Dusta Puteri Palsu

By Qayssz

81.6K 9.8K 2.3K

Dari masa hadapan ke masa lampau. Mustahil tetapi telah pun berlaku. Sangkanya boleh pulang selepas mengadap... More

prolog
kisah - 1
Kisah - 2
Kisah - 3
Kisah - 4
Kisah - 5
Kisah - 6
Kisah - 7
Kisah - 8
Kisah - 9
Kisah - 10
Kisah - 11
Kisah - 12
Kisah - 13
Kisah - 14
Kisah - 15
Kisah - 16
Kisah - 17
Kisah - 18
Kisah - 19
Kisah - 20
Kisah - 21
Kisah - 22
Kisah - 23
Kisah - 24
Kisah - 25
Kisah - 26
Kisah - 27
Kisah - 28
Kisah - 29
Kisah - 30
Kisah - 31
Kisah - 33
Kisah - 34
Kisah - 35
Kisah - 36
Kisah - 37
Kisah - 38
Kisah - 39
Kisah - 40
Kisah - 41
Kisah - 42
Kisah - 43
Kisah - 44
Kisah - 45
Kisah - 46
Kisah - 47
Kisah - 48
Kisah - 49
Kisah - 50
Kisah - 51
Kisah - 52
Kisah - 53
Kisah - 54
Kisah - 55
Kisah - 56
Kisah - 57
Kisah - 58
Kisah - 59
Kisah - 60
Kisah - 61
Kisah - 62
Kisah - 63
Kisah - 64
Kisah - 65
Kisah - 66
Kisah - 67
Kisah - 68
Kisah - 69
Kisah - 70
Kisah - 71
Kisah - 72
Kisah - 73
Kisah - 74
Kisah - 75
Kisah - 76
Kisah - 77
Kisah - 78
Kisah - 79
Kisah - 80
Kisah - 81
Kisah - 82

Kisah - 32

1.2K 141 70
By Qayssz

"Tenang dan pemindahan tenaga kau."

"Haa?" Ternganga Dahlia dibuatnya. 'Apa ini peralihan tenaga? Dia nak ajar aku fizik ke?' Terkedu gadis itu mendengar bicara yang terpacul keluar dari Merpatika. Sudah-sudahlah dia sengsara belajar fizik sewaktu sekolah menengah dulu ini lagi harus belajar semula. Pasrah dibuatnya.

"Jikalau kau menyedari, sebentar tadi kau baru sahaja menggunakan teknik pemindahan tenaga dalam tubuh kau." Merpatika menyambung bicaranya. Namun sekali lagi Dahlia menunjukkan riak wajah tidak mengerti sepatah kata pun yang dilontarkannya.

"Haihh... Begini. Dalam tubuh kau ada tenaga. Sejumlah besar tenaga dalam badan kau telah kau pindahkan kepada tangan dan sedikit lagi kepada bahagian kaki kau supaya kau dapat berpaut sepenuhnya pada aku sebentar tadi." Merpatika cuba menjelaskan dengan cara yang mudah ditangkap dan difahami Dahlia.

Akhirnya barulah gadis itu menunjukkan respons sedikit terlopong memahami.

"Ouhh, faham faham." Itu sahaja yang terpacul keluar dari mulut Dahlia.

"Maka dalam ilmu seni tarung ini, aku mahu kau melakukan pemindahan tenaga itu. Sama juga seperti tadi, pindahkan sejumlah besar tenaga dalam tubuh kau kepada bahagian tangan dan kaki."

"Kerana tangan kau inilah yang akan menyerang dan melindungi diri kau manakala kaki pula akan membantu mempercepatkan gerakan dan tindakan kau."

"Namun kau juga harus meninggalkan sedikit lebihan tenaga kepada bahagian badan kau agar kau tidak tumbang apabila sedang bertarung." Panjang lebar Sang Merpatika menjelaskan. Setiap bibit kata burung gergasi itu dihadam Dahlia sebaik mungkin.

Mulut Dahlia terlopong kecil kerana tidak sangka juga dia memahami bicaranya Merpatika itu. Boleh tahan bijak si merpati ini ya.

"Aku faham apa yang kau bicarakan. Tetapi mana mungkin aku dapat mengawal peralihan tenaga dalam tubuh ku ini. Bukankah itu tindakan luar kawal?" Dahlia meluahkan ragu-ragunya dalam bentuk soalan.

"Soalan yang baik." Balas Merpatika pendek.

"Begini ya Dahlia. Dengar bicara Ku sehabis baik dan fahamkan."

"Sebenarnya kau dapat membuat pemindahan tenaga dalam tubuh kau tadi adalah disebabkan desakan kuat dalam diri yang memaksa kau untuk menyelamatkan nyawa kau sendiri tatkala kau berada diambang kematian."

"Kau berjaya melaksanakan itu disebabkan oleh desakan yang tinggi. Tetapi pada ketika kau dalam keadaan tenang sebegini, apakah kau boleh melakukan perkara yang sama seperti yang kau lakukan sebentar tadi?" Bicara Merpatika dihentikan seketika dengan sebuah soalan.

Dahlia berfikir sejenak. Pandangannya jatuh kepada kedua tangan kiri dan kanannya, cuba memberi sepenuh tumpuan untuk melakukan pemindahan tenaga itu sekali lagi. Namun gagal.

"Tidak berjaya." Dahlia menggeleng memandang Merpatika.

"Lihat. Tidak berjaya bukan?" Bagaikan dapat membaca keadaan terlebih awal, burung gergasi itu menyoal sekali lagi.

"Memanglah tidak berjaya kerana kau masih belum mahir. Tetapi teknik ini dapat dikuasai sekiranya kau sentiasa berlatih tanpa henti. Baiklah cukup sebentar tentang pemindahan tenaga ini. Beralih kepada teknik tenang pula." Merpatika mengubah topiknya.

Dahlia mengangguk mengiyakan bicara merpati putih itu.

"Kedua ialah tenang."

"Baiklah jikalau kau perasan, sebentar tadi kau berada dalam keadaan yang huru-hara, gundah gulana dan yang pastinya kau tidak tenang. Bukan?" Bicara diakhiri dengan soalan sekali lagi ingin melihat tahap kepekaan dan kefahaman gadis itu terhadap bicaranya.

Dahlia hanya mengangguk perlahan sekali lagi mengiyakan bicara Sang Merpatika sambil bibirnya sedikit mencebik kecil.

"Jadi di sini mahu aku ajarkan kau satu perkara iaitu tenang." Mata Sang Merpatika memandang tepat ke arah gadis di hadapannya itu.

"Jikalau kau mahu berjaya menguasai ilmu seni tarung mahupun ilmu seni bela diri. Apa pun ilmu yang ingin kau pelajari, kau harus menguasai teknik tenang terlebih dahulu." Perlahan-lahan Merpatika menerangkan agar ianya tidak terlalu sukar untuk dihadam Dahlia.

"Tetapi jikalau tadi itu memanglah aku tidak tenang kerana aku hampir mati. Masakan aku mampu kekal tenang dalam keadaan nyawaku berada di hujung tanduk?" Dahlia mencebik sekali lagi geram.

"Ya, kau harus kekal tenang biarpun sakaratul maut sedang menimpa kau." Merpatika membalas ringkas. Dahlia pula yang terlopong benar-benar terkesima dengan jawapan Merpatika itu. Matanya membuntang memandang si apam itu tanpa berkelip walau sekali.

'Biar benar si apam ini?' Hati kecilnya mendengus perlahan.

"Kunci kepada segalanya adalah tenang. Dalam keadaan apa jua kau sekalipun, kekalkanlah tenang bertapak di jiwa nescaya segala masalah dapat kau selesaikan. Tenang bukan kunci kepada semua masalah namun kunci kepada kehidupan." Benar-benar terkesima Dahlia dibuatnya mendengar setiap bibit bicara Sang Merpatika yang penuh dengan nasihat itu. Sungguh hatinya terpaut pada bicara burung gergasi itu yang kali ini.

"Atas sebab itulah, solat merupakan kewajipan utama..."

"Kerana solat mendatangkan ketenangan." Merpatika menghabisi bicaranya yang berbaur nasihat penuh bermanfaat.

Dahlia tersentak. Sepertinya baru menyedari hakikat itu. Takjub terpalit di hati saat menyedari betapa solat merupakan kunci kepada segalanya.

"Bagi memperoleh ketenangan kita haruslah sentiasa mengingati Allah dan salah satu cara terbaik mengingati Allah adalah dengan menunaikan solat secara khusyuk. Maka atas sebab itulah solat mampu memberi ketenangan." Merpatika menyambung. Namun ini hanyalah sedikit daripada apa yang mahu dibicarakannya.

Dahlia hanya diam memberi ruang Merpatika melontarkan bicaranya. Latihan hari ini bagai sudah bertukar ke tazkirah pagi hari pula.

"Faham?" Dahlia tersentak tatkala si apam itu tiba-tiba menyergahnya dengan soalan mengejut. Apa benda yang faham pun dia tidak tahu kerana sebentar tadi fikirannya sedikit melayang pergi memikirkan perkara lain daripada memberi tumpuan kepada bicara Merpatika. Namun gadis itu tetap mengangguk seolah memahami.

Merpatika mendengus kecil seolah mengetahui bahawa Dahlia tidak menumpukan perhatian terhadap bicaranya namun ditelan sahaja firasat itu bagi mengelak pertikaman lidah di pagi hari.

"Ikut aku sebentar." Merpatika cuba mengubah cara melatih pula daripada terus berbicara sahaja, bukannya gadis itu hadam sepenuhnya pun. Lebih baik segera ditunjukkan caranya.

Merpatika berjalan memijak rumput hijau yang bagaikan permaidani di lantai hutan.

'Sepertinya ini bukan hutan buah kelmarin. Hutan mana pula ini?' Senandika Dahlia berbicara ingin tahu. Langkahnya mengikut derap langkah Merpatika di hadapannya sambil matanya melilau memandang sekeliling.

Mereka berjalan hinggalah beberapa tapak sebelum berhenti di hadapan sebuah pohon besar yang saiznya hampir menyamai saiz Merpatika yang gergasi itu. Pokok besar itu tumbuh subur meluas memayungi sebilangan besar kawasan hutan itu dengan daunnya yang tebal.

"Wah, apa itu?" Soal Dahlia sambil tangannya menuding ke atas atas pokok itu pada bahagian kanannya kerana terdapat sebuah pondok kecil bertenggek di dahan pohon besar itu. Matanya bersinar saat pandangannya jatuh ke arah pondok kecil itu.

"Kau bercanda ya, Dahlia? Apakah kau tidak dapat melihat bahawa itu adalah pondok kecil?" Merpatika menepuk dahinya. Apalah yang berada dalam fikiran gadis itu agaknya.

"Hahahah, tidakk. Maksud aku pondok itu untuk siapa? Memandangkan kau sepertinya tidak muat untuk beristirahat di dalam sana?" Dahlia tergelak kecil, geli hati dengan bicara si apam itu. Tidaklah kelakar mana, namun berjaya mencuit hatinya.

"Entah aku pun tidak tahu. Aku hanya menjumpai pondok itu di sini. Mungkin peninggalan beberapa penduduk di sini barangkali." Merpatika membalas.

"Tetapi cubalah kau masuk kerana sepertinya pondok ini tidak bertuan. Dapat aku lihat dari luarnya, ada beberapa senjata yang mungkin boleh kau gunakan. Ambil keris, pedang dan busur serta panahnya sahaja. Yang lain tinggalkan." Merpatika menyambung lagi mengarahkan Dahlia sendiri yang berusaha mengambil senjata buat dirinya.

"Apa?" Dahlia ternganga. Bagaimana dia mahu naik ke atas dahan pohon yang tinggi itu?

"Bagaiman-"

"Tali itu untuk apa, Dahlia?" Belum sempat Dahlia menghabisi bicaranya sudah dipotong Merpatika terlebih dahulu. Paruhnya memuncung menunjuk ke arah tali semulajadi yang tergantung di dahan pokok yang kekal utuh bertahun lamanya itu.

Dahlia menoleh memandang tali yang dimaksudkan. Ada rupa persis tali yang digunakan tarzan pun iya juga.

"Kau mahu aku bergayut seperti monyet?" Dahlia menyoal dengan riak wajahnya yang seperti tidak mahu melakukan perkara tersebut. 'Manalah aku reti bergayut-gayut ini.' Dengus hati kecilnya.

"Usah risau, kau boleh. Lakukan pemindahan tenaga yang aku sebutkan sebentar tadi. Konsepnya sama seperti bagaimana kau berpaut pada aku." Merpatika cuba memberi semangat.

Dahlia terpinga. Bukan dia tidak mengerti tetapi bagaimana untuk dia lakukan pemindahan tenaga itu sekali lagi? Tadi itu hanyalah nasib sahaja demi menyelamatkan diri. Lama dia terpinga merenung tali panjang itu masih memikirkan cara terbaik untuk naik.

'Parah benar la penduduk ini pun. Lain kali sudah rajin buat pondok, buatlah tangganya sekali!' Dahlia mendengus geram dari dalam sanubari.

"Makin kau berlengah, makin aku tidak mahu menyambung cerita Ku tentang saudara Jentayu, Sang Garuda itu." Licik Merpatika mengumpan Dahlia. Segera tali pohon itu dicapai Dahlia tanpa berlengah selepas mendengarkan bicara Merpatika itu.

"Baik! Baik!" Tali pohon itu digulungkan pada tangan kanannya sambil tangan kiri menggenggam bahagian atas tali itu. Kakinya menapak di pohon besar itu. Bergilir tangannya mengambil tugas mengenggam di atas antara satu sama lain sambil gerakan tangan diikuti langkah kaki yang memanjat pohon besar itu.

Dirinya masih lagi tidak mengerti sepenuhnya bagaimana mahu melakukan konsep pemindahan tenaga itu namun dengan bekalan latihan memanjat ini sekurang-kurangnya terpalit sedikit kefahaman yang Tuhan berikan padanya atas usahanya yang bersungguh tanpa mengenal erti putus asa.

Teruja mencuit hati Dahlia tatkala ini pertama kalinya mendapat pengalaman sebegini rupa. Selama ini jikalau di zamannya, perkara sebegini hanya akan boleh dilakukan sekiranya seseorang itu berduit dan mampu bayar kos permainan panjat-panjat yang memakan puluhan ringgit.

Sangkanya sukar, namun tidaklah mudah juga baginya memanjat pohon itu. 'Menarik juga ya.' Hilang sedikit geramnya pada Merpatika yang menyuruhnya memanjat tatkala dengan mudahnya dia tiba di atas dahan pohon itu.

Kakinya melangkah perlahan penuh cermat menuju ke pondok kecil itu sambil tangan kirinya berpaut pada tiang pohon. Sebaik sahaja Dahlia menghampiri pondok kecil itu, tangan kirinya segera mencapai kayu pondok itu, berpaut padanya.

Langkah kakinya dibuka besar hinggalah dirinya berjaya tiba ke pondok itu. Alhamdulillah tugas pertama berjaya dengan jayanya. Perlahan tangannya menolak pintu pondok itu.

Memandangkan pondok itu kecil sedikit berbanding Merpatika, ia hampir sahaja menyamai saiz Dahlia, bermakna muat sahaja untuk Dahlia masuk tanpa sebarang masalah.

Tatkala pintu terbuka sepenuhnya, Dahlia sedikit terpesona melihat senjata yang tersusun rapi. Biarpun dalam keadaan berhabuk dan seperti telah ditinggalkan lama, kawasan dan seluruh ruang dalam pondok itu sungguh kemas dan tersusun rapi teratur.

Rambang mata Dahlia melihat busur, panah, keris, pedang, kerambit, lading, badik, tumbuk lada, lembing kecil dan rencong yang tersusun rapi di atas sebuah papan. Malah bukan itu sahaja, terakol dan pemuras turut sama tersusun sebaris. Sungguh ini bukan tempat simpanan senjata biasa- biasa memandangkan hampir kesemua senjata melayu berada di situ.

Tambahan pula, kesemua senjata ini sepertinya bukan senjata rakyat biasa. Ukiran pada setiap senjata ini berlatarbelakangkan corak dan unsur istana. Warnanya mungkin ada yang tidak berunsurkan warna istana namun apa yang pasti, rakyat biasa tidak menggunakan senjata yang sebegini rupa kerana pada zaman ini senjata-senjata ini amatlah mahal dan hanya mampu dimiliki oleh golongan berada iaitu pembesar atau golongan berketurunan raja. Milik siapakah senjata tidak bertuan ini?

Namun memandangkan Merpatika memberinya kelonggaran dengan mengambil beberapa senjata yang disebutnya tadi, tanpa berlengah Dahlia segera mencapai senjata-senjata tersebut.

Cantik tidak terkata busur dan keris serta pedang yang diambilnya. Sungguh jikalau sebegini cantik rupa busur ini, dapat dijual dalam kira-kira lebih seribu ringgit pada zamannya. Sarung anak panah itu juga terlihat sungguh mahal dan berkualiti.

Dahlia menyarung sarung anak panah itu ke tubuhnya sebelum tangan kirinya memegang busur manakala tangan kanannya pula menggenggam pedang panjang dan keris disisipkan di pinggangnya.

Dia melangkah keluar penuh cermat dan perlahan-lahan menutup semula pintu masuk pondok itu. Memandangkan kini tangannya sudah penuh Dahlia terkaku seketika memikirkan jalan untuk turun.

"Weyh, Apam! Bagaimana mahu turun!" Jerit Dahlia dari atas pohon. Matanya memandang Merpatika penuh sayu meminta bantuan.

"Itu pun perlu diajarkah kau ini?! Lompat sahajalah jikalau sudah tidak tahu! Kau hidup atau mati selepas jatuh nanti bukan urusan aku. Pandai-pandai kau lah!" Merpatika pula membalas dengan jeritan sama. Penat melayan karenah Dahlia yang entah apa-apa ini.

Bijak tidak terungkap dek kata ya gadis ini. Busurnya itu mengapa dipegang tangan? Letakkanlah busur itu di belakang bersama sarung anak panahnya. Merpatika hanya mampu mendengus perlahan. Lelah.

'Eish dasar tidak berhati perut si Apam ini! Tahulah tidak kisah tapi tidak perlulah berbicara sebegitu rupa!' Senandika Dahlia mendengus geram. Lama dia berfikir sejenak sebelum akhirnya ilham menyentaknya untuk meletakkan busur di belakang tubuhnya.

'Iyalah, bebal juga aku ini.' Alhamdulillah buat pertama kalinya dia sedar akan kesalahan sendiri. Kemudian perlahan-lahan gadis itu turun ke lantai hutan menggunakan cara yang sama seperti dia memanjat tadi.

"Jadi, apa latihan seterusnya?" Soal Dahlia penuh bertenaga sebaik sahaja kedua tapak kakinya mencecah rumput hijau di lantai hutan.

"Ilmu seni tarung dengan menggunakan keris sudah kau mahir sedikit. Pedang mungkin masih sukar tetapi hari ini kau akan berlatih memanah dahulu." Merpatika membalas ringkas.

Dahlia hanya mengangguk perlahan kemudian kakinya menuruti langkah Merpatika yang sudah pun bergerak terlebih dahulu.

"Untuk pengetahuan kau, memanah ini kau tidak boleh tersalah walau sedikit. Sebab itulah ikutkan hati, mahu sahaja kau aku pulun dalam latihan memanah sehabis baik." Merpatika membuka bicara dalam perjalanan mereka.

"Bukankah ilmu seni tarung keris lebih penting?" Dahlia pula membalas.

"Benar. Keris harus kau kuasai sehabis baik juga demi mempertahankan diri. Jikalau sang pedang gagal menjadi benteng kau, keris lah yang mampu mempertahankan kau sehingga ke akhir nyawa. Namun..."  Bicara Merpatika terhenti sejenak.

"Namun, Tuanku Puteri Seri Dahlia amatlah mahir dalam ilmu memanah. Hatta sehelai daun berterbangan pun dapat dipanahnya dengan baik. Teknik panahannya sungguh berbeza dengan orang lain menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengetahui bahawa itu merupakan teknik panahan Tuanku kerana hanya Tuanku yang mampu melakukan teknik sebegitu." Balas Merpatika lagi.

Dahlia meneguk air liurnya. 'Mak aihh, daun terbang pun mahu dipanah. Bagaimana mungkin aku capai ke tahap itu dalam masa hanya dua minggu?!' Runsing Dahlia dibuatnya mendengar bicara si Apam di hadapannya itu. Mustahil baginya menguasai kemahiran itu yang memakan masa bertahun-tahun lamanya untuk dikuasai.

"Wah..." Hanya sepatah yang terpacul keluar dari bibir Dahlia. Sungguh dirinya hilang kata, bisu bicaranya kerana buntu bagaimana mahu dia menggantikan Tuanku sebenar.

"Usah berputus asa sebelum mencuba. Tidak akan aku biarkan kau sebegini lemah. Jikalau kau tidak mahir teknik memanah ini, hancur binasalah amanah kau untuk menjadi puteri palsu sebentar." Merpatika mengingatkan gadis itu semula.

"Apa hancur binasa?" Tegak kembali Dahlia mendengarkan itu. Sungguh ini tidak boleh terjadi. Dia harus kuat!

Continue Reading

You'll Also Like

150K 8.5K 63
Buat aku dan kau yang masih merangkak mencari keredhaan Allah tapi kadang-kadang terjerumus dalam lembah kejahilan meski sengaja ataupun tidak sengaj...
HYDRA 187 By eynaasarah

Mystery / Thriller

21.2K 2K 29
#1 𝗖𝗢𝗗𝗘 𝟭𝟴𝟳 𝘼𝙚𝙡𝙚𝙖𝙨𝙝𝙖 𝘿𝙮𝙧𝙖 yang berumur 22 tahun kini sedang menjalani kehidupannya seperti biasa sebagai seorang pelajar universi...
302K 24.5K 121
Pewaris Dragna kembali ke dunia mereka dan tanpa diduga, pemburuan berulang lagi. Musuh-musuh mula memburu pewaris keturunan Dragna demi mendapatkan...
360K 21.9K 53
-Wattys2017- -Senarai Cerita Istimewa- Kayna Silveria ialah gadis yang ingin memasuki umurnya yang ke-16 tahun. Pada hari kelahirannya, dia menyang...