Bab 14: Rakan Sekerja

432 15 8
                                    

Bab 14

MUAZ melangkah masuk ke dalam pejabat. Dikerlingnya meja pekerja wanita yang terletak tidak jauh di hadapannya.

Aik. Siapa pula perempuan ni? Tak pernah tengok pun? Baru seminggu dia bercuti, sudah ada pekerja baru?

Dia mengatur langkah ke ruang pantri. Hendak membancuh Nescafe buat dirinya. Kebetulan pula ditegur oleh Kak Salmah, tukang cuci yang bekerja di syarikat itu.

"Tengok siapa tu, Encik Muaz?" tanya Kak Salmah. Curiga melihat Muaz yang dari tadi tak habis-habis menjenguk ke luar. Nampak hantu ke?

Muaz hanya tersenyum. Nescafe yang dibancuh tadi dihirupnya sedikit. Masih panas jadi dia kembali jarakkan bibirnya daripada cawan.

"Pekerja baru ke tu, Kak Salmah? Saya tak pernah tengok pun sebelum ni," tanya Muaz sambil memuncungkan bibirnya ke arah Qaisya yang sedang sibuk di meja kerjanya.

Kak Salmah menjenguk sejenak kemudian tersenyum. "Oh. Cik Qaisya ke? Ya, staf baru. Rasanya dah seminggu dia masuk. Encik Zamri ambil dia kerja minggu lepas. Single lagi katanya," jawab Kak Salmah lalu kembali menyapu sampah.

Muaz tergelak kecil. Hanya mampu menggeleng kepala dengan usikan Kak Salmah tadi. Mentang-mentanglah dia masih bujang dan sedang mencari jodoh.

Muaz kembali duduk di mejanya. Sempat dia mengerling ke arah gadis yang bernama Qaisya itu. Cantik. Dikerlingnya pula jari jemari Qaisya.

Tak ada cincin. Betullah kata Kak Salmah tadi. Qaisya masih bujang. Hmm. Apa salahnya kalau nak mengurat pun kan?

"Staf baru ke?" Muaz mula mencucuk jarum.

Dia mencuri pandang ke arah Qaisya yang sudah menoleh ke kiri dan kanannya seolah-olah tidak percaya yang Muaz sedang bercakap dengannya.

Muaz tergelak kecil lalu mengangkat tangannya sedikit. "Ya, saya yang tanya." Dia bersuara lagi.

Qaisya sudah tersenyum gembira. Hampir seminggu dia bekerja di syarikat ini, baru hari ini ada yang sudi menegurnya. Yang lain hanya banyak mendiamkan diri.

Mungkin sibuk dengan kerja masing-masing. Mungkin juga sudah menjadi budaya di syarikat ini untuk tidak banyak bergaul supaya lebih fokus pada kerja.

"Ya, encik. Saya staf baru. Nama saya Airis Qaisya. Panggil Qaisya aje," kata Qaisya lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Muaz menyambut salam itu. "Saya Muaz Idlan. Senior accountant. Dah lima tahun bekerja di sini. Kalau Qaisya ada apa-apa nak tanya, jangan segan-segan ya? Tanya aje saya," tambah Muaz lagi seraya menyisir rambutnya dengan jari jemari.

Konon handsome sangatlah tu. Tapi, memang handsome pun! Sekali pandang, ada iras Remy Ishak! Ecewah..

"Baik. Terima kasih, Encik Muaz."

"Tak payahlah berencik. Panggil Muaz aje. Abang Muaz pun boleh. Qaisya mesti lagi muda daripada saya kan?"

"Saya 27 tahun."

Muaz mengangguk lagi. Hmm, 27 tahun. Umur yang elok sangat dah kalau nak berkahwin. Kalau aku pandai ambil hati ni, mahu melekat jodoh kami nanti.

Muaz sudah memasang angan-angan. Bukannya nak menggatal sangat pun. Memang dia tengah mencari jodoh. Emaknya di kampung dah tak sabar sangat nak sambut menantu.

Dia sebagai anak sulung terpaksalah berusaha. Tambahan pula, adik-adiknya semua sudah berkahwin.

Sepanjang hari, Muaz hanya perhatikan saja gelagat Qaisya dari jauh. Sangat tekun menghadap komputer dan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin kerja. Dari tadi, tidak ada masalah pun yang dihadapi Qaisya.

Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]Where stories live. Discover now