Bab 3

3.1K 479 75
                                    

ALINA masih menunggu Siti membuka pintu. Masuk kali ini, sudah 3 kali juga dia memberi salam. Dia bertambah resah. Tak mungkin Siti larikan diri.

“Kak Siti, Lina datang ni!” jerit Alina sekali lagi.

Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, Alina menarik nafas lega. Bergegas dia naik ke beranda dan duduk bersimpuh di situ.

“Kak Siti buat apa tadi?”

“Kak Siti ada dekat dapur.” Siti turut duduk di sisi Alina.

“Ni lauk untuk Kak Siti. Boleh masak untuk bersahur esok. Yang ini, ubat Kak Siti. Jangan lupa makan pula.”
Bahan mentah bersama ubat yang dibeli tadi, diserahkan kepada Siti. Siti tersenyum hambar sambil mengambil huluran itu.

“Buat susah-susah aje. Lepas ni, tak perlulah Lina hantar lagi makanan. Ubat ni pun, nanti Kak Siti ambil sendiri di klinik. Kak Siti rasa, dah tiba masanya Kak Siti berdikari.”

Berkerut dahi Alina. Tidak sedap hati pula dia yang mendengarnya.

“Kenapa Kak Siti cakap macam ni?”

“Semalam... Kak Siti jumpa abang Lina.”

Hampir ternganga Alina. Terkejut kerana begitu cepat Syawal pergi berjumpa dengan Siti.

“Kami berjumpa secara tak sengaja. Tak sangka dia dah balik.” Wajah Siti berubah keruh. Nampak kesedihan yang terlalu mendalam di wajah itu.

“Lina minta maaf. Tak ada niat pun nak rahsiakan dari Kak Siti tentang Abang Wa. Dia balik pun dengan tiba-tiba.”

Siti menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak salahkan Alina. Sejak awal lagi dia sudah mengagak perkara ini bakal terjadi.

“Makin kacak Kak Siti tengok dia. Kak Siti malu jumpa dia dalam keadaan macam ni. Mesti dia tak selesa jumpa Kak Siti semalam.” Siti buat-buat ketawa.

“Janganlah cakap macam tu. Abang Wa mesti gembira kan jumpa Kak Siti. Betul kan?” duga Alina.

Bergenang tubir mata Siti. “Kak Siti yang gembira jumpa dia tapi dia…”

Nafas ditarik dalam-dalam. “Dia nak Kak Siti lupakan dia.”

“Apa?” Terbuntang biji mata Alina. Darahnya mencanak naik. Geram dengan sikap melulu si abang.

“Dah tak ada guna lagi hubungan ni diteruskan. Kalau dengan kehadiran Kak Siti membebankan dia, Kak Siti terima keputusan ni dengan reda. Mungkin ini lebih baik. Kak Siti bukan sihat macam dulu lagi.”

Siti membawa plastik berisi bahan mentah dan ubat tadi masuk ke dalam rumah. Alina masih lagi kaku di beranda. Tak mungkin semudah itu Siti mengalah.

“Lina baliklah. Kak Siti nak keluar.”

“Kak Siti, pasal Abang Wa...”

“Cukuplah. Tak perlu cakap lagi. Kak Siti dah setuju untuk bawa haluan masing-masing.”

“Kak Siti setuju?” Ternaik nada suara Alina.

Siti tersenyum sambil mengangguk kecil. Tiada apa lagi yang perlu dia pertahankan. Syawal juga sudah memberi kata putus semalam. Sudah puas dia meratap nasib sendiri semalaman. Apa yang penting sekarang, dia perlu kuat untuk teruskan hidup.

“Abang Wa tu tak tahu lagi hal sebenar. Kalau dia tahu keadaan Kak Siti sekarang, tak mungkin Abang Wa buat keputusan macam tu.”

Alina cuba meyakinkan Siti. Melihat wajah pucat wanita ini, hati Alina bertambah luluh. Pasti wanita ini terluka dengan perbuatan Syawal.

“Biarlah perkara yang lepas tu. Tak perlu ungkit lagi. Lebih baik dia tak tahu keadaan sebenar. Kak Siti nak keluar dulu. Lina baliklah. Jangan bergaduh dengan Abang Wa disebabkan Kak Siti. Nanti mak dan abah susah hati.”

“Kak Siti nak pergi mana? Panas ni.”
Siti membetulkan selendang di kepalanya. Botol air yang terletak di tepi tangga diambil. Tikar yang sudah lusuh dikepit di celah ketiaknya.

“Dekat mana lagilah tempat yang Kak Siti boleh pergi. Hanya di sana saja Kak Siti boleh jejakkan kaki.”

“Kak Siti...” Hampir saja Alina menangis. Dia tidak sanggup melihat wanita itu hidup dalam dunianya sendiri.

“Baliklah. Jangan datang ke sini lagi. Kak Siti akan belajar untuk lupakan dia. Termasuklah, keluarga Lina.”

Sebaik sahaja bayang Siti menghilang, Alina terduduk di atas tangga. Terkilan dengan sikap Syawal yang terlalu pentingkan diri sendiri. Dia tak boleh biarkan Siti dan Syawal berpisah. Kelak bukan Syawal saja menyesal. Malah ada seseorang lagi yang bakal dihimpit rasa bersalah.

❤️

MENGUCAP panjang Mak Leha dan Pak Salman setelah mendengar cerita Alina. Selepas mereka makan malam bersama, Alina mengamuk besar. Teruk dia memarahi Syawal kerana berjumpa dengan Siti semalam.

“Kenapa Wa buat macam tu?” soal Mak Leha dengan rasa kecewa.
“Perkara tu tak dirancang, mak. Semalam, Wa cuma nak pergi ke ladang getah. Kami terserempak dan...”

“Dan Abang Wa terus nak minta Kak Siti lupakan Abang Wa, macam tu?”

“Adik...” tegur Pak Salman kurang senang.

Terdiam Syawal. Selepas dia bertemu dengan Siti semalam, hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya. Hendak menangis, dia hanya mampu bertahan.

“Betul ke keputusan yang Wa buat ni? Abah tak nak Wa menyesal nanti.” Pak Salman menyoal.

“Insya-Allah, apa yang Wa buat ni, untuk kebaikan semua pihak. Biarlah Siti hidup bahagia dengan keluarga dia. 5 tahun dia terikat dengan Wa. Dia berhak hidup dengan lelaki yang lebih baik daripada Wa.”

Alina tergelak sinis. Dia terus berdiri tegak di hadapan Syawal.

“Kalau macam nilah sikap Abang Wa lepas keluar penjara, lebih baik tak payah keluarlah. Apa? Ingat Kak Siti tu tak ada hati dan perasaan? Ditolak ke sana ke mari.” Bengang Alina.

Mahu saja dia menampar wajah si abang. Mujurlah dia masih hormatkan lelaki ini.

“Adik! Mulut tu jangan lancang sangat.” Tegas Pak Salman memberikan arahan.

“Abah, mak... tolonglah sedarkan Abang Wa ni. 5 tahun bukan masa yang pendek untuk Kak Siti hidup menderita. Tak cukup keluarga Kak Siti buang dia sekarang, Abang Wa pun nak buang dia.”

Disebabkan terlalu marah dan kecewa, Alina terlepas cakap. Tersentak Syawal dengan butir bicara si adik. Wajah ibu bapanya dipandang dengan seribu tanda tanya.

“Apa maksud adik tadi?” soal Syawal bingung.

“Tak perlu nak ambil tahu. Dah terlambat kalau abang nak tahu hal sebenar. Hati Kak Siti dah hancur gara-gara permintaan Abang Wa semalam!” tempelak Alina.

Alina tidak mampu bercakap lagi. Dia terus masuk ke dalam bilik. Sebelum dia mengeluarkan kata-kata biadab, lebih baik dia angkat kaki.

“Mak... abah, apa yang...” Syawal kelu.

“Esok, Wa pergilah ke rumah keluarga Siti. Abah dan mak dah tunaikan janji yang kami tak akan masuk campur dalam urusan Wa dan Siti. Ini permintaan Siti.” Pak Salman mencelah.

Dada Syawal berdegup kencang. Entah kenapa dia dapat rasakan ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Siti.

“Wa nak ke sana sekarang.”

Dia bergegas ingin menukar pakaian. Tidak betah dia menunggu hingga ke hari esok. Lebih baik dia segera ke rumah Siti.

“Jangan, Wa. Esok aje. Malam ni kita nak tarawih. Sabar.”

Hampir saja Syawal terlupa malam ini merupakan malam pertama Ramadan. Teringatkan bulan yang mulia ini, sudah tentu nama wanita itu sentiasa berada dalam fikirannya.
Allah…

Tiba-tiba dia rasa menyesal.
Menyesal kerana bertindak terburu-buru.

🥲

Terlajak perahu blh diundur tapi kalau dah terlajak cakap, kan dah menyesal.

Ramadan Terindah Untuk Syawal (Novel PBAKL 2023)Where stories live. Discover now