya."

Dahlia terlopong mendengar kisah yang dilontar Merpatika itu. Sungguh punca nyawanya hampir melayang adalah atas asbab musuh yang gilakan kuasa. Parah.

"Sudah. Cerita sudah habis. Pergi sambung latihan kau. Usah banyak dalih." Melihatkan Dahlia yang semakin hanyut dibuai teorinya sendiri, Merpatika bertindak mengarahnya melakukan perkara yang jauh lebih berfaedah.

Dahlia segera bangkit menurut bicara gurunya. Dia tidak boleh berlengah lagi. Keraian Setiga Serangkai sudah hampir tiba. Hanya berselang beberapa hari lagi. Sekiranya dia gagal menjadi penyamar sementara yang terbaik buat Tengku Puteri Seri Dahlia, nahas Wantachitra jatuh ke tangan musuh dengan mudahnya nanti.

Merpatika hanya kekal menjadi pemerhati buat Dahlia. Ketangkasan gadis itu semakin meningkat berbanding pertama kali dia bertemu dengannya. Kemahiran kerisnya, cara sisipan, corak pertarungan, bentuk serangan panah, kestabilan dan ketajaman matanya dalam memanah, segalanya semakin bertambah dan meningkat saban hari.

Sungguh agak luar biasa untuk menguasai kemahiran sebegitu dalam masa yang singkat namun Dahlia seolah dipermudahkan segala urusannya kerana dia mampu menguasai ilmu kemahiran yang dipelajari dalam tempoh masa terhad.

'Apakah patut aku mula memperkenalkannya dengan barisan tentera bawah pimpinan Tengku?'

'Lambat laun perkara ini harus dihadapnya juga, bukan?'

'Nantilah, aku berbincang bersama Jentayu.'

Merpatika bermonolog sendiri, berbual bicara dengan sanubari jiwa. Fikirannya hanyut dalam memikirkan soal perkara seterusnya buat Dahlia. Rasa bersalah masih bertapak utuh di jiwa tanpa tergugat kedudukannya walau sedikitpun.
_______________________•••____________________

SHINGSH!!

Darah merah pekat bak delima terpercik di wajah Raja Sang Kudawamarti melukis peta berdakwat darah di seluruh wajahnya. Raja Sang termengah-mengah perlahan. Hembusan angin kuat keluar dari kedua mulut dan hidungnya. Garang terlukis di seluruh riak wajahnya.

Persis binatang buas yang dahagakan darah mangsanya, Raja Sang Kudawamarti menyempurnakan kelaran pada setiap leher bagi hampir 50 mangsanya malam itu. Pedang kelabu berkilat yang kini ibarat sudah disadur dakwat merah berdarah kekal berada kemas dalam genggamannya tangannya. Tidak sedikitpun wujud gentar dalam jiwanya mahupun rasa bersalah setelah menghabisi nyawa hampir 50 orang hamba sahayanya akibat membiarkan jiwanya dipandu syaitan.

Wan Panji kekal membatu di hujung kawasan istana itu. Begitu juga dengan Perkasa dan Citra. Masing-masing berwajah pucat lesi bagai ayam berak kapur, melukis kegerunan di wajah mereka. Jelas ketiga-tiga jiwa itu sedang berada dalam ketakutan yang mendalam akibat terkesima dengan tindakan Raja Sang yang tidak henti-henti menghantar setiap seorang hambanya bertemu Sang Pencipta mereka.

Seluruh kawasan lapang istana itu kini penuh dengan permaidani mayat berlantaikan lautan merah darah manusia. Semuanya hilang nyawa akibat tindakan rakus Raja Sang Kudawamarti yang dipandu api amarah menggelegak membakar seluruh jiwanya.

Kegagalan misi peperangan mereka kali ini membangkitkan seluruh syaitan dalam dirinya hingga meroyan seluruh dirinya tatkala mendengar berita tentang perkara itu. Penewasan mereka yang melibatkan jumlah tenteranya yang banyak itu menyebabkan Raja Sang gagal menerima kenyataan sekaligus tewas dengan pertarungan nafsunya.

Darah merah pekat menitik-nitik di lantai istana dari pipi Raja Sang. Bahkan tangannya yang mengenggam pedangnya juga sudah mula menggigil akibat terlalu banyak membunuh jiwa tidak bersalah.

"AWAS..."

"SEKIRANYA ADA DI ANTARA KALIAN YANG MEMBIARKAN RANCANGAN KITA INI TIBA KE PENGETAHUAN WANTACHITRA DAN TARAWANGSA, KALIAN TIDAK AKAN MENDAPAT PENGAKHIRAN TERBAIK DALAM HIDUP KALIAN."

"KERAIAN BAKAL BERLANGSUNG DALAM BEBERAPA HARI SAHAJA LAGI. SEKIRANYA ADA YANG MENGESYAKI AGENDA KITA, TAHULAH NASIB KALIAN..."

Suara garau milik Raja Sang Kudawamarti bergema di seluruh ruang istana. Bahkan dayang-dayang di sekeliling ada yang sudah lemah lutut, gugur jantungnya tidak lagi mampu berhadapan dengan situasi sebegitu. Jelas sekali Raja Sang punyai agenda lain dalam ketibaannya di Keraian Setiga Serangkai kelak.

Habis sekiranya angkaranya tiba ke pengetahuan dua buah kerajaan jiran itu. Sekiranya mereka hanya mampu bersyak wasangka, itu tidak mengapa kerana mereka masih belum punyai bukti yang kukuh.

Kini kegagalan tentera Sulantara menjadi titik permulaan agenda Raja Sang secara besar-besaran. Akhirnya pemimpin Sulantara itu bangun dari kedudukan berlipat kakinya di lantai istana itu. Dia berdiri tegak, menyarung kembali pedang diselimuti darah itu dalam sarungnya. Rambut kusut masainya basah akibat disimbahi peluh.

Mahkota kebesarannya diangkat dari lantai lalu disarung kembali ke atas kepalanya. Raja Sang Kudawamarti kemudiannya melangkah jasad-jasad tidak bernyawa itu menuju ke kamarnya.

Continue Reading

You'll Also Like

585K 36.2K 111
DAH DIBUKUKAN. SEBARANG PENIRUAN JALAN CERITA DAN UNSUR2 UNIK DLM CRITA YG DITIRU AKAN DIAMBIL TINDAKAN. Kemurungan, Punca kehidupannya musnah. Tetap...
302K 24.5K 121
Pewaris Dragna kembali ke dunia mereka dan tanpa diduga, pemburuan berulang lagi. Musuh-musuh mula memburu pewaris keturunan Dragna demi mendapatkan...
164K 16.6K 57
New age is begin. Sylvania, menjadi dunia yang maju. The world remain in peace. But... Thats the beginning of the disastrous. Keamanan Sylvania menja...
852K 48.9K 108
Diandra Advilent adalah seorang gadis yang telah kematian ayahnya sejak berumur 17 tahun. Ibunya pula langsung tidak pernah dia kenali sepanjang dia...