Makhluk Hodoh

102 3 6
                                    

Dia menunduk sedikit. Bunyi tepukan bergemuruh. Senyuman terukir, dengan tertib dia mengundur menuruni pentas. Salam dihulurkan beberapa pihak disambut ramah. Lafaz syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi.

“Luqman, bagus-bagus.” Tepukan perlahan hinggap di bahu Luqman.

“Terima kasih, ustaz,” tutur Luqman perlahan.

Apabila peserta dari sekolah lain memulakan bacaan, Luqman meminta izin dari Ustaz Zakri untuk ke tandas. Tandas yang berada di belakang dewan kelihatan sunyi dan menyeramkan tetapi keadaan itu langsung tidak menganggu. Sebelum memasuki tandas lelaki sempat dia mengerling ke arah sesusuk tubuh berjubah putih yang sedang berdiri membelakangkannya.

Selesai sahaja urusan hajat dia kemudian membawa diri ke singki. Tangan dibasuh. Hidungnya terhidu bauan terbakar bercampur bauan hanyir yang terlalu busuk. Dia memerhati sekeliling namun tiada tanda-tanda punca kehadiran bauan itu. Dengan penuh berhati-hati Luqman keluar dari tandas dan sekali lagi dia bertembung dengan kelibat berjubah putih.

Kelibat itu bergerak melintasi Luqman dan menembusi dinding bangunan. Mengucap panjang dia dibuatnya. Pada pengiraan remaja itu, kelibat tadi terlihat seperti manusia. Tumpuan kembali teralih apabila jeritan menyeramkan bergema. Zikir dan bacaan dari surah-surah yang diajar Tok Wan dibaca sambil mendekati bunyi itu.

“Gregh! Gregh! Gregh!”

Luqman menutup hidung. Debaran kencang dan ketakutan sedikit muncul dalam diri. Dia perhatikan tubuh makhluk yang terbakar bersama api berwarna biru. Satu makhluk hodoh di sebelah makhluk terbakar itu kelihatan hilang arah.

“Gregh!”

Dia tersentak. Refleks tanpa sedar membuatkan dia berundur dua tapak ke belakang. Renungan tajam dari makhluk itu amat menakutkan dan menyeramkan. Bulu roma berdiri tegak sehingga menghadirkan getaran pada tubuh. Dia menarik nafas panjang, tenang cuba diraih.

“Gregh!” Makhluk berbulu terpacak hitam, berwajah hitam dihiasi gigi taring panjang sehingga ke dada dan mata bulat besar berwarna merah menderam-deram memerhati Luqman. Tubuh tegak itu menunduk sedikit, dua tangan meruncing panjang bergerak-gerak ke hadapan. Kaki makhluk itu kelihatan besar berulat dan berbentuk seperti tapak kaki gorila.

Luqman pantas membaca ayatul Qursi berulang kali sambil mengelak serangan dilakukan makhluk itu. Nafasnya turun naik. Dalam menggelak serangan dia terundur mendekati dinding bangunan.

“Bismillah....” Belum sempat Luqman meneruskan bacaan surah untuk menghapuskan makhluk itu satu serangan berbentuk api biru muncul. Api biru bergerak laju mengenai dada makhluk itu lalu membakar keseluruh tubuhnya.

Luqman terpaku. Lirikan matanya ke kanan menyaksikan kemunculan tangan berjubah putih secara tiba-tiba di sebalik dinding. Dia menelan liur sambil mulut tidak berhenti menyebut nama Allah. Tangan berjubah putih perlahan-lahan menghilang. Dia mengelongsor ke lantai. Sedikit terkejut dengan kejadian yang tidak terjangka.

“Luqman, kamu buat apa duduk dekat situ?” Ustaz Zakri berlari-lari anak mendekati Luqman. Wajah pucat Luqman ditatap dengan penuh prihatin.

“Saya... tak....” Luqman kelihatan bingung.

“Kamu okey tak ni?” soal Ustaz Zakri. Luqman sekadar mengangguk. Tubuhnya dibangunkan. Keganjilan yang disaksikan tadi didiamkan dari Ustaz Zakri.

“Pertandingan dah tamat. Mereka dah umumkan pemenang,” beritahu Ustaz Zakri.
Senyuman terukir di bibir ustaz berkacamata itu lalu dia bersuara, “Tahniah, Luqman. Alhamdulillah, kamu masih lagi pemenang tilawah untuk tahun ini.”

...bersambung...

JIWA TANPA JASADWhere stories live. Discover now