Bab 1
“Maria, tolong suruh Ana masuk bilik saya sekarang. Ada perkara penting yang saya nak bincang dengan Ana.”
Dato’ Danny Iskandar memberi arahan kepada setiausahanya. Dari pagi tadi hati dia tidak tenang memikirkan anak bujangnya yang sedang demam. Dia juga baru tahu berita itu melalui isterinya Datin Zulaikha. Rasa bersalah terhadap anak bujangnya yang bernama Ikhmar Ariffin itu semakin menggunung semenjak kepulangannya ke Malaysia. Ikhmar langsung tak menjejakkan kaki ke rumah mereka. Malah terus menetap di kondominium kepunyaannya sendiri. Masih merajukkah Ikhmar terhadap kesilapan yang dilakukannya tujuh tahun lalu. Nafas dihela berat.
Lamunannya terhenti apabila pintu diketuk dari luar. “Ya masuk,” jemput Dato’ Danny. Ana segera melangkah masuk dengan hati yang berdegup kencang. Semenjak kerja di syarikat itu tiga bulan lalu, ini pertama kali dia menjejakkan kaki ke bilik CEO. Bermacam-macam persoalan bermain di minda. Badan menjadi seram sejuk.
“Selamat pagi Dato’ .” Ana menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat kepada Dato’ Danny. Dato’ Danny tersenyum memandang wajah gadis yang bernama Ana Qisya binti Zalani. Wajahnya pucat lesi. Takut agaknya.
“Selamat pagi Ana. Silakan duduk.” Ana hanya menuruti arahan tanpa berkata apa-apa. Ana melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Dato’ Danny. Dia ternanti-nanti perkara yang Dato’ Danny ingin katakan. Degup jantungnya sudah tidak lancar.
“Saya panggil awak ke sini sebab ada perkara yang saya nak minta tolong awak ni.” Dato’ Danny menghelakan nafas panjang. Sukar rasa di hati ingin membuka bicara. Gadis sebaik Ana haruskah diperjudikan masa depannya? Dato’ Danny selalu terdengar perbualan pekerja-pekerjanya, Ana seorang yang baik. Suka menolong rakan pekerja yang lain. Ana seorang gadis yang biasa sahaja. Cukup hormat pada orang di sekelilingnya. Malah rakan rapat Dato’ Danny sendiri, Bahari Isyak yang merupakan pegawai akauntan sering memuji kecekapan Ana dalam mengurus akaun syarikatnya biarpun jawatan Ana hanya sebagai pembantu akauntan. Oleh sebab itu, dia sendiri ingin mengenali keperibadian Ana.
“Dato’ nak saya tolong apa?” tanya Ana apabila melihat Dato’ Danny teragak-agak hendak menyuarakan permintaannya. Dato’ Danny menghela nafasnya semula sebelum bersuara.
“Saya minta Ana pergi ke rumah anak saya. Tolong jaga dia untuk saya, Ana. Dia sedang demam sekarang ni.” Ana berasa pelik dengan permintaan Dato’ Danny. Tidak bolehkah kalau Dato’ sendiri yang melawat anaknya itu. Kenapa mesti dia yang diarahkan untuk menjaga anaknya yang demam? Bukankah itu di luar bidang tugasnya. Namun lidah menjadi kelu untuk berkata-kata.
Ana memerhatikan sahaja tangan Dato’ Danny yang menulis sesuatu pada sehelai kertas lalu diserahkannya kertas itu kepada Ana.
“Ana, ini alamat rumah anak saya. Ana pergi tengahari ni. Saya bagi Ana cuti bergaji. Hari Isnin Ana boleh masuk pejabat semula.” Dato’ Danny memandang riak wajah Ana yang agak keliru.
“Awak boleh pergi Ana,” pintanya lagi. Ana bangun menuju pintu dan tiba-tiba terlintas satu persoalan di mindanya. Dia berpaling semula ke arah Dato’ Danny.
YOU ARE READING
Rahsia JANJI
RomanceTak kenal maka tak cinta.... Pertemuan pertama Ikhmar Dan Ana semasa Dato Danny mengarahkan Ana untuk menjaga Ikhmar yg sakit. Ikhmar Seorang pemuda yg telah membawa diri selama tujuh tahun kembali ke tanahair namun perasaan benci kpd keluarga sen...