Bahagian 87: Kenyang

136 4 0
                                    

"Burrppp"

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"Burrppp"

Itu kali kelima Ila Rambo bersedawa. Terasa puas akan perutnya menikmati hidangan yang disediakan oleh Rokiah. Dengan tiupan angin malam yang sepoi-sepoi bahasa di luar rumah Rokiah, menambahkan lagi efek kekenyangannya itu. Sudah lama dia tak merasa masakan yang sesedap itu. Kali terakhir adalah ketika dia menghadiri kenduri potong jambul anak dua- pupunya, 2 tahun lepas. Masih melekat di tekaknya akan keenakan nasi beriyani dan kari kambing yang dihidangkan di majlis itu.

Akan tetapi, keenakan hidangan lauk-pauk yang disediakan Rokiah itu juga membuatkan Ila menjadi musykil dan curiga. Keraguan Ila datang apabila dia mengenangkan tragedi ayam masak coklat Rokiah itu dulu. Itu pun antara masakan yang masih melekat di tekaknya, sehingga kini - tetapi dalam versi tak boleh 'brain'. Tak pernah dibuat oleh orang melayu yang waras, untuk menggantikan gula dengan coklat, untuk masak ayam! Apa dia ingat ini rancangan Hell's Kitchen?

Itu yang membuat Ila Rambo menjdai ragu-ragu. Cukup besar jurang perbezaan masakan Rokiah dari 3 tahun lepas, dengan sekarang. Adakah benar hidangan yang disantapnya tadi, benar dari hasil air tangan Rokiah? Atau sebenarnya, dari air tangan Mak Siti? Atau, lebih munafik lagi, sebenarnya hidangan itu Rokiah order dari Grabfood? Pelbagai persoalan timbul di benak fikiran Ila ketika itu, walaupun mulutnya meluahkan sedawanya yang keenam. Langsung tak 'sync' antara keraguan hati dan kepuasan perutnya ketika itu. Hati risau, perut kenyang.

"Sedap betul kau masak tadi Kiah.. Tapi, betul ke kau masak? Macam tak percaya pulak aku!"

Dengan berbekalkan muka yang tak tahu malu, Ila bertanyakan soalan kontroversi yang bermain di benak fikirannya dari tadi.

"Eh! Mestilah Kiah masak! Penat tau Kiah masak.. Ni ha! Siap terkena minyak lagi ni!"

Kiah menunjukkan lengannya yang mulus itu kepada Ila. Ternampak dua tompok kecil kesan percikan minyak panas yang masih baru.

"Oooo.. Okay, aku percaya."

"Apa lah Ila ni.. Tak percaya pulak Kiah masak. Pernah ke Kiah tipu kat Ila selama ini?"

Ketika soalan itu ditanya, terus menujah masuk segala memori dia ditipu Rokiah selama perkenalan mereka. Tetapi, bukanlah penipuan yang 'besar' seperti Macau scam atau Skim Rumah Murah Dato Belon tu. Ianya lebih kepada tipu-tipu 'manja'. Sebagai contoh, Rokiah pernah menipu bahawa dia mengalami senggugut ketika diajak Ila untuk menemannya pergi ke pekan, tetapi sebenarnya Rokiah ketika itu cuma beralasan kerana mahu menonton Yo Soy Betty La Fea di TV. Rokiah juga pernah menipu Ila yang sebenarnya Jamilah Burung pernah couple dengan Kassim Mat Top, sehinggakan Ila benar-benar percaya selama 5 tahun lamanya. Itu pun akhirnya Rokiah 'memecahkan' rahsianya dengan mengatakan yang dia sebenarnya hanya bergurau. Kalau tak diberitahu, sampai ke sudah Ila percaya!

"Tak pernah.."

Ila mengiakan sahaja pernyataan Rokiah itu. Malas nak cerita lebih.

"Hah! Monyet! Sambunglah cerita kau tu! Dah macam drama TV3 dah siap ada sambungan bagai!"

Lamunan Rahmat tersentak tatkala disergah oleh Ila Rambo. Sengaja Ila menepuk jenang pintu apabila dia perasan Rahmat termenung menghadap dinding luar rumah Rokiah itu.

"Eh! Sepuluh! Sepuluh!" Rahmat melatah.

"Apa yang sepuluh?!" tempik Ila, menyakat.

"Cicak! Ada sepuluh ekor!"

Rahmat terus melatah. Membuatkan Ila Rambo ketawa terbahak-bahak. Dan Rokiah pula ketawa sambil menutup mulut menggunakan hujung jari, persis perempuan melayu terakhir.

"Bahahaha! Tak boleh blah la kau ni, Nyet! Macam mak nenek melatah bagai! Hahahaha!"

"Kurang ajar kau, Rambo! Kau kenakan aku ye?!"

Merah padam muka Rahmat. Tak pasti sama ada merah menahan marah, atau malu dengan Rokiah.

"Apa kau cakap tadi? Tak dengar.."

Dek kerana terkejut dan melatah, permintaan Ila Rambo supaya Rahmat meneruskan ceritanya, tidak didengari Rahmat.

"Aku suruh kau sambung cerita kau petang tadi. Lepas kau kata kat Sarip yang kau nak kerja sendiri tu, apa yang jadi lepas tu?"

"Oh.. Cerita tadi ye? Hmm.."

Angin malam kembali meniup lembut, seraya Rahmat memandang ke arah kegelapan malam. Ila Rambo dan Rokiah turut mengikut perbuatan Rahmat, walaupun mereka tak tahu apa yang dipandang oleh Rahmat.

Suasana kembali sunyi. Bunyi cengkerik kembali kedengaran di telinga. Sesekali diselang-seli dengan bunyi cicak yang sepuluh ekor tadi. Tak ketinggalan juga suara Zul Arifin berdialog, kedengaran sayup-sayup dari dalam rumah - kerana Mak Siti sedang menonton Gerak Khas.

"Ah sudah! Dia dah start dah nak berdrama.." bisik hati Ila.

Rahmat menarik nafas. Kepalanya ligat mengenang kembali segala memori yang terjadi setelah dia diambil bekerja di bawah Sarip, untuk dia susun dan diceritakan kepada Rokiah dan Ila.

"Lepas Sarip bagi 'green light' kat aku pasal aku nak bukak kedai sendiri tu, aku..."

Cinta RokiahWhere stories live. Discover now