41 [Bab special]

3.1K 228 154
                                    

Dalam kesesakan para graduan, Akma berjaya jua meloloskan dirinya ke seberang sana. Baju jubah yang besar gedabak dijinjing sedikit untuk memudahkan langkah. Kepalanya habis berbekas kesan pemakaian topi mortar board.

Nampak sahaja sosok tubuh Badrul di koridor luar, berlarilah gadis itu mendapatkan abang susuannya. Dia mendakap tubuh Badrul dengan erat hingga lelaki itu mengaduh kesakitan. "Penatlah tunggu lama-lama dekat dalam," adu Akma. Dia mendongak memandang wajah Badrul.

"Mana topi?" soal Badrul. Kesan garisan topi pada dahi Akma diusapnya.

"Ada ni. Abang nampak tak mak dengan ayah?" Akma meleraikan pelukan. Matanya meliar ke sekeliling kawasan koridor yang dibanjiri graduan usai majlis konvokasyen pada hari itu. Masing-masing sedang berswafoto bersama-sama keluarga.

"Ada dalam dewan lagi. Abang nampak juga tadi. Kita tunggu dekat khemah luar, ya?" ujar Badrul. Bahu Akma dilingkar tangan lelaki itu berserta segaris senyuman manis. Topi pada tangan Akma diambilnya lalu dipakai. Adik susuannya sudah menerima segulung ijazah sarjana muda di usia 25 tahun.

" Tahniah, adik abang," ucap Badrul. Sebuah kucupan berlabuh di kepala Akma yang bertudung litup.

"Akma nak tuntut janji ayah," gumam Akma. Vermilionnya terjongket lalu mengoyak senyuman kepuasan. Ciuman Badrul tidak diendahkannya. Dia telah melakukan tanggungjawabnya sebagai seorang anak, maka satu perkara lagi perlu diuruskan hari ini.

"Janji apa pula ni?" Hairan Badrul.

"Ada lah. Hm..." Ada sesuatu yang tidak kena di sini. Dua beradik itu berjalan seiring ke kawasan berturapkan tar di pekarangan luar. "Mana Shah?" soal Akma polos.

"Dia sibuk kerja."

"Kerja?" Mata Akma membulat. "Wah... Ini ciri-ciri penipu. Dulu punya tabur janji-janji manis nak tunggu aku depan dewan." Mulalah bibir Akma terkumat kamit melepaskan geram terhadap Shahrul Ridzwan. Kakinya terhentak di luar kesedarannya.

"Akma, Shahrul kan baru naik pangkat jadi supervisor dekat kedai tu. Janganlah marah dia."

"Ah, takde-takde. Dia tu dasar penipu. Lupa diri. Mesti dia tengah seronok makan tengah hari dengan pekerja perempuan dia macam minggu lepas. Sampai lupakan Akma ni... Sampai hati..." Hati gadis itu merundum sayu. Dia memandang Badrul di sebelahnya. "Abang, betul ke Shah suka Akma?"

Akma dan overthinking tak dapat dipisahkan. Dia amat takut jika hanya dirinya seorang yang masih memegang janji dua tahun lalu. Tubir mata yang berair segera dikesat.

"Akma..." Kepala adiknya disandarkan pada bahu. Bahu Akma diusap lembut bagi memejuk hati yang sedang mendung itu.

"Shah tak sayang Akma, kan? Sebab tu dia sibuk dengan kerja... Padahal dia dah janji macam-macam dulu," bisik Akma. Matanya masih menanti Shahrul tiba di hadapannya, di bawah teduhan khemah kanopi putih ini.

"Jangan cakap macam tu, sayang. Shahrul tu cuma sibuk kerja," balas Badrul.

Getaran di jiwa ditahan si dara. Bibirnya diketap erat. Shahrul selalu begitu. Ada sahaja alasan jika diminta untuk buat apa-apa. Lama-lama, hati Akma banyak terasa membentuk satu kawah di hati. Kawah yang menyimpan kesemua tawar hatinya berkumpul.

Raut wajah bersih seorang kanak-kanak tersengih-sengih memandang Akma. Tangannya didepakan ingin bersama Akma. Keberadaan Badrul dan Akma di sudut khemah berjaya dikesan Nafisah akhirnya.

"Adam..." Tersebek-sebek Akma mengambil si cilik itu. "Adam... Shahrul tak nak datang sini..." adu Akma. Tubuh montel adam dipeluk erat.

"Abang, mana mak dan ayah Akma?" Nafisah berdiri di sebelah suaminya.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now