HARI RAYA HARI GEMBIRA

27 1 0
                                    

Hari ini, kita semua  meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan besar umat Islam ini adalah pemberian Allah kepada kita setelah sebulan kita berpuasa menahan diri dari makan, minum dan nafsu.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut dengan keadaan yang sedikit terkongkong. Hal ini kerana, wabak Covid-19 masih lagi wujud dan hidup bersama kita. Kerajaan bukan sahaja tidak membenarkan kita untuk pulang ke kampung halaman masing-masing (rentas negeri), malah tidak membenarkan kita menziarahi sanak saudara dengan jumlah yang ramai. Maksudnya, majlis rumah terbuka tidak boleh diadakan. Ini semua gara-gara tidak mahu wabak Covid-19 itu menular dengan meluas dalam kalangan kita.

Tambahan pula, akibat wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sebelum ini telah menyebabkan ekonomi negara sedikit terjejas dan malap. Ramai orang kehilangan kerja, hilang punca pendapatan, dan gaji dipotong. Maka, sambutan Hari Raya tidak dapat disambut seperti mana tahun-tahun sebelum ini. Cukup menyambutnya dengan seadanya sahaja.

Boleh dikatakan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sedikit hambar berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Oleh kerana kerajaan tidak membenarkan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman, maka saya dan keluarga  tidak pulang ke kampung halaman kami di Melaka. Saya sendiri beraya bersama keluarga di Kuala Lumpur sahaja.

Saya, pada tahun ini, kali pertama menyambut Aidilfitri sebagai operator kilang. Meskipun sumber pendapatan saya sedikit terjejas namun Alhamdulillah, saya masih mempunyai kerja. Dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan sedikit sumbangan dari majikan, dapatlah saya beraya - membeli apa-apa yang patut untuk memeriahkan suasana raya.

Seperti yang telah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini, saya tidak menunaikan ibadah puasa dengan sempurna pada tahun ini. Apabila ibadah puasa tidak ditunaikan dengan sempurna, maka biasanya keseronokan menyambut Hari Raya akan sedikit berkurang.

Walau apa pun, saya tetap cuba untuk bergembira pada hari raya pertama ini. Meskipun hari raya pertama saya sama sahaja dengan hari-hari lain dalam bulan puasa, yakni boleh makan dan minum seperti biasa, tetapi saya tetap untuk menyambutnya dengan gembira kerana Hari Raya Aidilfitri adalah pemberian Allah kepada umatnya untuk dirai dengan penuh gembira.

Bagi menambah keseronokan berhari raya, saya biasanya akan mendengar lagu-lagu raya. Lagu-lagu raya memang berupaya menambah keterujaan kita untuk menyambut hari raya. Antara lagu raya yang saya suka dengar ialah Suara Takbir (Tan Sri P. Ramlee), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Ku Pohon Restu Ayah Bonda (Mamat Exist) dan banyak lagi.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca yang sudi membaca tulisan-tulisan saya. Saya juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya tulisan-tulisan saya tidak disenangi oleh anda semua.

BICARA SOSIAL Where stories live. Discover now