Bab 11: Shotgun Wedding

286 13 0
                                    

Bab 11

TOK Ma sudah berkerut dahi. Terkejut dengan kedatangan Qaisya yang sangat tiba-tiba. Tambah mengejutkan, ada seorang bayi di pangkuan gadis itu. Dia sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku, tetapi dia buat bodoh saja. Dia ingin dengar sendiri daripada mulut Azhar akan kebenarannya. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa dan duduk menghadap Azhar dan Qaisya. Dipandangnya wajah bayi di riba Qaisya. Ada iras Qaisya, bisiknya di dalam hati.

"Ada apa ni siap bawa Qaisya ke rumah kita? Tok ingatkan kamu dah tak berhubung dengan dia. Tup tup bawa ke rumah pula," tanya Tok Ma apabila masing-masing Azhar dan Qaisya tidak bersuara.

Azhar menarik nafasnya dalam. "Tok. Azhar nak kahwin dengan Qaisya dalam masa terdekat ni," katanya tanpa berfikir panjang. Nak pusing-pusing ayat pun tak guna. Akhirnya, dia kena berterus-terang juga dengan Tok Ma.

"Kamu biar betul, Azhar? Sebab apa? Ni.. budak ni. Anak kamu ke?" Tok Ma menanya.

"Kalau anak Azhar, tok nak bagi kami kahwin?"

"Jangan main-main dengan tok, Azhar! Anak kamu ke? Kamu dah terlanjur dengan Qaisya? Sebab itu nak kahwin?"

"Ya."

Jawapan Azhar mengejutkan semua orang di dalam rumah terutama sekali Qaisya. Kenapa Azhar tidak berterus-terang pada Tok Ma yang ini bukan anak mereka berdua, tetapi anak Naira? Sekarang nak kena menipu dengan Tok Ma pula. Makin bencilah Tok Ma padanya nanti. Tok Ma mula memukul bahu Azhar kerana terlampau geram. Ditudingkan pula jarinya ke arah Hannan yang sedang melihatnya dengan pandangan tidak bersalah.

"Dah tunggu budak besar itu baru nak bagi tahu tok! Kamu ni dah kenapa, Azhar?"

"Azhar baru tahu, tok."

"Qaisya! Kamu pun satu! Selama ni kamu rahsiakan daripada Azhar ke?"

Qaisya menelan liurnya. Terasa kelat yang amat apabila Tok Ma tiba-tiba mengajukan soalan padanya. Apa kena mengena dia dalam cerita ini? Hannan bukan anaknya dengan Azhar! Aduh. Pening kepalanya hendak mencari alasan. Dia tidak mampu hendak berbohong pada Tok Ma, lalu dia iyakan saja apa kata Tok Ma dan Azhar. Dah macam pak sanggup!

Tok Ma kembali memukul Azhar. Geram yang teramat sangat tapi nak buat macam mana? Nasi sudah menjadi bubur. Perkara itu sudah pun berlaku. Tidak boleh diputar semula waktu. "Tapi, dia tu adik Naira, Azhar oi! Adik tunang kamu sendiri! Kamu tak fikir dulu ke sebelum buat benda terkutuk ni! Tak tahu dosa ke, Azhar! Ya Allah. Astaghfirullah.. Apa dosa tok pada kamu, Azhar? Sampai kamu membelakangkan tok macam ni.." Jelas terpancar di wajahnya yang dia amat kecewa dengan apa yang Azhar lakukan. Nama saja sudah 33 tahun. Tapi, perangai..

Tok Ma mengeluh berat. Dipandangnya wajah Azhar dan Qaisya satu demi satu. Kalau ikutkan hati, dah lama dia pergi ke dapur dan ambil cili padi yang ada di dalam peti ais. Kemudian, tonyoh cili padi itu di mulut Azhar. Biasa dia! Dah terlanjur dengan Qaisya sampai ada anak, sekarang minta nak kahwin dengan Qaisya. Tok Ma mengurut dada. Pening kepalanya memikirkan sikap Azhar dan Qaisya yang ambil mudah soal agama.

"Sudahlah. Benda dah jadi. Tok nak kamu dan Qaisya berkahwin secepat mungkin," ujar wanita tua itu. Dia mengerling ke arah Qaisya yang masih lagi menundukkan muka. Bayi di pangkuan Qaisya dipandangnya sekali lagi. Comel. Putih kemerah-merahan pipinya.

Azhar mengangguk setuju. "Hujung minggu ni kami cadang nak akad nikah di pejabat agama dan daftar terus perkahwinan kami. Tak payah nak buat kenduri apa semua," kata Azhar sambil memandang Qaisya. Memang itu rancangan mereka. Kalau boleh, dia tak mahu orang ramai tahu tentang perkahwinannya dengan Qaisya nanti.

"Buang tabiat ke kamu ni, Azhar! Tok nak buat kenduri juga! Tok tak kira!"

"Buat apa, tok? Kita buat mana yang wajib cukuplah."

Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]Where stories live. Discover now