Dusta Puteri Palsu

By Qayssz

81.8K 9.8K 2.3K

Dari masa hadapan ke masa lampau. Mustahil tetapi telah pun berlaku. Sangkanya boleh pulang selepas mengadap... More

prolog
kisah - 1
Kisah - 2
Kisah - 3
Kisah - 4
Kisah - 5
Kisah - 6
Kisah - 7
Kisah - 8
Kisah - 9
Kisah - 10
Kisah - 11
Kisah - 12
Kisah - 13
Kisah - 14
Kisah - 15
Kisah - 16
Kisah - 17
Kisah - 18
Kisah - 19
Kisah - 20
Kisah - 21
Kisah - 22
Kisah - 23
Kisah - 24
Kisah - 25
Kisah - 26
Kisah - 27
Kisah - 28
Kisah - 29
Kisah - 31
Kisah - 32
Kisah - 33
Kisah - 34
Kisah - 35
Kisah - 36
Kisah - 37
Kisah - 38
Kisah - 39
Kisah - 40
Kisah - 41
Kisah - 42
Kisah - 43
Kisah - 44
Kisah - 45
Kisah - 46
Kisah - 47
Kisah - 48
Kisah - 49
Kisah - 50
Kisah - 51
Kisah - 52
Kisah - 53
Kisah - 54
Kisah - 55
Kisah - 56
Kisah - 57
Kisah - 58
Kisah - 59
Kisah - 60
Kisah - 61
Kisah - 62
Kisah - 63
Kisah - 64
Kisah - 65
Kisah - 66
Kisah - 67
Kisah - 68
Kisah - 69
Kisah - 70
Kisah - 71
Kisah - 72
Kisah - 73
Kisah - 74
Kisah - 75
Kisah - 76
Kisah - 77
Kisah - 78
Kisah - 79
Kisah - 80
Kisah - 81
Kisah - 82

Kisah - 30

1.4K 173 162
By Qayssz

Iskandar memimpin Arjuna sekiranya pemuda itu sukar bergerak bagi menyempurnakan wuduknya. Namun alhamdulillah Arjuna dapat bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah. Keadaannya bertambah pulih sedikit setelah dapat bertukar bicara dengan sahabatnya, Iskandar.

Air dari kolah yang seluas lebih dua kolah itu dicedok menggunakan gayung kemudian dituang ke anggota wuduk dengan sempurna. Air jernih itu diratakan sehabis baik. Rambut basah Arjuna selepas berwuduk menyerlahkan ketampanannya tatkala titisan air menitik jatuh ke lantai licin kawasan tempat berwuduk itu.

Iskandar turut menyempurnakan wuduknya dan bergegas ke arah Arjuna bagi membantunya menaiki tangga dengan baik. Mereka kemudiannya bergerak ke surau utama Istana Tarawangsa yang berada betul-betul bersebelahan dengan istana tersebut.

Atas sebab Arjuna tidak mampu berjalan jauh, mereka hanya membawa pemuda itu solat di surau tersebut yang juga merupakan ruang solat istana. Bayu dingin malam mula menggigit tatkala mereka memenuhi ruang solat utama itu.

Bunyi cengkerik menghiasi suasana malam. Tingkap hanya dibuka sedikit manakala pintu utama sentiasa terbuka memberi ruang hulubalang turut sama menyertai jemaah hari ini.

Kebiasaannya, surau itu dipenuhi hulubalang yang bergilir mengambil tempat untuk menunaikan kewajipan kerana sebagai pengawal istana, mereka harus sentiasa peka dengan keadaan sekeliling istana maka untuk bergerak ke Masjid Al-Fateh agaklah sukar kerana sedikit jauh jaraknya dari istana.

Selain hulubalang istana, jarang surau itu digunakan kerana bahkan Ratu Melawati juga menggunakan ruang solat utamanya untuk solat bersendirian. Namun memandangkan kali ini sedikit ramai tetamu datang bertandang, Sang Ratu turut sama hadir ke surau itu bagi menyertai solat jemaah maghrib.

Delima, Ratna dan Ratu Melawati bersedia di ruang solat wanita manakala Iskandar bakal menjadi imam pada maghrib itu memandangkan Arjuna tidak mampu menyandang amanah itu. Arjuna hanya solat secara duduk setelah dimarahi Iskandar kerana berkeras mahu solat jemaah sama tetapi juga mahu solat secara berdiri.

Habis diceramahi Iskandar tentang rukhsah bagi orang sakit secara panjang lebar hingga terdiam Arjuna dibuatnya dan mula menurut kata utusan Wantachitra itu. Itulah, sudah ditegur sekali dua tidak mahu dengar, kan sudah mendapat bebelan tulus ikhlas Iskandar.

Beberapa hulubalang yang tidak bergilir turut sama mengambil tempat untuk menyertai jemaah pada hari itu. Biarpun jemaah tidaklah ramai, kurang dari sepuluh orang, namun syahdunya solat pada malam itu tetap dapat dirasai.

Sunyi seluruh alam malam bertemankan cahaya mentol masjid yang menghiasi seluruh masjid hingga ke bahagian luar. Hanya bacaan solat yang dilafaz Iskandar kedengaran menjadi pemecah sunyi malam itu. Sesekala pawana menampar-manpar pipi insan-insan yang sedang beribadah itu.

Surau utama Istana Tarawangsa itu berwarna putih dan kuning. Kubah kecilnya serta hampir keseluruhan surau diselaputi warna kuning bak diraja memandangkan sememangnya surau itu milik kerajaan dan hanya beberapa bahagian sahaja berwarna putih.

Lantai surau dilapisi permaidani tebal yang diperoleh dari pedagang-pedagang Arab dan Andalusia dan diletakkan berlapis-lapis atas satu sama lain bagi mengelakkan haba sejuk lantai mencengkam hamba Allah yang hadir menunaikan solat di situ.

Kerajaan Andalusia memang terkenal dengan permaidani indah dan berkualiti tinggi mereka maka setiap kali pedagang-pedagang ini datang berdagang di pelabuhan Tarawangsa, Ratu Melawati pasti menitahkan beberapa orangnya untuk mendapatkan permaidani berkualiti tinggi itu. Jikalau sudah melebihi keperluan kerajaan, permaidani lebihan akan disedekahkan kepada masjid atau mana-mana rakyatnya yang memerlukan.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Iskandar memalingkan wajahnya ke kiri menyempurnakan seluruh tertib solat sehabis baik sambil diikuti para jemaah yang lain.

Bunyi cengkerik masih lagi menghiasi suasana alam sejuk dan damai itu serta keindahan malam bertambah dengan iringan suara Iskandar dan beberapa jemaah yang lain melantunkan zikir memuji Allah.

Seketika kemudian tangan diangkat, doa dilantunkan sang lidah. Berbicara dengan Ilahi memalitkan tenteram dalam jiwa, menghadirkan tenang tiada penghujungnya. Mendayu-dayu lantunan bacaan doa Iskandar memenuhi seluruh ruang surau penuh damai itu.

Terasa dekat diri ini dengan-NYA saat khusyuk bertakhta dalam diri memberi sepenuh tumpuan dalam perbualan bersama Allah. Masing-masing bertafakkur sepenuhnya mengadu pada-NYA yang paling memahami segala hati.

Doa dihabiskan dan tangan disapu ke seluruh muka. Selawat dinasyidkan beramai-ramai sambil masing-masing bergerak bersalaman dengan para jemaah yang lain. Ratu Melawati hanya bersalaman dengan jemaah wanita sahaja iaitu Delima dan Ratna.

Kesemua hulubalang kemudiannya keluar bertukar giliran dengan hulubalang lain bagi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya tinggal Arjuna dan Iskandar sebagai kaum Adam di dalam surau itu. Mereka bergerak duduk di penjuru surau memberi ruang kepada hulubalang lain yang bakal tiba untuk melaksanakan kewajipan mereka.

Kitab suci Islam berada dalam tangan masing-masing ingin memanfaatkan waktu sehabis baik sementara menunggu isyak menjelma.

Arjuna melangkah keluar surau diikuti Iskandar. Hati ini terasa mahu membaca kitab suci itu di beranda masjid bagi memperoleh sepenuh ketenangan.

Sungguh sudah menjadi kebiasaanya solat di dalam hutan atau di mana-mana tempat yang diselimuti alam semulajadi saat dia menjalankan tugasnya sebagai Temenggung Tarawangsa. Hingga alam bagaikan sudah sebati dengan dirinya.

Ratu Melawati kekal di dalam surau. Beliau mengadakan usrah kecil antara kaum Hawa sahaja memandangkan kali ini ada Ratna di sisi. Gadis kecil itu harus dididik sehabis baik memandangkan kedua ibu bapanya sudahpun hilang entah ke mana, pasti tiada yang mahu mendidiknya menjadi seorang insan berjaya.

Selesai usrah kecilan itu berlangsung, isyak masih belum menjelma maka Ratu Melawati berniat menasmik bacaan quran Ratna.

"Alamak, Tuanku, maafkan hamba. Wuduk hamba sudah terbatal. Izinkan hamba mengundur diri sebentar untuk menyempurnakan wuduk sekali lagi." Ujar Ratna yang masih tidak fasih berbicara istana apatah lagi dengan pemimpin Tarawangsa sendiri.

Ratu Melawati hanya tergelak kecil seraya membenarkan gadis itu keluar mengambil wuduk semula. Langsung tiada kisah tentang bahasa istana Ratna yang tunggang terbalik itu kerana kanak-kanak itu masih kecil malah tidak pula dia ke sekolah.

Lagipula dia tidak hairan sekiranya orang tidak menggunakan bahasa istana sepenuhnya ketika berbicara dengannya tentang hal selain pentadbiran. Padanya, dia hanyalah insan biasa maka tidak perlu diberi sepenuh penghormatan kepadanya.

Kini tinggal Ratu Melawati dan Delima sahaja di ruang solat wanita itu tatkala Ratna melangkah pergi meninggalkan mereka.

"Apakah perkembangan tugasan kau, Delima?" Si Ratu membuka topik tentang pencarian tentera serba hitam itu.

"Gagal bonda. Ketuanya berjaya melarikan diri. Puas juga ahmad mencari serata hutan namun tidak dijumpai." Delima mengeluh perlahan. Beratnya bebanan di hati memikirkan ketuanya masih belum mendapat balasan setimpal atas apa yang telah dilakukan.

Ratu Melawati mengusap perlahan belakang Delima memberi semangat kepada anakandanya itu. "Usah risau, pohon sahaja pada Allah agar dipermudahkan segala urusan kau. Dia pasti membantu. Sungguh Tuhan tidak akan pernah mengecewakan kau."

"Pasti ada hikmahnya mengapa masih belum tertangkap si pesalah itu sedangkan kesalahannya berada dalam pengetahuan Ilahi. Sekiranya Allah ingin beri kau peluang menghabisinya, pasti segala sihir yang dilakukannya tidak akan berhasil sedikit pun."

"Segala yang berlaku berada dalam pengetahuan dan izin-NYA, Delima." Lega hati Delima mendengar nasihat dari ibunda sendiri. Sungguh bagaikan ajaib, kata dan bicara dari ibulah yang paling dia perlukan tanpa dia sedari. Dia baru sahaja menceritakan sedikit daripada masalahnya namun jawapan yang dilontar sang ibunda bagaikan sudah menjawab seribu satu persoalan kepada masalah yang berlaku.

Bagaikan bicara itu datangnya dari Allah namun melalui si ibulah Allah ingin menyedarkan seseorang insan itu.

Delima mengangguk perlahan memahami. Hatinya seolah kehilangan sesuatu dan nasihat ibundanya tadi bagai sudah memenuhi segala ruang yang berlubang di hati.

"Lagi satu bonda mahu tanya. Gadis kecil itu umurnya berapa sebenarnya?" Ratu Melawati menyoal perlahan kerana hakikatnya dia langsung tidak tahu umur sebenar gadis kecil itu.

"5 tahun bonda." Balas Delima perlahan seraya tersenyum. Mungkin saiz Ratna yang kecil mengelirukan bondanya itu. Ratu Melawati hanya mengangguk memahami sambil bibirnya menguntum seukir senyuman nipis.

Beberapa ketika kemudian Ratna kembali melangkah masuk ke ruang solat wanita. Menggigil kesejukan gadis kecil itu pabila bayu dingin mencengkam seluruh tubuh.

"Ya Allah Ratna! Kau berwuduk kah atau mandi?" Delima menahan tawanya melihat Ratna yang lencun sambil mendakap tubuh sendiri. Gadis kecil itu benar-benar masih belum cukup ilmu agamanya. Hatta berwuduk pun masih tidak difahami sepenuhnya maka kesalahan begitu boleh dimaafkan.

Ratna tersenyum kelat sambil bergerak mendapatkan kain telekungnya. Segera seluruh tubuhnya dibaluti tidak mahu memberi ruang dingin mencengkam tubuh.

"Ya Allah dinginnya..." Menggigil Ratna melontarkan bicara. Habis seluruh tubuh diselimuti sepenuhnya sambil tangan yang berbalut kain telekung itu memegang dan membawa rehal bergerak ke arah tempat duduk Delima dan Ratu Melawati. 

"Malam ini dinginnya terlebih seolah hampir hujan. Bersabarlah ya." Pesan Ratu Melawati seraya tersenyum melihat gelagat manis Ratna.

Kemudian Quran dibuka dan Ratna mula melantunkan ayat suci al-quran sambil ditasmik Sang Ratu dan Delima. Biarpun tersekat-sekat bacaan surah juzuk amma nya namun kegigihannya bersungguh mempelajari quran tetap harus dipandang tinggi.

_______________________•••____________________

"Sodaqollahulazim..." Quran ditutup Arjuna perlahan dengan penuh cermat memberi sepenuh penghormatan kepada kitab suci itu. Nafasnya yang pendek menyukarkan dirinya untuk membaca ayat suci Ilahi dengan baik memaksa dirinya membaca hanya sedikit sahaja berbanding kebiasaannya.

Tercungap-cungap Arjuna dibuatnya. Bacaannya juga dipotong pendek kerana masih belum mampu menahan nafas seperti biasa. Al-Quran diletakkan di atas rehal dan disandarkan ke tepi dinding surau.

Arjuna menyapu dahinya terus menggenggam perlahan akar rambutnya. Gundah gulana mencengkam seluruh jiwa apabila tabiat harian terpaksa diterhadkan dek diri yang tidak mampu beribadah seperti biasa.

Lama dia duduk tunduk sebegitu sambil tangan masih kekal di dahi memikirkan masalah diri. Terasa hina apabila tidak berupaya beribadah sebaiknya sedangkan sebenarnya tiadalah masalah sekiranya seseorang itu tidak dapat beramal akibat kesihatan terhad yang menjadi penghalang.

"Perlahan-lahan Arjuna. Jangan kau biarkan bisikan syaitan menerbitkan gundah gulana dalam hati." Iskandar menegur tatkala menyedari tingkah laku sahabatnya itu yang seperti tidak keruan.

Arjuna mengangkat wajahnya memandang Iskandar kemudian bersandar ke dinding surau sambil matanya mengikut jejak langkah kaki Iskandar yang bergerak menuju ke palang beranda surau lalu melabuhkan punggungnya ke situ.

Arjuna hanya diam tidak membalas bicara Iskandar kerana kata sahabatnya itu seolah memahami apa yang sedang dirasainya sekarang ini.

"Tiada dosa buat kau yang bersungguh menunaikan kewajipan kepada-NYA, Arjuna. Amalan sunat yang selama ini kau laksanakan hanyalah sunat dan bukannya wajib, tidak usah kau memaksa diri kau tetap beribadah seperti mana sewaktu kau sihat."

"Jikalau dalam hati kau terbit rasa berdosa akibat meninggalkan ibadah sunat harian kau, percayalah itu daripada syaitan. Sungguh makhluk terkutuk ini tidak akan pernah berhenti menyesatkan manusia hinggalah ke hari akhirat kelak." Iskandar menyampaikan nasihat penuh bermakna.

Sungguh itulah yang paling diperlukan Arjuna buat masa ini. Tersentak dirinya ditegur sebegitu rupa. Benar, dia hanyalah manusia biasa tidak akan lari dari sifat lalai dan leka. Bicara Iskandar itu benar-benar membantu menyedarkan dirinya kembali ke alam nyata.

Benar belaka semua nasihat yang dilontarkan. Sungguh dia merasakan dirinya berdosa kerana meninggalkan banyak ibadah sunat yang selama ini sebati dengan dirinya. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, dirinya mudah leka memberi bicara syaitan masuk ke dalam diri.

Padahal tiadalah salah sekiranya ibadah itu ditinggalkan akibat kesihatan diri yang terhad. Tetapi disebabkan syaitan si durjana ini membisikkan yang bukan-bukan hingga diri ini merasakan seperti telah dibenci Allah akibat meninggalkan perkara sunat.

Pekakkanlah telinga daripada mendengar segala bisikan palsu itu. Sungguh Allah tetap menyayangi hamba-NYA biarpun seseorang insan itu sedang dalam keadaan melakukan dosa. Tambahan pula, ditariknya nikmat kesihatan sebentar merupakan tanda kasih sayang Ilahi terhadap hamba-NYA.

"Astaghfirullah..." Perlahan bibir Arjuna melafazkan istighfar saat diri kembali dihentak realiti. Matanya dikatup rapat tanpa istighfar lekang dari bibir menyedari kesilapan diri sendiri yang bersangka buruk terhadap Ilahi.

"Entahlah Is. Belakangan ini pelbagai masalah timbul. Dahlia pula masih tidak dijumpai. Kusut dibuatnya." Akhirnya mengadu juga Arjuna ini kepada sahabatnya. Selama ini masalahnya tidaklah sebegitu berat. Kali ini ianya melibatkan dua negara dan tugasnya mencari Dahlia adalah atas titah Sultan Muadzam Shah dan bukannya pemimpin kerajaannya sendiri.

Rasa diri tidak berguna menyelubungi diri tatkala dia sedar peranannya sebagai Temenggung Tarawangsa yang berat dan biarpun diberi penghormatan daripada Sultan negara jiran, dia tetap gagal melaksanakan tugas sehabis baik.

Sungguh Arjuna tidak keseorangan. Sesiapa yang berada di tempatnya tidak mustahil untuk merasakan perkara yang sama. Memang tidak dapat lari dari rasa kesal mendalam apabila gagal mula menyelit dalam lembaran kehidupan.

"Mungkin ini ujian Allah buat kau, Arjuna. Kau manusia biasa tidak sempurna. Mungkin selama ini semua tugas kau tidak seberat kali ini. Maka apabila gagal menimpa diri berkali, kau diserang rasa kesal tiada bersudah." Iskandar berhenti seketika sebelum menyambung bicaranya.

"Kau kena ingat Arjuna. Jikalau ujian mula hadir dalam hidup kau, bermakna Allah ingin membentuk kau menjadi lebih baik dari sebelumnya."

"Hatta besi pun harus  dipanaskan lalu ditempa berkali-kali hingga ia benar-benar mampu menjadi pedang yang kuat dan tajam lalu menyirat leher si musuh." Iskandar memberi analogi ringkas namun padat.

Arjuna tersentak. Hari ini berkali-kali bicara Iskandar menyentak jiwanya walaupun apa yang dibicarakan hanyalah sekadar fakta biasa namun akibat dirinya yang sudah leka membuatnya terlupa tentang itu semua.

Benar kata Iskandar. Besi harus melalui satu fasa berat, barulah ia mampu menjadi sebilah pedang yang tajam dan utuh. Kesimpulannya, demi membentuk seseorang menjadi lebih baik, mereka harus diuji berkali-kali hingga diri ini menjadi kuat dan lebih baik dari yang sebelumnya.

Isyak menjelma. Arjuna masuk ke dalam bagi melaungkan azan sambil surau yang tadinya kosong kembali penuh dengan kehadiran beberapa orang hulubalang yang bertukar gilirannya.

Doa selepas azan dibaca kemudian masing-masing mula bergerak merapatkan saf sehabis baik menghalang syaitan menyelit di antara dua insan. Takbir diangkat dan seluruh alam kembali sunyi hanya dihiasi suara alunan bacaan quran oleh Iskandar, selaku imam solat Isyak pada malam itu.

Continue Reading

You'll Also Like

150K 8.5K 63
Buat aku dan kau yang masih merangkak mencari keredhaan Allah tapi kadang-kadang terjerumus dalam lembah kejahilan meski sengaja ataupun tidak sengaj...
24.1K 2.3K 73
Ara-Si Gadis Tiga Darah terlibat lagi dalam pertelingkahan tatkala manusia bukan satu-satunya makhluk yang berada pada tingkat tertinggi dalam rantai...
6.6K 827 31
Dua kisah berbeza nyata. Untuk sebuah permulaan bagi sebuah kehilangan. "Ikatan ini satu tugasan. Dan cinta itu tidak wujud." Resam dunia, untuk memi...
462K 34.8K 53
γ€Ž Kisah Alice dan Para Putera Bahagian Satu 』 βŠ±β”€β”€β”€β”€β”€β”€ {β‹…. β™› .β‹…} ────── ⊰ Pada tahun 2020, sebuah akademi yang serba elit telah diwujudkan dengan tuju...