"Dalam dewan lagi kot," teka Badrul.

"Dia dah janji nak datang." Berkaca-kaca mata Akma di hadapan Adam. Tak tahu mahu meminta simpati siapa. Kalau Shahrul tak mahu berkahwin dengannya, jadi anak dara tualah Akma nanti. Dia sudah khuatir jika memang tiada jodoh di usia 25 tahun itu.

"Nak elon (belon)," pinta Adam setelah mendengar luahan hati Akma. Ibu saudaranya itu terus mengeluh kecil. Kucupan bibir Adam di pipi Akma melegakan hati. Akma membalas pula dengan cuitan hidung. Pucuk hidung Adam ditolak ke bawah biar terpenyek.

"Makcu..." Adam menggeleng berkali-kali. Akma memang suka membuat macam-macam kepada Adam.

"Adam yang kena beli belon dekat maksu, okay? Hari ni maksu graduate."

Sepatah habuk pun anak itu tidak mengerti. "Nanak..." Jari telunjuknya menunding ke arah kiosk belon dan jambangan bunga di kawasan parkir kereta. Betapa meriahnya apabila kesemua orang sedang memegang belon yang terapung-apung.

"Yelah. Tapi satu je tau," akur Akma.

Kanak-kanak yang hendak menginjak usia dua tahun itu tersenyum riang. Pipinya digeselkan pada wajah Akma tanda sayang.

Akma tertawa halus. Sikap Adam yang lemah lembut begini adalah hasil didikan Nafisah. Bertemu pula dengan perangai Akma yang agak kasar, Adam sering bertempik menangis.

"Adam nak belon yang mana?" soal Akma. Dia sendiri jadi rambang mata. Langkah dibawa lebih dekat ke arah kiosk itu. Keadaannya tidak sesesak pagi tadi kerana setiap graduan telah memiliki bunga kecuali dirinya.

"Nak yang besar," pinta Adam.

"Tak boleh... Ambil yang kecil je ya?" Anak-anak elok diajar untuk bersederhana dan tidak dimanjakan dengan kemewahan. Supaya mereka tidak bermegah-megah apabila dewasa.

Sebiji belon sekecil bola sepak dihulurkan pada Adam oleh peniaga.

"Tolong ikat dekat tangan dia. Takut terbang pula belon ni," ujar Akma. Senyuman gembira Adam turut mengubat hatinya yang lara. Nak merajuk dengan Shahrul!

Tidak berkelip Adam melihat tangannya disimpulkan dengan satu ikatan longgar. Apabila terkapai-kapai tangannya, belon itu turut bergerak sekali.

"Adam cayang makcu," ucap Adam. Batang leher ibu saudaranya didakap erat. Gembiralah dia dengan belon berwarna merah hati. Tak lekang dengan senyuman. Sepanjang mereka kembali ke khemah putih, mata Adam tidak berkelip melihat belon yang mengikut sekali langkah mereka.

"Adam minta dekat maksu, ya?" Nafisah menggeleng lalu tersenyum.

Kepala Adam dijatuhkan beberapa kali. Tubuh anak kecil itu diserahkan pada Nafisah kembali kerana Akma disapa dengan kedua orang tuanya.

Tanpa berlengah sesaat, tubuh ibu dan ayahnya didakap erat pula. Hari ini memang hari peluk sedunia. "Mana mak dan ayah pergi?"

Air mata gadis itu menitis tanpa diduga. Dia tersenyum gembira apabila dicium mereka berdua. Tangan bersulaman dengan Encik Mukhriz dan Puan Khadijah.

"Terima kasih sebab datang," ujar Akma. Mati-mati dia ingatkan ayahnya akan sibuk dengan kerja syarikat.

"Sama-sama, sayang. Cantik anak ayah hari ni." Encik Mukhriz mengelus rahang anak perempuannya.

"Bukan ayah ke yang paling cantik?" balas Akma dengan jongketan kening.

Terus lelaki tua itu menggeleng. Dia melihat ke sekeliling. Terlupa satu benda. Jambangan bunga seperti mereka yang lain. "Akma nak bunga?"

"Tak nak. Akma nak benda lain."

"Apa?" Dahi Encik Mukhriz berkerut. Pandangannya ditoleh ke arah Puan Khadijah.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now