Dusta Puteri Palsu

By Qayssz

81.7K 9.8K 2.3K

Dari masa hadapan ke masa lampau. Mustahil tetapi telah pun berlaku. Sangkanya boleh pulang selepas mengadap... More

prolog
kisah - 1
Kisah - 2
Kisah - 3
Kisah - 4
Kisah - 5
Kisah - 6
Kisah - 7
Kisah - 8
Kisah - 9
Kisah - 10
Kisah - 11
Kisah - 12
Kisah - 13
Kisah - 14
Kisah - 15
Kisah - 16
Kisah - 17
Kisah - 18
Kisah - 19
Kisah - 20
Kisah - 21
Kisah - 22
Kisah - 23
Kisah - 24
Kisah - 25
Kisah - 26
Kisah - 27
Kisah - 28
Kisah - 29
Kisah - 30
Kisah - 31
Kisah - 32
Kisah - 33
Kisah - 34
Kisah - 35
Kisah - 36
Kisah - 37
Kisah - 38
Kisah - 39
Kisah - 40
Kisah - 41
Kisah - 42
Kisah - 43
Kisah - 45
Kisah - 46
Kisah - 47
Kisah - 48
Kisah - 49
Kisah - 50
Kisah - 51
Kisah - 52
Kisah - 53
Kisah - 54
Kisah - 55
Kisah - 56
Kisah - 57
Kisah - 58
Kisah - 59
Kisah - 60
Kisah - 61
Kisah - 62
Kisah - 63
Kisah - 64
Kisah - 65
Kisah - 66
Kisah - 67
Kisah - 68
Kisah - 69
Kisah - 70
Kisah - 71
Kisah - 72
Kisah - 73
Kisah - 74
Kisah - 75
Kisah - 76
Kisah - 77
Kisah - 78
Kisah - 79
Kisah - 80
Kisah - 81
Kisah - 82

Kisah - 44

969 106 32
By Qayssz

"Bonda, lekas! Aku kesuntukan masa ini!" Laungan suara Nara memecah sunyi di pagi hari.

Kedengaran beberapa bunyi penduduk yang sudah pun celik mata terlebih dahulu sebelum Sang Mentari menyinari alam. Langit bertukar emas tatkala sinaran mentol alam memayungi seluruh jumantara di pagi yang mulia itu.

Indahnya suasana di pinggir pantai itu dengan tenggelam timbul suara penduduk yang sudah mula keluar mencari rezeki sebagai nelayan mahupun sebagai nakhoda bahtera besar di pelabuhan.

Pantai selatan Tarawangsa ketika itu dipenuhi dengan penduduk yang punyai urusan untuk menuju ke Sulantara. Bahtera pagi itu sudah diberitahu untuk ke Sulantara sebagai destinasi yang dituju. Kemudian hanya mereka yang punyai hajat yang sama akan turut menyertai pelayaran. Selebihnya harus menumpang bahtera lain sekiranya destinasi yang ingin dituju bukanlah Sulantara.

Meriah pagi itu dengan suara Nara yang sudah bersemangat saat pagi masih muda. Warna biru langit masih belum hilang sepenuhnya malah Sang Purnama masih jelas kelihatan di dada langit.

Bunyi deruan air pantai pagi itu menghangatkan lagi suasana pelabuhan yang sudah cukup meriah dengan keriangan para penumpang yang bersemangat untuk memulakan hari masing-masing.

Bukan hanya nelayan, malah segolongan ibu-ibu turut sama berada berdekatan pantai di sebuah kawasan yang memang telah dikhaskan sebagai sumber domestik seharian. Rancak perbualan antara ibu-ibu yang tidak henti mulut melontar kata sambil tangan menyental pakaian dengan air dan sabun.

Sungguh cerianya seluruh penduduk Tarawangsa ketika itu adalah tidak terkata. Namun itu bukanlah perkara luar biasa. Lazimnya, begitulah tabiat harian penduduk kampung yang tinggal di pinggir pantai selatan berdekatan dengan pusat pelabuhan itu. Mungkin keadaan tidaklah semeriah kawasan tengah bandar, namun keamanan kawasan kampung itu tetap terserlah dengan kewujudan penduduk yang gemar menceriakan suasana di pagi hari.

"Iya, sebentar." Balas Che Jemah sambil terkedek-kedek berjalan pantas menuju ke luar pintu rumahnya yang sudah tercegat Nara di situ. Di tangannya terdapat sebuah bungkusan kain diikat kemas kemudian dihulurkan kepada Nara.

"Bonda, bukankah aku katakan tidak perlu ini semua? Usah gusar tentang diriku, anakandamu ini bijak membawa diri." Ujar Nara sambil memuncungkan sedikit bibirnya tanda tidak setuju dengan tindakan bondanya bersusah payah menyediakan bekalan makanan buat dirinya.

Bukannya dia tidak tahu mencari makan sendiri sebelum bergerak menuju ke destinasi. Sungguh itu hari pertamanya menjadi dewasa secara rasmi kerana kini dirinya mahu bergerak menuju ke ujian kelayakan sebagai tentera Tarawangsa, berkhidmat untuk negara.

Semangatnya berkobar-kobar kerana sungguh itulah yang diimpikannya sejak sekian lama. Bukan sahaja kerana kekuatan fizikalnya yang luar biasa malah berjuang untuk tanah air sendiri juga merupakan sesuatu yang harus dibanggakan. Tambahan pula, dapat dia membahagiakan bondanya dengan kemewahan sedikit sekiranya dia menjadi seorang tentera negara.

Che Jemah menggeleng perlahan. "Ini bonda sediakan buat santapan kau dalam perjalanan nanti. Habiskan semuanya sebelum kau tiba ke sana. Di sana nanti gunakan wang saku yang bonda beri pula untuk mengisi perut itu."

"Makan biar cukup, jangan kau kurang makan ya! Jikalau kau pulang dengan badan cengkung, tahulah nasib kau nanti!" Pesan Che Jemah tegas. Garang nadanya namun bermanfaat isi bicaranya.

Comel sahaja kedua beranak ini menggelarkan diri masing-masing dengan gelaran aku-kau. Kedua-duanya turut sama berperwatakan ceria dan bersahaja. Sungguh tingkah laku Nara sebiji dengan tingkah laku ceria bondanya itu. Iyalah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Nara mendengus berat. Sudah besar panjang pun masih dilayan seperti kanak-kanak kecil, mana tidak angin pemuda itu.

"Baiklah, bonda..." Nara menyambut bungkusan bekalan makanan itu daripada bondanya dengan baik. Dia tidaklah marah mahupun merajuk, sengaja dirinya bermuncung sebegitu kerana tidak gemar bondanya menyusahkan diri tanpa sebab.

Tambahan pula, berat sungguh sang hati ini ingin melepaskan  bonda kesayangannya berseorangan di rumah. Sungguh ayahnya telah lama meninggal dunia dan Nara merupakan satu-satunya cahaya mata milik Che Jemah. Namun risaunya berkurang sedikit apabila penduduk kampung yang lain sudi menawarkan diri untuk sentiasa menjenguk bondanya itu.

Hidup sebagai jiran sudah sebati dalam diri masing-masing. Tiada yang terasa sepi tinggal di kampung itu walaupun berseorangan kerana sungguh segala masa akan dihabiskan dengan berbual mesra bersama jiran-jiran yang lain. Tiadalah sunyi terasa sekiranya Che Jemah punyai sahabat rapatnya dari rumah berdekatan dan masing-masing mampu bersahabat dengan baik.

"Baiklah bonda. Izinkan aku membawa diri, ya." Nara mengucup tangan tua bondanya perlahan. Harum baunya sungguh bau itu akan dirinduinya tika diri ini berpisah sementara dengan insan kesayangannya itu. Tidak akan dia lupakan bau bondanya yang mampu menenangkan jiwa yang lara ini.

Che Jemah tersenyum seraya tangan kirinya mengusap lembut kepala Nara yang bertakhtakan tanjak balong ayam itu. Lembut rambutnya disikat rapi. Bonda tuanya itu didakap Nara penuh erat. Berat hatinya untuk melepaskan dakapan penuh kasih itu.

Wajahnya tidak menggambarkan perasaan namun hanya Tuhan yang tahu betapa jiwanya harus kental membiarkan ibunya keseorangan di kampung. Sentuhan kasih tangan bondanya mengusap lembut pada belakang tubuh Nara.

Kedua-duanya enggan melepaskan dakapan masing-masing. Pawana dingin menyapu lembut tubuh kedua-dua insan itu.

Selang beberapa ketika barulah dakapan itu dilepaskan. Senyuman manis terlukis di wajah masing-masing namun mata berkaca bagai mahu berderai bila-bila masa sahaja.

Jiwa mana yang tidak sedih apabila dua hati yang tidak pernah berpisah ini akhirnya harus terpisah jua. Masing-masing menahan tangis dengan menghamburkan tawa bagi menceriakan suasana di pagi hari. Tiadalah mahu diri ini berduka di pagi hari.

"Hahaha bonda."

"Aku pergi dulu ya."

Nara tersenyum manis seraya ketawa kecil. Wajahnya berseri saat itu disimbahi sinaran cahaya Sang Mentari memantulkan sinaran kilauan mata berkacanya yang mengecil saat wajah dihiasi tawa.

Perlahan-lahan dia menapak ke belakang sambil tangannya melambai bondanya perlahan-lahan hingga jarak makin jauh dan dia harus memusingkan tubuh menghadap jalan di hadapan. Semanisnya dia mengukir senyuman namun sukar tidak terkata untuk mengelakkan berderainya air mata ini.

Saat kelibat Nara semakin menghilang dari pandangan, Che Jemah kekal melambai perlahan sambil wajah tidak lekang dari menguntum senyuman manis. Berderai setitis air mata dari mata berkacanya. Sungguh lunturnya hati ingin melepaskan satu-satunya cahaya mata yang menjadi pemberi kebahagiaan jiwa.

Jujurnya, dia masih tidak mampu melepaskan anakandanya itu namun hati ini hanya mampu menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Sungguh Nara juga sudah besar panjang, maka tiadalah perlu diri ini untuk terlalu merisaukan yang bukan-bukan. Tambahan pula, cinta hatinya itu berkemahiran dalam ilmu pertarungan. Pasti tiada yang mampu mengapa-apakannya selagi dia berada dalam lindungan Ilahi.

Nara meneruskan perjalanan ke arah utara Tarawangsa. Destinasi yang dituju adalah Taman Mawar Buyung. Sebelum tiba ke sana dia harus melalui jalan di pinggir pelabuhan utama terlebih dahulu sebelum mengikut jalan tertentu menuju ke destinasi.

Air matanya yang tidak gugur dikesat pantas tidak mahu bersedih di pagi hari. Nara berjalan penuh bersemangat sambil rambutnya diterbangkan bayu dingin pantai. Wajahnya dihiasi senyuman manis. Sungguh hari ini indahnya tidak terkata seolah-olah segalanya akan berjalan lancar.

Sambil menyelam minum air, Nara melantunkan zikir dari dalam hatinya supaya masanya tidak terbuang dengan hanya berjalan tanpa mengumpul pahala pada masa yang sama. Matanya dikatup rapat seketika tatkala pawana lembut menampar pipi. Benar-benar leka menikmati keindahan suasana alam.

Puk!

"Allah!" Latah Nara separa kuat. Terkejut dibuatnya tatkala tubuhnya dilanggar seorang pemuda berbadan sasa sambil tubuhnya dilitupi kain hitam berhud. Malah wajahnya juga hanya sipi-sipi kelihatan kerana tertutup oleh saiz hud besar yang hampir menyelungkupkan seluruh wajahnya.

"Ah, maafkan hamba." Ujar Nara segera maaf dipinta kerana mungkin itu silapnya kerana berjalan sambil mengatup rapat matanya. Memanglah tidak nampak jawabnya. Parah benarlah Nara ini.

Pemuda yang berselubung dengan kain besar berhud hitam itu hanya menunduk sedikit sebelum bergerak melepasi Nara. Namun beberapa tapaknya di sisi Nara, dia terhenti. Segera dia menoleh semula memandang pemuda yang terpinga-pinga melihatnya.

Nara kekal membatu sambil memandang pemuda berbadan sasa itu penuh hairan. 'Apa yang dia mahu merenung aku sebegitu rupa?' Suara batinnya melontar bicara memuntahkan curiga.

Pemuda itu turut sama kekal membatu seolah-olah ada hajat yang ingin disampaikan kepada Nara. Kedua-duanya kekal membisu tanpa bicara membiarkan bayu dingin memecah keheningan suasana.

"Jikalau tidak keberatan, mampukah tuan hamba menghulurkan tangan membantu hamba seketika?" Pemuda misteri itu akhirnya membuka mulut.

Nara terkedu seketika. 'membantu?'

"Sekiranya termampu, akan hamba cuba sehabis baik untuk membantu dikau." Balas Nara. 'Ternyata dia mahu minta pertolongan sedikit. Aku sangkakan apalah tadi.' Detik hati kecil Nara.

Pemuda misteri itu mengeluarkan sesuatu dari poket pakaiannya. Tangannya memegang sepucuk warkah kecil lalu dihulurkan surat itu kepada Nara.

"Berikan ini kepada bayi di dalam bakul di tepi sebuah warung kecil berdekatan pelabuhan. Letakkan sahaja warkah ini ke dalam bakulnya." Ujar pemuda misteri itu sambil kekal menundukkan wajahnya kerana tidak mahu dilihat orang.

Nara menyambut huluran surat kecil dari pemuda itu. Langsung tidak dibuka surat kecil itu kerana tidak mahu pecah amanah kerana akan disoal di akhirat kelak.

"Apakah bayi itu kepunyaannya tuan hamba?" Soal Nara curiga dengan tingkah laku pemuda itu. Bagaimana boleh terdapat bayi di sisi warung tanpa penjagaan sesiapa?

Pemuda itu terdiam. Seketika kemudian dia mengangkat wajahnya sedikit. "Siapa bayi itu bukan urusan kau."

Nara tersentak. Sudah, begitu pula. Namun dirinya hanya kekal mengunci mulut tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Matanya kekal merenung pemuda itu.

Sekilas pandangannya menangkap keseluruh wajah pemuda itu tatkala pawana kuat menerbangkan kain berhud yang menutup wajahnya itu. Tidak sempat memberi sebarang reaksi, pemuda misteri itu segera menarik kembali kain berhud itu menutup seluruh wajahnya.

Kemudian, bagai tidak cukup tanah dia bergerak pantas pergi meninggalkan Nara keseorangan di situ. Nara pula masih kekal terpinga tanpa bicara tercegat berdiri di situ tidak berganjak.

Seketika kemudian ilham bagai menyentaknya.

"Ah! Iyalah! Aku sudah terlewat!" Baru dia teringat kembali tentang tujuan utamanya bergerak pada hari itu. Sungguh dia tidak boleh leka!

Segera Nara memusingkan tubuhnya kembali ke pelabuhan bagi melangsaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sebentar tadi.

Setibanya Nara di kawasan pelabuhan yang dimaksudkan, segera matanya melilau mencari warung yang dibicarakan sebentar tadi. Terpusing-pusing Nara berjalan mundar-mandir ke sana ke mari mencari bakul berisi bayi yang dimaksudkan.

Sungguh luasnya kawasan itu menyukarkan pencariannya. Malah dirinya yang semakin tidak tenteram akibat menyedari kelewatan untuk tiba ke ujian kelayakannya menjadi asbab dia tidak mampu berfikir dengan baik.

Seketika kemudian, telinga Nara menangkap satu suara dari sisi kirinya. Bunyi bayi menangis namun tangisannya tidaklah kuat dan melalak. Sungguh bayi itu berada dalam keadaan lemah seperti tidak berdaya. Namun alhamdulillah tidaklah seperti ianya terlalu kecil. Sepertinya sudah hampir satu tahun lebih umurnya.

Nara berjalan mendekati bayi itu. Takdir Tuhan suara lemah bayi itu mampu didengari Nara. Sungguh perlahannya suara bayi kecil itu amatlah sukar ditangkap pancaindera akibat tenggelam dengan riuh-rendah suasana di jeti pagi itu.

"Allah.." Nara mengeluh berat saat melihat ke arah bayi kecil itu. Luntur hatinya melihat gadis kecil sebegitu ditinggalkan sebegitu rupa.

Hasrat hatinya mahu sahaja dia membawa bayi itu kembali kepada pemuda tadi namun masa tidak mengizinkan. Dia harus bergerak pantas atau dia akan terlewat dan memusnahkan masa hadapannya.

Nara membisu berfikir sejenak. Matanya kekal tertumpu kepada gadis kecil yang menangis dengan keadaan terlalu tidak terdaya itu. Sungguh suaranya semakin perlahan hingga hanya wajah menghamburkan tangis tanpa suara.

Nara memandang sekeliling. Cuba mencari kawasan sesuai untuk menempatkan gadis itu semula dan memberinya minum susu sebagai alas perut. Sungguh tidak berhati perut pemuda yang meninggalkan bayi sekecil ini di sini sebegini rupa.

Hasrat hatinya mahu berpatah pulang ke rumah bagi menyerahkan bayi kecil itu kepada bondanya untuk dijaga buat sementara waktu namun jarak antara dia dengan rumahnya sudah agak jauh dan tidaklah sempat untuk dia berpatah balik pulang ke rumah pada waktu sebegitu.

Minda Nara ligat memikirkan cara menyelesaikan masalah dengan pantas. Akhirnya ilham menyentak memberinya idea.

Gadis kecil itu akan dibawanya ke masjid berdekatan dengan Kampung Duyong yang berhampiran dari lokasinya ketika ini. Segera bakul itu diangkat Nara dan kakinya mula mengorak langkah menuju ke kawasan Kampung Duyong yang lebih meriah berbanding kawasan pelabuhan itu.

Kakinya Nara bagai tidak menyentuh permukaan bumi akibat pantasnya pemuda itu berlari mengejar masa yang sering bergerak lebih pantas berbandingnya.

Namun saat dia sedang leka menumpukan sepenuh perhatian dalam lariannya, matanya menangkap kelibat dua pemuda sedang berbicara di sebalik kawasan gelap. Sungguh sinaran Sang Mentari terhalang oleh batu besar yang berada di hadapan mereka.

Salah seorang daripada mereka berpakaian hud besar gagah perkasa lebih sasa berbanding pemuda yang ditemuinya sebentar tadi. Seorang lagi berhud gelap berbadan tegap dan tidaklah terlalu sasa. Sepertinya kedua-duanya sedang berbual. Namun wajah kedua-dua insan itu tidaklah kelihatan.

Nara sekadar menangkap kelibat mereka melalui kerlingan mata. Kebetulan pada ketika itu salah seorang daripada mereka berganjak sedikit dari kedudukan asalnya menyebabkan keseluruhan wajahnya dapat dilihat Nara kerana disimbahi  sinaran terang Sang Mentari. Terserlah ketampanannya saat wajahnya terlihat sepenuhnya.

Bayu dingin ketika itu turut sama menerbangkan hud pemuda gagah perkasa yang lagi seorang itu menyerlahkan kilauan gemerlap pada busana pemuda itu. Sepertinya pakaiannya bukan biasa-biasa. Ini bermakna pemuda itu bukanlah orang biasa.

Siapakah gerangan kedua insan itu tidaklah dia tahu namun salah seorang yang wajahnya dilihat Nara segera menarik hudnya kembali menutup seluruh wajah.

Nara pula hanya sekadar memandang tanpa mindanya cuba mentafsirkan keadaan ketika itu. Dirinya lebih mengutamakan bayi dalam dakapannya ketika itu.

Gadis kecil yang dibawanya serta-merta diam tatkala dirinya diangkat Nara. Mata bayi itu masih berkaca namun dirinya membisu kerana tidak mengenali Nara. Dia hanya memandang Nara dengan penuh tanda tanya namun pandangannya tidak dibalas memandangkan Nara hanya tertumpu untuk tiba ke masjid di kawasan Kampung Duyong yang semakin hampir.
_______________________•••____________________

"Alhamdulillah sudah tiba." Nara segera mencabut sepatunya sambil membawa bayi kecil bersamanya masuk ke dalam kawasan beranda masjid. Gadis kecil itu diletakkan di atas lantai kayu beranda sambil Nara menyeluk tangannya ke dalam bungkusan bekalan makanan yang dihadiahkan bondanya sebentar tadi.

Manik-manik peluh jelas kelihatan di dahi Nara. Sungguh terserlah kegusarannya merisaukan pelbagai hal. Dia benar-benar sudah terlewat. Risau tiada penghujung diri  ini memikirkan tentang masa depannya.

Namun bayi kecil itu tidak akan dia biarkan kelaparan sebegitu. Nara menghembus nafas lega sebaik sahaja tangannya mencapai sebuah botol tembaga sederhana saiznya. Bibirnya menguntum senyum lega.

Sudah dia agak, bondanya membekalkannya dengan minuman susu kambing. Sungguh susu itu banyak khasiatnya. Maka susu suam itu segera diberikan sedikit demi sedikit kepada bayi kecil di hadapannya itu.

Bayi itu didukungnya penuh kasih sambil sedikit demi sedikit disuapkan susu kepadanya.

Alhamdulillah begitu mudah bayi itu kembali terlena kekenyangan biarpun baru sahaja diberikan susu. Segera Nara bersiap untuk lekas menuju ke destinasi. Dia meletakkan sebuah kain bagi menutup bayi kecil itu daripada pandangan mata manusia kerana dirinya ingin kembali ke sini dengan pantas sebaik sahaja dia selesai melangsaikan urusannya di ujian kelayakan.

Botol tembaga berisi susu kambing itu diletakkan sebelah bayi kecil itu sebelum bakul berisi gadis itu disembunyikan di sebalik langsir. Semoga dia berada dalam jagaan Allah tanpa diapa-apakan sesiapa.

Kemudia Nara segera bergerak ingin membuka langkah namun derap kakinya terhenti seketika tatkala tangannya memegang sepucuk surat kecil dalam poket bajunya. Serta-merta dia teringat tentang surat yang diamanahkan kepadanya untuk diberi kepada gadis kecil itu.

Nara berpatah balik sebentar meletakkan surat itu di sisi bayi itu. Bayu perlahan menerjah kawasan surau membuka halaman warkah itu. Tulisannya yang dalam bahasa jawi lama itu ditatap Nara. Dia membaca sepatah kata yang tertulis di situ.

"Ra.

Alif.

Ta.

Nun.

Alif."

Nara tersenyum kecil. Indah namanya.

"Ratna."

-Ulang tayang tamat-

Continue Reading

You'll Also Like

462K 34.8K 53
γ€Ž Kisah Alice dan Para Putera Bahagian Satu 』 βŠ±β”€β”€β”€β”€β”€β”€ {β‹…. β™› .β‹…} ────── ⊰ Pada tahun 2020, sebuah akademi yang serba elit telah diwujudkan dengan tuju...
852K 48.9K 108
Diandra Advilent adalah seorang gadis yang telah kematian ayahnya sejak berumur 17 tahun. Ibunya pula langsung tidak pernah dia kenali sepanjang dia...
27.7K 1.9K 36
"Aunty masuk dapur kejap ya, Umar. Duduklah dulu. Nanti Ifti bawakan air. Nak minum air sejuk ke panas?" Mendengarkan itu, mata aku terbuntang luas...
585K 36.2K 111
DAH DIBUKUKAN. SEBARANG PENIRUAN JALAN CERITA DAN UNSUR2 UNIK DLM CRITA YG DITIRU AKAN DIAMBIL TINDAKAN. Kemurungan, Punca kehidupannya musnah. Tetap...