Bab 6

3.4K 552 66
                                    

SYAWAL tersedar dari lena sebaik sahaja tubuhnya jatuh ke lantai. Terpisat-pisat dia dibuatnya. Melihat pintu bilik sudah terbuka luas, Syawal bergegas meluru masuk ke dalam bilik.

Dada Syawal semakin berdebar. Kelibat isterinya tidak ada di dalam bilik. Dia terus mencari Siti di setiap sudut rumah. Bertambah cemas dia kerana memikirkan mungkin Siti sudah melarikan diri.

“Siti!”

Pucat wajah Syawal. Mahu saja dia memarahi diri sendiri. Boleh pula dia tertidur gara-gara menunggu Siti di hadapan pintu bilik. Risau jika isterinya melarikan diri, bergegas dia keluar dari rumah itu.

Sebaik saja pintu rumah dibuka, hampir terjerit Syawal gara-gara terkejut dengan kemunculan Alina di hadapan rumah. Wajah Alina jelas tergamam.

“Abang Wa buat apa dekat sini?”

“Sepatutnya Abang Wa yang tanya adik, buat apa dekat rumah arwah nenek ni?” Bengang juga Syawal.
Selama ini dia tidak tahu isterinya tinggal di rumah ini. Sudahlah kawasan ini jauh dari orang kampung. Jika terjadi sesuatu terhadap Siti, tak ke haru?

“Eh, dia yang tak pernah nak ambil tahu. Sekarang nak marah kita pula. Tepi sikit.” Selamba sahaja tubuh si abang ditolak ke tepi.

Langkah diatur menuju ke dapur. Beras dan sedikit kuih-muih diletakkan di atas meja dapur.

“Adik buat apa ni? Kak Siti dah hilang. Abang Wa nak cari dia sekarang.”

“Tak payah. Kak Siti pergi kubur. Memang dia selalu pergi ke sana waktu macam ni.”

“Kubur siapa?”

“Kubur arwah anak Abang Wa dan Kak Siti.”

Terdiam Syawal. Wajahnya diraup perlahan. Syukur jika benar isterinya tidak melarikan diri.

“Selalu ke adik hantar makanan?” soal Syawal ingin tahu.

“Dua tiga kali dalam seminggu juga. Kak Siti tu kena paksa makan. Kalau tak, seharianlah dia tak nak makan.”

Syawal terduduk di atas tangga dapur. Makin menebal rasa bersalahnya terhadap Siti. Dia bukan seorang suami yang baik. Hampir 5 tahun Siti hidup umpama gantung tak bertali. Disebabkan itu juga dia tidak mahu Siti terbeban dengan lelaki seperti dia. Namun percaturannya salah sehingga menyebabkan hati isterinya hancur berkecai.

“Abang Wa tak faham, kenapa Kak Siti nak tinggal di sini?” Sejak tadi lagi dia tertanya-tanya tentang punca isterinya mahu tinggal di sini.
Rumah pusaka arwah nenek mereka ini sudah lama dibiarkan sejak arwah meninggal. Dia sendiri pun sudah lama tidak ke sini sejak arwah meninggal.

“Kak Siti yang nak tinggal di sini. Lepas anak Kak Siti meninggal, Kak Siti hari-hari pergi kubur arwah. Mak larang sebab tak nak Kak Siti jatuh sakit. Masa tu, orang kampung dah ramai yang mengata. Kononnya apa yang berlaku dekat Kak Siti disebabkan dosa mengandungkan anak luar nikah. Mereka cakap Kak Siti gila. Mak dan abah pun turut kena hina.”

Bergenang tubir mata Alina saat menceritakan kisah 5 tahun yang lalu. Ketika itu dia baru tamat SPM. Simpati dengan nasib Siti yang terpaksa hidup bersendirian di usia 23 tahun. Namun dia kagum melihat ketabahan kakak iparnya.

“Tapi tak akan mak dan abah tak halang? Bahaya Kak Siti tinggal di sini sorang-sorang.”

“Mak dan abah tak nak bagi tekanan kepada Kak Siti. Bukan kami tak pernah pujuk tapi dia tetap nak tinggal di sini. Abang pun tahu kan jarak rumah ni ke kubur tak berapa jauh.”

“Abang Wa tak sangka Kak Siti dah dibuang keluarga.” Sungguh Syawal terkilan dengan perbuatan kedua-dua orang tua isterinya.

“Ayah Kak Siti tu aje yang tak boleh terima. Umi selalu juga tanya khabar Kak Siti,” tambah Alina lagi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 17, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Ramadan Terindah Untuk Syawal (Novel PBAKL 2023)Where stories live. Discover now