Bab 5
Pagi itu, Ana bangun awal untuk menyediakan sarapan untuk Ikhmar. Nasi goreng kampung dan roti bakar itu mampu membangkitkan selera awal paginya. Begitu juga milo panas yang dibuatnya sudah terhidang di meja makan. Ana memandang jam di dinding, sudah menunjukkan jam lapan. ‘Mana Ikhmar ni?’ bisik hatinya. Ana ternanti-nanti wajah tampan itu muncul. Namun hampa.
Dengan rasa serba salah, Ana mengetuk pintu bilik Ikhmar. Tiada sautan. Ana tidak berpuas hati, dia mengetuk untuk kali kedua. Barulah terdengar pintu bilik itu dibuka. Berdiri sebatang tubuh dengan senyuman manis memandangnya.
“Selamat pagi, sayang,” ucapan itu terluah dari bibir Ikhmar pagi itu. Ikhmar sudah memakai baju lengan panjang dan seluar juga panjang. Mimpi ke apa dia ni pagi-pagi begini ya, omel Ana dalam hati. Tetapi mengapa dia tidak mahu menafikan panggilan sayang itu. Dia memandang tepat ke mata Ikhmar yang bercahaya itu. Setiap kali bertentangan mata, semestinya hati Ana berdendang rancak. Adakah Ikhmar merasa getaran yang sama?
“Selamat pagi. Jom kita sarapan,” ajak Ana yang sudah melangkah menuju ke dapur. Ikhmar menuruti langkah Ana dari belakang.
Ikhmar duduk sementara menanti Ana menyeduk nasi goreng ke pinggan. Mata Ikhmar tidak berkelip memandang Ana. Ana yang perasan dengan kelakuan Ikhmar berasa tidak selesa.
“Awak suka pandang saya ni kenapa?” Kata Ana sambil meletakkan sepinggan nasi goreng di hadapan Ikhmar. Ikhmar hanya tersenyum manis. Soalan Ana tidak dijawab. Ana seolah-olah ingin melarikan matanya daripada memandang Ikhmar, namun dia tidak berdaya melakukannya. Hatinya tidak tenteram jika tidak melihat Ikhmar walaupun hanya seminit. Apakah mampu dia berjauhan daripada Ikhmar. Apabila dia menyedari siapa dirinya, dia seolah-olah tidak mahu menerima takdir yang telah tertulis untuknya. Masih adakah peluang untuk dia bahagia di masa hadapan?
Semenjak dari tadi Ikhmar menjeling ke arah Ana yang sedang mengelamun. Entah apa yang difikirkannya, bisik hati Ikhmar.
“Ana, awak fikirkan apa tu. Kenapa tak sarapan sama?” Lamunan Ana terhenti di situ mendengar teguran Ikhmar. Ikhmar menanti Ana memberi jawapan. Namun, Ana memberi keluhan berat.
“Berat sangatkah dosa yang awak tanggung sehingga mengeluh sebegitu?” sambung Ikhmar lagi melihat Ana tidak memberi jawapan. Terasa juga dia dengan kata-kata Ikhmar itu.
“Apa yang awak cakap ni. Saya tak ada apa-apalah,” Ana berbohong.
“Saya tahu awak sedang berbohong. Kalau ada apa-apa masalah, kongsilah dengan saya,” minta Ikhmar. Tiba-tiba pulak dia menjadi orang yang baik hati.
“Emm…saya…saya…fikirkan apa yang saya nak masak tengahari nanti,” Ana berbohong lagi.
“Oh…macam tu. Kalau begitu saya temankan awak pergi beli barang ye. Lagipun saya memang nak keluar ambil angin.” Hairan juga Ana dengan lelaki ini. Berbeza dengan lelaki lain. Hidupnya agak formal. Bila berpakaian pun begitu. Bersih dan kemas. Bila memandang wajahnya, hilang segala tekanan di jiwa. Sesedap mata memandang. Siapa awak ni Ikhmar?
YOU ARE READING
Rahsia JANJI
RomanceTak kenal maka tak cinta.... Pertemuan pertama Ikhmar Dan Ana semasa Dato Danny mengarahkan Ana untuk menjaga Ikhmar yg sakit. Ikhmar Seorang pemuda yg telah membawa diri selama tujuh tahun kembali ke tanahair namun perasaan benci kpd keluarga sen...