BAB 04

831 9 5
                                    

ENCIK Ariff Ezanee membuka pintu bilik tidur anak lelakinya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

ENCIK Ariff Ezanee membuka pintu bilik tidur anak lelakinya. Sebenarnya timbul kerisauan di dalam jiwanya. Sejak tadi dia mengetuk pintu bilik Amirul, namun Amirul tidak menyahut. Itu sebabnya dia memasuki bilik tidur si kecil itu tanpa kebenaran.

"Ayah ni, kita tak cakap lagi ayah boleh masuk. Kita tengah tulis surat untuk mama ni."

Awal-awal lagi dia telah dipersembahkan dengan wajah cemberut Amirul. Sedepa muncung Amirul. Marah benar nampaknya si kecil itu. Dan dialah yang ketawa lepas melihat Amirul menarik muka empat belas.

"Mirul tak menyahut, jadi ayah bukalah pintu. Mana tahu Mirul pengsan ke? Apa ke? Nanti ayah juga yang kena menjawab dengan mak tok."

Semakin panjang muncung Amirul. Namun si teruna berumur tujuh tahun itu telah bangun dari meja tulisnya. Ayahnya dihampiri. Satu surat yang telah dilipat empat diserahkan kepada sang ayah. Barisan gigi susunya turut dipersembahkan pada sang ayah.

"Ayah tolong pos pergi dekat mama yer," pinta si kecil itu. Dua kali sepasang mata bundarnya dikerdipkan. Malah, semakin lebar senyuman si kecil itu. Semakin jelas kelihatan betapa cantiknya barisan gigi susu Amirul.

"Ayah jangan lupa minta posmen hantar cepat-cepat. Kita nak mama baca surat kita cepat-cepat."

"Ya, nanti ayah minta posmen hantar cepat surat Mirul." Encik Ariff Ezanee mengeyakan sahaja. Kalau dibantah, panjang ceritanya nanti. Tidak tidur malam dia nanti mendengar Amirul berceloteh itu dan ini.

"Selamat malam ayah." Amirul sudah pun mendorong tubuh ayahnya keluar dari bilik. Ini ruang privasinya. Ayah pun tidak dibenarkan berlama-lama di sini.

"Tak ada kiss good night untuk ayah?"

Amirul menjingkitkan kakinya. Pipi Encik Ariff Ezanee yang sudah pun membongkokkan tubuhnya dikecup kanan dan kiri.

"Good night, ayah. Kita nak tidur dah ni. Esok sekolah. Kita nak bangun awal."

Pintu bilik ditutup di depan mukanya. Kadang-kadang Encik Ariff Ezanee rasa, Amirul ada rahsia besar. Dia gagal memujuk Amirul berkongsi rahsia besar tersebut.

Bersama helaan nafas panjang, dia meninggalkan bilik tidur Amirul. Bilik tidurnya sendiri dihampiri. Sepanjang perjalanan ke sana, tidak berhenti dia membelek surat yang Amirul tulis untuk Mama Zaraa.

Dan seperti selalu, dia membaca kesemua surat Amirul pada Zaraa. Setelah itu barulah nanti disimpan di dalam kotak sederhana besar yang dibelinya di Kaison. Semua surat Amirul untuk Zaraa di simpan di situ.

Bukan dia mengkhianati kepercayaan Amirul padanya, cuma dia mahu tahu status kesihatan mental anaknya. Dia pun perlu tahu apa sahaja yang ditulis oleh Amirul untuk Zaraa.

Terangkat keningnya setelah surat Amirul dibuka. Surat Amirul kepada Zaraa kali ini lain sedikit. Panjang karangan ayatnya. Malah di bahagian depan sampul surat, tertulis dengan jelas perkataan penting. Ada juga pesanan meminta Zaraa terus membaca surat tersebut.

Bibirnya bergerak mengorak senyuman. Amirul itu, tidak pernah gagal membuatnya tersenyum sendiri.

Tanpa kebenaran, dia membaca isi kandungan surat Amirul untuk Zaraa. Surat cinta Amirul untuk mamanya.

Dear mama,

Esok birthday kita yang ke tujuh tahun. Kita dah besar dah mama. Tak lama lagi, kita dah boleh jaga ayah.

Semakin lebar senyumannya. Ada-ada sahaja cerita Amirul untuk Mama Zaraa.

Kita sihat jer. Mak tok sihat. Ayah pun sihat, tapi ayah busy sikit. Hurm, ayah busy banyak sebenarnya. Ayah selalu balik lambat. Kita kesian dengan ayah, tapi kita tak tahu nak tolong ayah macam mana.

Tapi mama jangan risau. Ayah busy banyak, tapi ayah masak untuk kita. Hari-hari ayah masak lauk yang kita suka. Tapi ayah masak tak sedap.

Berkerut seribu dahi Encik Ariff Ezanee. Ini kali kedua Amirul menyebut masakannya tidak sedap.

Menurut deria rasanya, masakannya masih boleh dimakan. Bukan yang terbaik, tetapi tidaklah terlalu teruk. Mungkin sudah tiba waktunya dia belajar memasak daripada bekas emak mentuanya.

Kita tak pernah rasa masakan mama, tapi kita tahu, mesti sedap. Lagi sedap daripada Kepci. Tapi kita tak marah mama tak masak untuk kita. Kita faham mama tinggal jauh sekarang. Mama tak dapat balik sini.

Bacaannya terhenti lagi. Dia menarik nafas panjang. Esok dia akan meminta resepi masakan yang bagus-bagus untuk Amirul daripada bekas emak mentuanya. Dia akan usahakan sehingga masakannya diiktiraf sedap oleh Amirul.

Mama, kita nak bagitahu satu rahsia ni. Kita tak bagi ayah kahwin. Kita tak nak ayah kahwin. Kita nak mama saja yang jadi mama kita.

Terhenti lagi bacaannya. Jadi sebak hatinya. Isi hati Amirul sama sahaja dengan isi hatinya. Amirul juga tidak mahu ada wanita lain dalam hidup mereka selain Zaraa.

Ayah tak marah. Ayah jawab okey. Kemudian ayah senyum pada kita. Lepas tu ayah peluk kita. Kita rasa, kan mama, ayah sayang mama. Kita selalu nampak ayah pegang gambar mama. Lepas tu, mesti ayah peluk gambar mama. Kita pun selalu buat macam tu juga.

Mama jangan risau tau. Kita dengan ayah okey saja dekat sini. Kita janji, kita nak cari isteri cepat-cepat. Lepas tu kahwin pun cepat-cepat. Nanti biar kita dengan isteri kita jaga ayah. Mama doakan kita jumpa isteri tau. Kita nak isteri macam mama.

Okey, mama. Kita mengantuk dah ni. Kita nak tidur. Babai. Muah mama banyak banyak banyak banyak banyak.

Kirim salam dekat Allah, ya? ❤

P/S: Kita rindu mama. Tapi kita tahu, ayah lagi rindukan mama. Mama, boleh tak mama minta pada Allah, benarkan mama balik jumpa kita dengan ayah. Sehari jerr. Boleh yer, mama. Mama cakap dengan Allah yer. Please...

Mirul
15 Muharram

Perlahan-lahan dia melipat kembali surat Amirul. Nafasnya yang tenang-tenang sahaja tadi telah mulai bergelora. Bahasa Amirul yang mengucar-ngacirkan emosinya. 

*** Tiada di kedai buku ***

Jualan secara online sahaja. Wasap ADMIN untuk menempah♥️
▶️ +6010 449 7835

 Wasap ADMIN untuk menempah♥️▶️ +6010 449 7835

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
AYAH SAYA DUDA | Best SellerWhere stories live. Discover now