Bab 4

3.3K 534 66
                                    

SEPERTI yang dirancang, awal pagi dia singgah ke rumah keluarga Siti. Dia berdiri di hadapan rumah ini dengan perasaan gemuruh. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya ke sini.

Dahulu, jika dia mahu berjumpa dengan Siti, mereka terpaksa berjumpa secara rahsia. Tahu sangat yang keluarga Siti tidak berkenan dengan taraf kehidupan Syawal.

“Assalamualaikum...”

Syawal menarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja salam diberi. Dia berharap sangat kedatangannya tidak disalah erti.

“Waalaikumussalam...”

Terkejut lelaki yang berusia itu sebaik sahaja berada di hadapan Syawal. Wajahnya berubah bengis.

“Err... apa khabar... ayah?”

Tangan dihulurkan kepada Haji Sheikh Jaafar. Namun huluran itu langsung tidak disambut.

“Siapa izinkan kau datang ke rumah aku?” Tinggi nada suara orang tua itu.

“Ayah... saya...”

“Aku bukan ayah kau!”

“Abang, kenapa bising...” Tidak jadi Puan Bazlin menegur suaminya. Mulutnya ditekup laju. Terkejut dengan kehadiran Syawal di rumah mereka.

“Kau nak apa datang rumah aku ni?” soal orang tua itu.

“Saya datang nak bercakap pasal Siti.”
Haji Sheikh Jaafar ketawa besar. Puan Bazlin tunduk menekur tanah. Sungguh dia terkesan mendengar nama anaknya disebut.

“Kau dah hilang ingatan agaknya. Mari sini aku ingatkan kau. Masa aku serahkan budak tu, aku dah cakap... aku tak akan ambil tahu lagi pasal dia. Budak tu, aku dah buang dari keluarga aku. Jijik aku bila keturunan kau muncul dalam darah budak tu!”

Mengucap panjang Syawal dalam hati. Sungguh dia tidak menyangka selama ini Siti tidak tinggal di sini. Lebih teruk, Siti telah dibuang dari keluarganya. Patutlah keadaan Siti agak tidak terurus tempoh hari.

“Kalau pak cik bencikan saya, kenapa Siti terlibat sama? Dia tak salah. Saya yang salah.” Merah mata Syawal menahan tangis.

“Kau cakap apa? Tak terlibat! Kau ni memang muka tak tahu malu. Lepas kau buntingkan anak aku, kau pukul pula anak orang sampai separuh mati. Masa kau meringkuk dalam penjara, keluarga aku yang malu.”

“Abang, sudahlah. Hari ni kan kita puasa.”

“Awak diam! Abang nak ajar budak ni sikit.”

Terhenyak Syawal saat dilemparkan dengan kata-kata hinaan. Semakin menebal perasaan bersalahnya terhadap Siti.

“Sekarang kau dah bebas. Budak tu dah jadi tanggungjawab kau. Dah tak ada kaitan dengan aku!”

“Baiklah. Saya akan pergi. Cuma satu aje saya nak tahu. Di mana Siti sekarang?”

“Aku tak tahu! Pergi. Jangan datang rumah aku lagi!”

Haji Sheikh Jaafar meluru masuk ke dalam rumah. Menggeleng Puan Bazlin melihat sikap panas baran suaminya. Walaupun sudah 5 tahun berlalu, perasaan marah si suami masih belum surut.

Syawal mengeluh lemah. Sedar kehadirannya di sini tidak dialu-alukan, dia segera ingin meninggalkan rumah itu.

“Syawal...”

Syawal menoleh ke arah Puan Bazlin.

“Siti tinggal di rumah pusaka arwah nenek Syawal. Dah lama dia tinggal di sana sejak anak kamu meninggal.”

“Apa? Rumah arwah nenek?”

Puan Bazlin mengangguk sambil menyeka pipinya. Sedih kerana dia tidak mampu membantu Siti. Selepas anak Siti meninggal di dalam kandungan, kehidupan anaknya terus berubah. Tiada lagi senyuman di wajah si anak.

Ramadan Terindah Untuk Syawal (Novel PBAKL 2023)Место, где живут истории. Откройте их для себя